Izzue Islam rancang lancar single solo kedua

0
32

APABILA Izzue Islam muncul dengan single solo berjudul Bimbang hujung tahun lalu, ramai peminat Forteen gelisah. Adakah tindakan Izzue itu memberi bayangan terhadap perpecahan Forteen?

Izzue pernah menjawab spekulasi tersebut dan menjelaskan penyertaannya bersama Forteen masih teguh. Malah Forteen juga baru melancarkan single baharu, Apa Ini Cinta bulan lalu.

Lagu solo itu adalah projek istimewa Izzue dalam mengembangkan bakatnya sebagai komposer. Bimbang dicipta sepenuhnya Iian (singkatan kepada Izzue Islam Awin Nurin). Genre pop rock alternatif yang dipertaruhkan juga berbeza dengan identiti Forteen.

“Saya akan diiringi band setiap kali melakukan persembahan solo. Band tersebut juga bukanlah ditubuhkan khusus untuk mengiringi saya,” jelas Izzue yang merancang untuk mengeluarkan single solo kedua sekitar tahun ini.

Bimbang yang menjadi OST drama 13 episod, Tak Beli Tak Cinta yang bersiaran untuk slot Iris TV3 Oktober tahun lalu, mengetengahkan nilai positif dalam persahabatan dan percintaan. Ia kini boleh didengari menerusi YouTube, Raku, Spotify, Joox dan Psonar.

“Single solo kedua pun telah siap sepenuhnya. Saya menunggu waktu yang sesuai untuk dilancarkan. InsyaAllah mengikut perancangan, ia akan dikeluarkan tahun ini,” tambah Izzue.

Dalam perkembangan lain, Izzue sedang menjalani penggambaran drama 20 episod, Ops Cinta Din Sardin yang akan bersiaran di TV9. Drama yang dikembangkan daripada telemovie Din Sardin itu menyaksikan Izzue bergandingan dengan Mira Filzah.

Menjelang Mei depan, Izzue akan kembali ke set untuk penggambaran filem Mia Tiara. Pada Ogos 2017 pula, Izzue akan bercuti bersama peminat ke Lombok selama 5 hari 4 malam. Percutian anjuran Safirgotravel itu akan berlangsung pada 26 hingga 30 Ogos 2017.

Mereka yang berminat untuk bercuti bersama Izzue, bolehlah menghubungi Safirgotravel di talian 03-8920 4090 atau layari laman web www.safirgotravel.com. Terdahulu, Safirgotravel telah menganjurkan percutian Izzue bersama peminat ke Hong Kong, Macau, Korea dan Itali.

“Pengikut jenama IzzueExclusive pula boleh mendapatkan kurta baharu. Begitu juga pakaian kasual dan selipar di bawah jenama IzzueExclusive OOTD. Kanta lekap lembut lookalike pula menawarkan 11 warna mengikut cita rasa semua,” ujar Izzue mengakhiri perbualan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini