Faiz Dickie mahu jelmakan komuniti ‘Village People’

1
44

KEMENANGAN Faiz Dickie pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2014 menerusi kategori Online – Personaliti Popular mungkin sudah dijangka. Namun kejayaan pemuda berusia 27 tahun itu menumpaskan nama-nama besar yang terdiri daripada Nedim Nazri (Bossned), Felixia Yap, Mat Lutfi dan Wak doyok membuktikan betapa besar pengaruh Faiz Dickie di laman sosial.

Faiz Dickie atau nama sebenarnya Mohd. Nasrul Faiz Abu Azal mencetuskan fenomena apabila ‘komik sengal’ dan video lucunya mula menarik perhatian pengguna laman sosial Instagram kira-kira setahun yang lalu. Karya humor bersulamkan mesej tersirat yang digambarkan menerusi penciptaan watak seperti Kak Leha Bunting, Naabella, Sarabanon, Nurse Puaka dan Qais Wildan turut mendorong kepada pembentukan komuniti bergelar ‘Village People‘.

Sedang menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Sussex, United Kingdom, Faiz Dickie ketika dihubungi Pepatung sempat berkongsi kesyukurannya memenangi anugerah tersebut dan perancangan masa hadapannya.

1-village people

Pepatung: Tahniah atas kemenangan anda di ABPBH2014. Ia merupakan anugerah pertama buat anda dan secara peribadi, mengapa anda rasa pengundi-pengundi memilih anda?
Faiz Dickie: Saya berpendapat bahawa komik dan video yang saya hasilkan menjadi penyumbang terbesar kepada kemenangan tersebut. Lagipun setiap karya yang dihasilkan begitu dekat dengan diri orang ramai dan berkait rapat dengan kehidupan mereka. Malah setiap pengikut saya anggap dan layan seperti kawan, bukan sebagai peminat. Jadi apabila mereka mengundi, ia seolah-seolah seperti mengundi kawan sendiri dan sudah tentu kemenangan itu menggembirakan mereka.

Pepatung: Adakah anugerah penting untuk penjenamaan Faiz Dickie dan adakah ia bakal mengubah apa-apa dari segi karya mahupun imej anda?
Faiz Dikcie: Anugerah tidak mengubah apa-apa pada diri saya. Personaliti dan karakter saya tetap tidak berubah. Cuma ia merupakan satu pengiktirafan terhadap kerja keras saya selama ini dan membuktikan bahawa ia bukanlah sekadar lawak bodoh, tetapi juga sebuah karya bermesej yang disampaikan dalam bentuk parodi.

Pepatung: Bagaimana anda menerima status populariti dalam kehidupan sekarang dan penyesuian privasi hidup berbanding dulu?
Faiz Dickie: Populariti datang dalam dua cabang; positif dan negatif. Dari sudut positif, tentunya ia menjadikan saya lebih dikenali, menambah jaringan kenalan, menjana pendapatan sampingan dan paling penting, berupaya menggunakannya bagi membantu individu atau pihak yang memerlukan. Namun lumrah menjadi popular juga membuatkan kita tidak disukai orang yang tidak mahu memahami apa yang saya cuba sampaikan tetapi lebih gemar menghentam.

Privasi pula setakat ini tidaklah begitu ekstrem mungkin kerana saya berada di luar negara. Di sini pun saya masih bebas keluar bersama kawan-kawan dan adakalanya terserempak dengan kelompok Village People.

Pepatung: Perancangan apabila kembali Malaysia? Adakah anda akan kembali bekerja sebagai wartawan atau mahu fokus sebagai selebriti media sosial?
Faiz Dickie: Setakat ini belum ada perancangan konkrit, cuma saya tidak bercadang untuk menyertai industri seni arus perdana seperti menjadi pelakon atau sebagainya. Kemungkinan besar saya akan kembali berkhidmat dalam industri media, sama ada menjadi wartawan ataupun apa-apa sahaja pekerjaan membabitkan media. Dalam masa yang sama, saya akan meneruskan berkarya di Instagram tetapi mungkin akan dikurangkan. Mengikut perancangan asal, sekembalinya ke Malaysia saya ingin memohon menjadi pensyarah. Justeru apabila menyertai bidang profesional, sahsiah diri perlu dijaga termasuk perkongsian di media sosial.

Pepatung: Sejauh mana anda ingin melihat jenama Faiz Dickie berkembang?
Faiz Dickie: Jika boleh saya mahu melihat jenama Village People yang berkembang kerana orang selalu menyimpan persepsi negatif kepada orang kampung. Saya mahu ia dijenamakan sebagai satu gerakan yang hip dan memandangkan ia sudahpun membentuk komuniti di Instagram, saya bercadang untuk menghidupkan komuniti ini di dunia realiti. Banyak perancangan dan kemungkinan yang boleh dicipta menerusi Village People seperti penganjuran bazar, hari keluarga dan penganjuran program berbentuk amal. Jenama Village People yang ingin saya ketengahkan dan biarlah Faiz Dickie itu berdiri di belakang jenama Village People.

Pepatung: Ucapan buat penyokong dan pengikut anda di luar sana?
Faiz Dickie: Terima kasih kepada semua yang bergelar Village People, kawan-kawan rapat dan semua yang menyokong saya di Instagram selama ini. Terima kasih atas pengiktirafan yang diberikan dan teruskan sokongan anda.

Kredit foto: @faizdickievp

KONGSI
Artikel sebelumnyaPentas komersial Khalid Salleh
Artikel seterusnyaEnam persediaan sebelum ke salon

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

1 KOMENTAR

  1. Semoga terus sukses dalam pepatung..menjadi salah seorang penulis berkaliber..hidup Alif…God will judge U..tahniah

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini