Buletin

Festari 2015: Empat kumpulan mara final

By  | 

PUSINGAN separuh akhir kategori Rampaian Tradisional menyaksikan lapan kumpulan terbaik yang disaring daripada 30 buah kumpulan pada pusingan suku akhir Festival Tari Malaysia (Festari) 2015 menunjukkan kehebatan masing-masing.

Tidak dinafikan ada antara kumpulan yang beraksi di pentas Festari 2015 mempamerkan kredibiliti dan kreativiti tersendiri yang luar biasa hebatnya namun ada antara kumpulan tahun ini gagal memberikan mutu persembahan bertaraf kebangsaan. Pada hemat penulis, mungkin ada kepincangan pada peringkat pemilihan suku akhir antara zon beberapa bulan lalu.

Apapun, tahniah diucapkan kepada empat kumpulan yang layak ke pentas akhir Festari 2015 yang bakal berlangsung pada 6 Jun (Sabtu) nanti iaitu Kumpulan Tari Aliff (Johor), Kumpulan Nyala Dance Theatre (Kuala Lumpur), Rentak (Selangor) dan Sanggar Budaya Miri (Sarawak).

IMG_2952 copy

Kumpulan Tari Aliff. Foto/ Pepatung

Kumpulan Tari Aliff yang menerima giliran kedua selepas persembahan Petra Tari (Kelantan) membuka mata penonton di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi persembahan Inang Teruna Dara. Selain koreografi, kekuatan kumpulan ini dilihat daripada sudut penggunaan lagu yang menarik.

Kehebatan postur tubuh penari-penari Sanggar Budaya Miri bagaimanapun berjaya menutup kesilapan salah seorang penari wanita yang tersangkut selendangnya di kepala hingga melayakkan kumpulan yang paling banyak menyertai Festari itu melangkah ke pusingan akhir.

IMG_3012 copy

Sanggar Budaya Miri. Foto/ Pepatung

Manakala, kumpulan Rentak yang mewakili negeri Selangor lebih banyak bermain dengan sudut kreativiti dan interaksi antara penari. Adakalanya, terbuai dengan keasyikan lenggok persembahan Asli Gurindam Jiwa & Inang Mendam Berahi bersama pemilihan warna busana yang menawan.

IMG_3047 copy

Kumpulan Rentak. Foto/ Pepatung

IMG_3151 copy

Nyala Dance Theatre. Foto/ Pepatung

Selaku kumpulan yang mewakili Kuala Lumpur sekali lagi tahun ini, Nyala Dance Theatre menggungguli kumpulan lain daripada sudut penataan cahaya, koreografi dan kekemasan luar biasa. Ada sentuhan personal dan dramatik diselitkan dalam setiap sela gerak langkah.

Bagaimanapun, Badan Kesenian Tentera Laut (Perak) terpaksa berpuas hati apabila tidak tersenarai antara empat pasukan yang layak ke pentas akhir Festari 2015. Menang sorak tidak bermakna gelaran juara berada dalam genggaman. Namun, pujian harus diberikan atas persembahan yang sangat menarik, sarat jiwa dan jujur.

IMG_3193 copy

Badan Kesenian Tentera Laut. Foto/ Pepatung

Buat Kumpulan Kesenian Pewaris (Terengganu) dan Le’Waris UMK (Kelantan) jangan berputus asa. Cuba lagi untuk kategori Tarian Tradisional Daerah pada malam ini.

Comments

comments

Selepas lima tahun bersama akhbar berbahasa Melayu tempatan, penulis memanjangkan langkah dalam bidang rekaan fesyen bersama label peribadi. Kecintaan terhadap dunia penulisan dilanjutkan bersama Pepatung berbekalkan pengalaman skop hiburan, pelancongan dan biografi.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *