Gemerlap Bintang Jennifer Lawrence

0
25

 

PERWATAKAN yang bersahaja serta tutur bahasanya yang kedengaran ‘lurus’ membuatkan penampilan Jennifer Lawrence sering dinantikan oleh para peminatnya.

Gadis cantik berusia 23 tahun yang berasal dari Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat (AS) ini bagaikan magnet komedi yang selalu tampil dengan lagak lucu setiap kali muncul di kaca televisyen mahupun anugerah-anugerah berskala besar.
Bagaimanapun, dia yang mula menceburi bidang lakonan sejak berusia 18 tahun tidak menggunakan kecantikan dan personaliti yang dimilikinya sebagai tiket untuk pergi dengan lebih jauh dalam industri hiburan.
Lihat sahaja mutu lakonannya melalui filem-filem seperti Winter’s Bone, Silver Linings Playbook, The Hunger Games dan American Hustle, ternyata, bakat dan keterampilan Jennifer bergerak seiring bersama dengan pengiktirafan yang diberikan kepadanya.
Isnin lalu, aktres berbintang Leo ini mengulangi kejayaan yang diraihnya tahun lepas dengan membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem American Hustle pada acara Anugerah Golden Globes ke-71 yang diadakan di Beverly Hilton Hotel, Beverly Hills, California, AS.
Anggun mengenakan gaun panjang berona hitam dan putih rekaan pereka terkemuka, Dior, dia kelihatan begitu gementar sewaktu namanya dipanggil untuk menerima anugerah tersebut.
Personaliti Gila-Gila
“Saya tidak tahu mengapa keadaan di sekeliling ketika ini sungguh menakutkan. Saya juga tidak tahu kenapa saya berasa sungguh cemas.
“Kemenangan ini merupakan sesuatu yang bagus, tetapi saya minta maaf kerana terlalu gementar. Saya tidak akan mengulanginya lagi,” katanya yang pernah membawa pulang anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Silver Lining Playbook pada majlis anugerah yang sama tahun lalu.
Mengulas lanjut mengenai anugerah yang diterimanya kepada portal hiburan People, Jennifer memberitahu, dia menegaskan, dia seperti mahu mengadakan sebuah parti yang besar bagi meraikan kemenangannya itu.
“Saya perlu adakan sebuah parti yang sangat besar untuk meraikan kemenangan saya ini.
“Mungkin sebab itulah saya sering dilabelkan sebagai pelakon yang ‘gila-gila’,” katanya sambil ketawa.
Namun, mengadakan sebuah parti bukanlah pilihan utama buat Jennifer. Katanya, banyak pilihan lain yang boleh dipilih untuk menunjukkan rasa syukur terhadap kemenangannya itu.
“Oh tidak, itu bukanlah satu jawapan yang baik. Jangan risau, malam ini saya akan meraikan kemenangan yang saya raih dengan keluarga dan teman-teman rapat,” ujarnya.
Menjadi inspirasi
Selain membina nama sebagai seorang pelakon yang hebat, gadis yang begitu sinonim dengan watak Katniss Everdeen menerusi siri filem The Hunger Games ini berharap agar kejayaan yang dikecapinya sekarang boleh dijadikan inspirasi oleh peminat-peminatnya yang rata-rata terdiri daripada golongan remaja perempuan.
Pesan Jennifer kepada peminatnya: “Jadilah individu yang kuat dan tabah dalam menghadapi dugaan.
“Jangan terikut-ikut untuk melakukan sesuatu yang bukan datang daripada diri sendiri.
“Jika anda diberi peluang untuk melakukan sesuatu perkara yang betul dan salah, pilih untuk melakukan perkara yang betul.
“Biasanya, perkara yang betul selalunya membuahkan hasil yang terbaik,” katanya positif.
Walaupun dia kini boleh berdiri sama tinggi dengan pelakon-pelakon berkaliber yang lain, namun, Jennifer tetap tegas dalam mendisiplinkan diri untuk tidak hanyut dalam industri hiburan di Hollywood.
“Saya bersyukur kerana dikurniakan keluarga serta rakan-rakan yang baik yang gemar melakukan aktiviti bersama-sama.
“Walaupun ia nampak klise tetapi saya pasti majalah tabloid kurang gemar dengan hubungan baik ini.
“Tetapi, ahli keluarga saya sangat memahami. Mereka merupakan sekumpulan individu yang sangat mengagumkan. Cuma saya sahaja yang sangat sibuk dengan kerja,” katanya lagi.
Isu bentuk badan
Walaupun bakat yang ada padanya tidak perlu dipertikaikan, tetapi, bentuk tubuh Jennifer sering menjadi bualan media apabila dia tidak tampil kurus mengikut standard saiz badan aktres Hollywood yang lain.
“Kita sering disogokkan dengan gambar-gambar model yang menghiasi setiap majalah fesyen sebagai wanita yang sempurna.
“Kita seharusnya menerima apa yang dikurniakan kepada kita. Jika kita tidak gembira, apa yang perlu dilakukan?
“Berlapar setiap hari untuk memuaskan hati setiap orang? Itu adalah kerja bodoh,” ujarnya tegas.
Jennifer dalam temu bualnya bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yahoo!, Marissa Mayer turut berkata, media elektronik masa kini juga turut memainkan peranan dalam meletakkan standard yang tidak sepatutnya kepada golongan wanita.
“Program televisyen se perti Fashion Police dilihat seperti menggalakkan penonton terutamanya generasi muda untuk menghakimi individu lain berdasarkan nilai-nilai yang kurang baik.
“Panggilan seperti gemuk dan hodoh bagaikan permainan bersahaja buat mereka.
“Paling menyedihkan, mereka berkata begitu kerana mereka menganggap itulah realiti sebenar dunia glamor.
“Sedangkan realitinya, apa yang mereka perlu lakukan ialah berhenti menghina dan memanggil orang lain dengan kata-kata yang boleh mengguris perasaan,” katanya lagi.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini