“Kahwin? Belum lagi.” – Zul Ariffin

2
144

PENANGAN drama Rindu Awak 200% yang disiarkan menerusi slot Akasia TV3 tahun lalu telah melonjakkan nama Zul Ariffin. Populariti aktor berusia 29 tahun ini meningkat sepantas kilat. Hal itu bagaimanapun bukanlah alasan baginya untuk menangguhkan soal perancangan perkahwinan.

Sebaliknya, Zul mahu menumpukan terhadap penyusunan kerjayanya terlebih dulu.

“Merancang perkahwinan lebih memeningkan berbanding kerja. Lagipun bila saya sudah bersedia ia tetap akan dilangsungkan dan bukannya saya bercadang untuk mengadakan majlis besar-besaran. Cukuplah dengan majlis ringkas,” tegas Zul yang kini hangat bercinta dengan penerbit filem, Gayatri Su-Lin Pillai.

Puncak populariti yang dinikmati kini berjaya memberikannya kelompok peminat tersendiri, terutama wanita. Kebimbangan peminat untuk lari juga tidak menjadi sebab buatnya untuk tidak berkahwin. Dia mengakui, mungkin peminat lebih menggemari aktor bujang, tetapi terdapat ramai pelakon lelaki yang telah berkahwin masih berada di atas.

Kekhuatiran terhadap penurunan populariti pula tidak pernah meresahkannya. Sejak bergiat dalam industri seni tanah air, Zul bermula dari bawah dan mengambil masa lima tahun untuk membina nama.

“Saya naik disebabkan produk dan jika populariti saya menurun sekalipun, ia juga didorong oleh produk. Kedudukan di mana saya berada sekarang belum pun mencecah enam bulan. Jadi tidak timbul isu bimbang nama jatuh sebab saya selesa dengan apa jua status,” jelas Zul ketika ditemui media pada majlis pelancaran Nivea Cool Kick Triple Shield di Zebra Square, Kuala Lumpur.

Dari kiri: Nazim Othman, Zul Ariffin dan Kevin Zahri pada majlis pelancaran Nivea Cool Kick Triple Shield.
Dari kiri: Nazim Othman, Zul Ariffin dan Kevin Zahri pada majlis pelancaran Nivea Cool Kick Triple Shield.

Baru menamatkan penggambaran drama Istikharah Cinta yang kini sedang ditayangkan di TV3 (slot Akasia), Zul akan kembali menjalani penggambaran bagi drama adaptasi novel, Mr. London Ms Langkawi terbitan Astro pada minggu ini. Selain sibuk dengan jadual lakonan, Zul turut dilantik sebagai duta bagi Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL2015).

Selesa menjayakan drama TV, Zul mendedahkan bahawa dia perlu menolak beberapa tawaran filem ekoran keadaan industri perfileman yang agak perlahan. Enggan mengambil risiko, Zul mengakui untuk masa ini, dia selesa memilih tawaran untuk TV. Namun, jika diberikan watak menarik pada waktu bersesuaian, dia pasti kembali ke layar perak.

Sementara itu, mengulas tentang penglibatannya dengan Nivea Men, Zul memberitahu bahawa dia telah menggunakan jenama itu sejak menuntut pengajian di kolej. Apabila bergiat aktif dalam bidang lakonan, waktu kerjanya memakan masa yang panjang dan penggunaan deodoran Nivea Men banyak membantunya mengatasi masalah badan berbau.

“Lokasi penggambaran yang berubah-ubah (indoor dan outdoor) serta keperluan menukar pakaian dengan kerap membuatkan saya cepat berpeluh. Jadi apabila menggunakan Nivea Men, masalah bau badan dapat dielakkan,” kongsi Zul.

2 KOMENTAR

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini