Istiqamah berhijrah itu sukar – Mizz Nina

0
11

PENGHIJRAHAN selebriti wanita tempatan untuk kembali menelusuri landasan muslimah sejati banyak memberi inspirasi kepada masyarakat.

Kebanyakan artis menjadikan imej berhijab sebagai langkah awal penghijrahan. Namun, tidak semua teguh mempertahankan istiqamah tersebut. Segelintirnya berputus asa dan kembali membuka tudung dan berpakaian tidak menepati syariat menutup aurat.

Mizz Nina antara artis yang dilihat begitu konsisten dalam penghijrahan. Imejnya yang dulu terkenal provokatif digantikan dengan penampilan muslimah sepenuhnya selepas menunaikan ibadah haji pada tahun 2013.

“Mencapai kesempurnaan itu adalah di luar jangkauan. Istiqamah itu sukar. Saya sentiasa berusaha memperbaiki diri dan tidak berputus asa untuk menjadi insan yang lebih baik.

“Pesanan saya untuk mereka yang berhasrat atau sedang meniti penghijrahan, jangan putus asa dengan harapan. Halangan daripada kawan-kawan, individu sekeliling dan bisikan dalaman yang menidakkan keupayaan kita itu normal.

“Lawan dan buang segala perkara negatif di dalam hidup kita. InsyaAllah ia dapat membantu melancarkan niat kita,” kongsi Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman ketika ditemui Pepatung pada Minggu Fesyen Islamik Asia (AIFW) 2017 Di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Begitu juga dengan pilihan wanita untuk berniqab. Semakin ramai wanita muslimah memilih untuk menutup wajah dengan niqab sehingga mencetuskan penularan pakaian berkonsep sedemikian.

Tambah Nina, pada pandangannya, wanita berniqab memiliki keberanian lebih tinggi berbanding mereka yang berhijab. Apatah lagi untuk berhijab sahaja menuntut seseorang membuang ego yang terpendam lama dalam diri. Berniqab bukan sekadar satu ekspresi, malah sebuah pengorbanan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini