Humor 15 saat Ucop si ‘Raja Dubsmash’ Malaysia

0
153

APLIKASI dubsmash menjadi fenomena di serata dunia sejak beberapa bulan lalu. Pengguna media sosial di Malaysia juga tidak ketinggalan menghasilkan video parodi menggunakan latar belakang suara penyanyi, pelakon atau individu popular dalam bentuk paling kreatif.

2-ucopFoto/@ucopppp

Namun paling mencuri perhatian adalah video dubsmash seorang pemuda, Yusof Hashim atau popular dalam kalangan pengguna Instagram dengan nama Ucop (@ucopppp). Video dubsmash pertama yang dimuat naik ke akaun instagramnya memaparkan Ucop lengkap berpakaian wanita dan berambut palsu dikelilingi rakan-rakannya berlatarbelakangkan lagu I’m an Albatraoz dendangan AronChupa.

Dalam tempoh singkat, populariti Ucop naik mendadak ekoran kreativiti setiap video 15 saat dubsmash yang dihasilkan. Ikuti temu bual ringkas Pepatung bersama lelaki berusia 21 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur ini.

Pepatung: Siapakah Yusof Hashim di dunia sebenar?
Yusof: Saya baru menamatkan pengajian dalam diploma komunikasi dan media. Kini saya bergiat aktif sebagai penari bebas, malah telah menceburkan diri dalam bidang tarian seawal umur 12 tahun. Sepganjang tempoh tersebut, saya telah menjayakan beberapa persembahan besar seperti Teater Muzikal Cuci (2012) dan Baik Punya Cilok (2015) di Istana Budaya.

Pepatung: Genre tarian anda?
Yusof: Street dance!

Pepatung: Adakah anda akan menjadikan tarian sebagai karier utama?
Yusof: Sejujurnya tidak. Ia merupakan minat terbesar saya, tetapi tidak merancang untuk meletakkannya sebagai profesion utama. Tidak lama lagi saya akan menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda seni persembahan.

Video/@ucopppp

Pepatung: Anda berjaya menarik perhatian komuniti media sosial tempatan menerusi siri video dubsmash anda, apakah keunikan video anda berbanding dubsmash orang lain?
Yusof: Dubsmash saya mempunyai penceritaan dengan penetapan karakter-karakter spesifik. Setakat ini saya telah menghasilkan tiga buah cerita berkisar tentang kehidupan Rowena (gadis Filipina), Tilagesh (gadis India) dan Siska (karakter drama bersiri Indonesia popular – Bawang Putih Bawang Merah).

Setiap jalan cerita menampilkan beberapa watak. Kisah Rowena turut disertai karakter lelaki bernama Jericho. Drama 15 saat Tilagesh pula melibatkan ibu dan kakaknya (Jayanthi). Siska yang sinonim sebagai antagonis dalam Bawang Putih Bawang Merah juga kini disertai ibunya, Rika Sumanto.

Pepatung: Bagaimana anda membezakan setiap karakter dan penceritaan video dubsmash anda?
Yusof: Setiap karakter menggunakan wardrobe yang sama. Kalau anda perasan, Rowena akan memakai tuala mandi putih di atas kepala, Jayanthi berselendang merah manakala Siska dengan rambut palsu lurus dan adakalanya bertopi.

Pepatung: Kecemerlangan anda menggerakan bibir mengikut setiap butir kata dalam video dubsmash anda, bersama ekspresi yang benar-benar ‘hidup’ selayaknya dipuji. Namun bagaimana anda melakukan semua itu?
Yusof: Ada orang ingat saya meletakkan kertas bertuliskan dialog daripada video-video tersebut di hadapan saya. Sebenarnya tidak! Sebelum merakam sesebuah video, saya akan tuliskan setiap patah perkataan di atas kertas bagi memudahkan proses menghafal. Selepas lancar menuturkan kata-kata tersebut, barulah sesi rakaman dlakukan sehinggalah ia benar-benar menjadi.

Video/@ucopppp

Pepatung: Ada sebahagian video itu disampaikan dalam bahasa Tagalog (Filipina) dan Tamil, adakah anda mahir bertutur dua bahasa tersebut?
Yusof: Tidaklah. Saya hanya mengikut bunyinya asalkan gerakan bibir itu sama. Ada sesetengah perkataan asing itu saya faham maksudnya.

Pepatung: Siapa yang membantu mempersiapkan anda sebelum merakamkan video?
Yusof: Kadang-kadang teman wanita saya akan membantu terutama bahagian solekan. Namun kebiasaannya saya lakukan sendirian.

Pepatung: Tujuan anda memuat naik video-video dubsmash tersebut?
Yusof: Sejujurnya memang ia dilakukan untuk hiburan peribadi. Bagaimanapun selepas beberapa video mendapat perhatian ramai, pengikut instagram saya meningkat naik melebihi 50,000 orang (kini lebih 70,000 pengikut). Sejak itu, ramai yang meminta saya membuat sambungan video untuk tiga cerita utama yang saya hasilkan. Timbul rasa serba salah kalau tidak memenuhi permintaan mereka, maka saya teruskan menghasilkan video-video baharu.

Video/@ucopppp

Pepatung: Bagaimana anda menetapkan jalan cerita setiap kisah?
Yusof: Kesemuanya disampaikan secara spontan. Saya tidak merancang secara spesifik dan disebabkan itu kadang-kadang ia merepek (ketawa).

Pepatung: Adakah kini anda tertekan dan berasa terpaksa menghasilkan video untuk para pengikut instagram anda?
Yusof: Tidak sama sekali. Malah saya berasa lebih bersemangat untuk menghasilkan video dubsmash yang lebih baik.

Pepatung: Penerimaan anda terhadap gelaran ‘Raja Dubsmash’ Malaysia kepada anda?
Yusof: Gelaran itu terlalu besar kerana saya rasa masih ramai yang menghasilkan video dubsmash lebih baik berbanding saya. Pada awalnya saya keliru dengan penerimaan luar biasa masyarakat. Pergi ke pasar malam pun orang pandang-pandang sehingga menimbulkan rasa kurang selesa. Memang tidak jangka sama sekali orang akan mengenali saya di luar sampaikan ada yang meminta bergambar.

Pepatung: Sejauh mana keseriusan anda menghasilkan video dubsmash?
Yusof: Ia tidak lebih daripada sekadar hobi. Selagi ia tidak menjana sebarang keuntungan (kewangan), saya tidak bercadang untuk menjadikan ia sebagai satu sumber pendapatan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini