Filem

Godaan psiko kacak dalam The Boy Next Door

By  | 

FILEM The Boy Next Door (TBND) dibikin dengan bajet AS$4 juta (RM14.4 juta). Rekod perbelanjaan yang rendah dalam skop perfileman Hollywood. Namun, kutipan pembukaannya sahaja berjaya memberi lebihan pulangan memberangsangkan. Biarpun dipersembahkan dalam gaya yang longgar dan kurangnya dialog menyegat, tema filem ini sendiri cukup untuk mengheret penonton ke pawagam.

Agak lama masyarakat tidak disajikan dengan jalan cerita psiko romantik. Genre ini begitu popular sekitar 1990-an (Basic Instinct misalnya), tetapi selepas cita rasa penonton beralih kepada filem animasi, aksi dan adiwira, produser Hollywood enggan mengambil risiko bagi menghasilkan filem sebegini.

Cubaan pengarahnya, Rob Cohen yang cuba mengetengahkan kembali penceritaan seorang pencinta psiko perlu dipuji meskipun terdapat pelbagai kelemahan. Tarikan TBND juga terletak kepada pendukung watak utamanya, Jennifer Lopez (JLo) yang mempunyai kelompok peminat yang besar. Lakonan JLo tidak menghampakan. Pada usia 45 tahun, JLo memainkan peranan sebagai Claire Peterson dengan bersahaja (mirip aksinya dalam Enough).

2-tbnd

Ryan Guzman yang diberi kepercayaan menggalas watak Noah Sandborn, seorang remaja psiko juga mengagumkan. Kebijaksanaannya memanipulasi wajah kacak dan tarikan fizikalnya sebagai Noah diterjemahkan dengan begitu efektif. Malah tidak keterlaluan dikatakan ada dalam kalangan penonton wanita yang ‘terperangkap’ dengan godaan maskulin Noah, sehingga Claire terjerat.

TBND berkisar tentang kehidupan Claire sebagai seorang wanita yang sedang mempertimbangkan keputusan untuk bercerai dengan suaminya, Garrett Peterson (John Corbett) selepas mendapat tahu Garrett menjalinkan hubungan sulit dengan setiausahanya. Sepanjang tempoh tersebut, Noah berpindah ke sebelah rumah Claire bagi menemani pak ciknya, Mr. Sandborn (Jack Wallace) yang sedang sakit.

Hubungan mereka mula rapat dan Noah yang digambarkan sebagai seorang lelaki berumur hampir 20 tahun, juga bersahabat baik dengan satu-satunya anak lelaki Claire dan Garrett, Kevin Peterson (Ian Nelson). Selepas kematian ibu bapa dalam kemalangan, Noah tidak sempat menamatkan pengajian sekolah menengahnya. Justeru, dia memilih untuk menyertai kelas yang diajar Claire di sekolah yang sama Claire bertugas sebagai seorang guru.

Konflik tercetus apabila Claire dan Noah melakukan hubungan intim pada satu malam. Kesal dengan kejadian itu, Claire mahu menghentikan hubungan terlarang itu serta-merta dan hal tersebut meresahkan Noah. Maka bermulalah episod menakutkan dalam hidup Claire. Obsesi Noah kepadanya meletakkan keluarga dan sahabat baiknya dalam bahaya.

3-tbnd

Bagi menghentikan ugutan Noah, Claire dan rakan baiknya yang juga naib pengetua sekolahnya, Vicky Lansing (Kristin Chenoweth)merancang untuk mendedahkan identiti sebenar Noah. Namun berjayakah mereka? Bagaimana pula nasib suami dan anak Claire? Segalanya terjawab dalam TBND.

Sejujurnya mungkin ramai akan kecewa dengan penamat cerita ini, tetapi kalau anda penggemar genre begini, tidak rugi menonton. Apatah lagi apabila dapat melihat kecantikan dan keseksian JLo serta ketampanan dan tubuh kekar Guzman, pasti mata anda tidak berkelip.

 

Kredit foto: hollywoodreporter/technologytell

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *