Penamat Taken 3 mudah dijangka

0
45

Filem: Taken 3
Pengarah: Olivier Megaton
Pengedar: 20th Century Fox
Durasi: 102 minit
Pelakon: Liam Neeson, Forest Whitaker, Famke Janssen, Maggie Grace dan Dougray Scott
Bintang: 3.5/5

5-taken

SEKUEL terakhir daripada trilogi Taken boleh dikategorikan sebagai filem yang paling ringkas plotnya. Selepas berjaya menggugah psikologi penonton pada tahun 2008 menerusi naskhah pertamanya, Taken 3 ditampilkan bersama jalan cerita dan kesinambungan lebih ‘selamat’ serta mudah ditelah.

Kejutan, kemuncak dan jangkaan putaran plotnya juga mudah diduga penonton yang telah mengikuti trilogi ini sejak awal. Namun, Taken 3 tetap berbisa, apatah lagi apabila peranan utamanya, Liam Neeson sebagai Bryan Mills sekali lagi mempersembahkan mutu lakonan mengagumkan.

Skilnya sebagai bekas ejen CIA kembali diasah dalam Taken 3 selepas dia dituduh membunuh bekas isterinya, Lenore (Famke Janssen). Ya, watak Lenore dibunuh dan ditamatkan dalam cerita terakhir ini. Sejak daripada Taken, kedinginan hubungan Bryan dan Lenore sebagai bekas pasangan suami isteri telah merentasi transisi melapangkan.

Taken 2 (2012) menyaksikan percambahan kasih sayang mereka dan ia dibantu satu-satunya anak perempuan mereka, Kim (Maggie Grace). Kesinambungan Taken 3 tidak berpusat kepada dendam penjenayah Albania terhadap Bryan. Sebaliknya ia membesarkan krisis rumah tangga yang dihadapi Lenore dan suaminya, Stuart St John (Dougray Scott) yang telah pun didedahkan dalam Taken 2.

Putik cinta Bryan dan Lenore hampir berbunga tetapi hal itu tidak disenangi Stuart. Konflik bermula apabila Lenore dibunuh di dalam rumah Bryan. Pihak polis (FBI) yang datang tidak lama kemudian cuba memberkas Bryan dan seperti dijangka, dia melawan dan melarikan diri.

4-taken

Posisinya sebagai suspek buruan polis meletakkan nyawa Bryan dan Kim sekali lagi dalam bahaya. Kebetulan, Kim hamil hasil hubungan bersama teman lelakinya (Jonny Weston) dan hal itu tidak diketahui bapanya.

Jika Taken dilakonkan di Paris (Perancis) dan Taken 2 di Istanbul (Turki), Taken 3 memilih Amerika Syarikat, tanah air karakter-karakter utamanya sebagai lokasi ‘pelarian’ Bryan. Biarpun dipinta FBI yang diketuai Franck Dotzler (Forest Whitaker) untuk menyerah diri dan membiarkan pihak polis mengambil alih siasatan, Bryan tetap dikemudi sikap degilnya yang enggan mengalah dan mahu mencari pembunuh Lenore secara solo.

Bagaimanapun, dia tetap dibantu tiga rakan baiknya, Sam (Leland Orser), Casey (Jon Gries) dan Bernie bagi melaksanakan misi pemburuan pembunuh Lenore. Kematangan Kim juga ditonjolkan kemas dalam naskhah kali ini.

Bermula sebagai gadis 17 tahun dalam Taken, kemudian memberanikan diri membantu bapanya dalam penculikan di Istanbul menerusi Taken 2, Kim versi dewasa sememangnya telah dilengkapi kemahiran semula jadi milik bapanya.

3-taken

Penamat filem ini mungkin agak klise, tetapi jika dikaitkan jalan ceritanya daripada naskhah pertama, Taken 3 adalah satu penutup logik yang dapat memuaskan hati penonton. Biarpun gagal melihat Bryan dan Lenore kembali disatukan sebagai keluarga, keutamaan Bryan terhadap kebahagiaan Kim kekal dijana sehingga penghujung cerita.

Bryan seorang bapa yang sanggup merisikokan nyawanya demi keselamatan Kim. Inilah nilai yang menerajui trilogi ini sejak awal. Keluarga mesti didahulukan walaupun terpaksa mengorbankan profesion kesayangan anda. Taken 3 mula ditayangkan hari ini di pawagam di seluruh negara. Selamat menonton dan stay focus!

 

Kredit foto: labande/belgafilms/lakwatseralovers

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini