‘Jendela’ filem bisu pertama Malaysia

1
62

DILAYARKAN selama 85 minit tanpa pengucapan dialog, Jendela menjadi filem bisu (silent movie) pertama di Malaysia. Bukan itu sahaja, karya arahan M. Subash Abdullah ini juga merupakan naskhah pertama negara ke layar perak yang hanya menampilkan seorang pelakon.

2-jendel FILEM: JENDELA | PENGARAH: M. SUBASH | PRODUSER: M. SUURYA | PENERBIT: RENBASH

Percaturan berisiko tersebut bakal membuka perspektif baharu dari segi penilaian masyarakat terhadap nilai eksperimentasi penggiat filem tanah air. Biarpun dihasilkan berbekalkan bajet kecil, keberanian M. Subash mengetengahkan teknik perfileman kurang diketahui penonton lokal seharusnya dicontohi pengkarya filem berskala besar tempatan.

Barangkali penonton kita masih belum bersedia untuk disajikan dengan filem berformat begini. Namun setidak-tidaknya kewujudan Jendela mampu menjadi pendedahan awal terhadap karya-karya sebegini.

“Penggambaran Jendela memakan masa selama dua hari. Aksi teraju utama dan juga satu-satunya pelakon filem ini, Ruminah Sidek memang mengagumkan,” kongsi M. Subash yang berharap agar filem ini akan menerima kritikan positif penonton.

3-jendela

Jendela berkisar tentang kehidupan seorang ibu tua yang ditinggalkan kesepian oleh anak tunggalnya. Hampir lima tahun, si ibu menanti kepulangan anaknya terutama menjelang Aidilfitri. Hanya surat yang diutuskan anaknya menjadi pengubat rindu biarpun kandungannya menyiat-nyiat perasaan si ibu.

Kesibukan kerja menjadi alasan si anak untuk tidak pulang menjenguk si ibu. Bagaimanapun konflik bermula apabila si ibu menerima sepucuk surat daripada anaknya yang berisikan pesanan meremukkan hati. Rumah dan tanah pusaka yang menjadi satu-satunya harta si ibu telah dijual anaknya.

Bagaimana nasib si ibu selepas menerima perkhabaran mendukacitakan itu? Segalanya bakal terjawab apabila anda menonton Jendela yang akan ditayangkan di 15 pawagam terpilih bermula 21 Mei 2015.

Barangkali naratif dan plot Jendela agak klise. Benar, kisah si ibu yang diabaikan telah digarap ribuan kali. Namun bagaimana ia disampaikan di dalam Jendela adalah satu perkara baharu. Membayangkan Ruminah Sidek bermain emosi seorang diri bagi menghidupkan seluruh kronologi cerita sahaja sudah mengujakan.

Semoga Jendela tidak menghampakan dan mampu menjentik emosi penonton! Sebelum menontonnya di pawagam kelak, tonton trailer filem ini di bawah.

Kredit foto: RenBash

1 KOMENTAR

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini