Dramatik AJL29

0
84

LAGU bermesej peribadi ciptaan Joe Flizzow dan SonaOne, Apa Khabar dijulang sebagai Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) yang berlangsung penuh gegak gempita di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur Ahad lalu. Keputusan luar jangkaan itu sekali gus menidakkan telahan awam yang condong mengharapkan lagu Di Pintu Syurga (Dayang Nurfaizah) dan Sesal Separuh Nyawa (Alyah) untuk muncul sebagai pemenang utama.

13-ajl29

Bagaimanapun, Di Pintu Syurga masih menepati ramalan apabila berjaya merangkul tempat ketiga. Lebih manis apabila pendendang karya ciptaan Tam (Spider) dan Iman Amran itu, Dayang turut menggondol trofi Vokal Terbaik, mengecewakan saingan terdekatnya, Indah Ruhaila yang tampil cemerlang menyampaikan lagu Percayalah.

Mengangkat tema Gema dalam Muzik, AJL29 dibuka oleh barisan pemuzik prolifik tanah air. Persembahan ala battle ditampilkan penuh kental oleh Black (Wings), Joe (Wings), Ujang (Exist), Rody (Kristal), Genervie dan Yanz (Lefthanded). Ia kemudiannya disusuli medley lagu Hati Emas dan Mentera Semerah Padi oleh Datuk M. Nasir.

Di pertengahan saingan, penonton disajikan dengan persembahan gabungan enam protege daripada rancangan realiti TV, Mentor Legend. Azmil, Fahmie, Tuah, Aina, Nadeera dan Sarah berpadu suara mendendangkan lagu Ku Mohon (nyanyian asal Sheila Majid) sebagai satu tribut buat mangsa-mangsa yang terkesan di atas musibah yang melanda negara sepanjang tahun lalu. Persembahan yang seharusnya menyentuh jiwa bertukar menjadi medan beradu vokal sesama mereka dan ia amat mengganggu fokus penonton.

12-ajl29

Penutup AJL29 dikemudi oleh Tomok dan Ronnie sebelum pentas diambil alih Headwind menampilkan vokalisnya, Zainal Abidin. Secara keseluruhannya, AJL29 masih boleh diperbaiki daripada pelbagai sudut. Pasangan pengacara misalnya, gagal memikul tanggungjawab sebaiknya sehingga mereka (Scha Alyahya dan AG) dibandingkan penonton dengan barisan pengacara terdahulu (Ally Iskandar, Cheryl Samad dan Faizal Ismail sekadar menyebut beberapa).

Tiada keserasian, kurang bijak mencipta debaran penonton dan cetek pengetahuan tentang sejarah/informasi komposer dan penyanyi yang bertanding. Pihak TV3 perlu melakukan perubahan untuk AJL akan datang dan tidak mengulangi kesilapan tersebut.

Berikut merupakan keputusan penuh AJL29:

Juara Lagu: Apa Khabar (Joe Flizzow/SonaOne) – RM50,000
Naib Juara: Masih Aku Cinta (Shila Amzah) – RM35,000
Ketiga: Di Pintu Syurga (Dayang Nurfaizah/Tam/Iman Imran) – RM20,000
Vokal Terbaik: Dayang Nurfaizah (Di Pintu Syurga) – RM12,000
Persembahan Terbaik: Mojo feat Caliph Buskers (Romancinta) – RM12,000

Mari kita soroti antara 11 lagu yang bertanding semalam.

1) Malaikat
Penyanyi: Hazama
Komposer dan penulis lirik: Omar K, Mike Chan dan Hazama

1-ajl29

Seperti judul lagunya, demikian simbolik yang cuba ditampilkan Hazama menerusi persembahannya. Gambaran malaikat berimejkan warna putih mudah dimengerti penonton. Uniknya apabila jubah putih yang disarungkan Hazama dicorakkan penataan grafik daripada projektor. Sebagai pembuka gelanggang AJL29, Malaikat adalah satu persembahan menyenangkan, sederhana dan sweet.

2) Percayalah
Penyanyi: Indah Ruhaila
Komposer: Aiman
Penulis lirik: Mohd. Atlas

2-ajl29

Hebat! Kenyataan yang terpacul dari mulut ramai orang usai Indah menamatkan persembahannya. Rata-rata terpesona dengan kelantangan vokal Indah yang bersalut emosi. Tampil berseorangan, berdiri di tengah platform bulat dikelilingi asap dan bergaun kembang, tumpuan penonton tetap terarah terhadap kemantapan penyampaian Indah. Saat tiba-tiba tiga lampu candelier terhempas jatuh ke lantai (lampu keempat tidak jatuh) serentak dengan klimaks lagu, penonton terbungkam, terkejut dan terpaku.

Ketua juri, Azmeer memuji persembahan Indah dan meletakkannya sebagai saingan terdekat Dayang Nurfaizah bagi merebut gelaran vokal terbaik. Biarpun gagal, penyertaan sulung Indah di pentas AJL telah pun merekodkan prestasi luar biasa baginya sebagai seorang pendatang baharu.

3) Sesal Separuh Nyawa
Penyanyi: Alyah
Komposer: Alfie Alwi dan Aidil
Penulis lirik: Shah Shamshiri dan Alyah

3-ajl29

Sayang sungguh persembahan Alyah kali ini. Lebih separuh lagu Alyah melantunkan vokal secara bersembunyi dan menjadikan dua skrin gergasi sebagai paparan imej dirinya (dirakam terlebih dahulu). Sejenak penonton berfikir, barangkali Alyah enggan muncul berdepan orang dan mahu menyanyi di belakang pentas sahaja. Namun akhirnya Alyah muncul pada bahagian bridge lagu dan menggamatkan seisi stadium.

Sesal Separuh Nyawa mungkin pertaruhan paling peribadi untuk Alyah. Lagu ini menjadi begitu intim pada telinga pendengar susulan pendedahan kekecewaannya terhadap suaminya, Datuk Ramli MS (yang turut mengiringi persembahan kesemua peserta AJL29) yang dibocorkan sendiri Alyah menerusi laman Instagram miliknya.

Justeru, apabila kamera menindihkan aksi Alyah menyanyi sambil Ramli membimbing barisan pemuzik secara bersebelahan di layar skrin (juga dilihat di kaca TV), penonton bergemuruh. Emosi Alyah begitu memukau cuma mungkin sedikit terganggu sehingga vokalnya kurang menyengat.

4) Gadis Jolobu
Penyanyi: W.A.R.I.S dan Datuk Hattan
Komposer: DJ Fuzz
Penulis lirik: W.A.R.I.S dan Datuk Hattan

4-ajl29

Sejujurnya, penangan W.A.R.I.S lebih berbisa menerusi lagu pertamanya dulu, Rembau Most Wanted tetapi sayang ia gagal melangkah ke pentas akhir AJL pada edisi lalu. Pertaruhannya dengan Gadis Jolobu, bergandingan bersama Datuk Hattan juga tidak kurang hebatnya. Bagaimanapun, ia tidak begitu meninggalkan impak sama ada dari sudut persembahan mahupun penyampaian. Jika ia ditampilkan dengan lebih kreatif, mungkin penonton tidak akan melabelkan ia sebagai sebuah lagu pelengkap (filler) sesebuah pertandingan.

5) Romancinta
Penyanyi: Mojo feat Caliph Buskers
Komposer dan penulis lirik: Edry Abd. Halim

5-ajl29

Andai ada anugerah juara pilihan penonton, pasti Romancinta akan menang mudah. Selain memenangi Persembahan Terbaik, lagu ini juga berjaya memenangi hati jutaan rakyat Malaysia yang menonton siaran langsung AJL29 Ahad lalu. Percaturan Edry bagi menampilkan kumpulan busking (jalanan), Caliph Buskers yang dianggotai individu dengan masalah penglihatan ternyata menjadi. Nyanyian oleh tunjang kumpulan itu, Azmi meruntun jiwa semua yang mendengar dan menonton sehingga ada yang menitiskan air mata.

Disampaikan dengan penuh kejujuran (mungkin lebih baik berbanding penyanyi asal), persembahan Romancinta adalah bukti bahawa sesebuah karya itu mampu dihidupkan siapa pun asalkan ia disampaikan secara ikhlas dan penuh penghayatan. Bak kenyataan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar: “A great singer is a great singer. Penyertaan Caliph Buskers bersama Mojo adalah satu pendekatan bijak dan ia membuktikan bahawa bakat di Malaysia ini berada di mana-mana.”

14-ajl29

Pemilihan Caliph Buskers adalah atas keputusan Edry selepas dia sendiri menyaksikan persembahan kumpulan itu di tepi jalan, berhadapan pusat beli-belah Sogo. Edry menawarkan mereka untuk beraksi di atas pentas AJL29 dan tindakannya memang berbaloi.

“Siapa yang menerima dengan ikhlas, pasti ia akan datang dengan kejayaan. Satu pintu tertutup, lima pintu terbuka,” begitulah simpulan yang dibuat Edry bagi menjawab persoalan berhubung kontroversi keengganan penyanyi asalnya yang juga bekas vokalis Mojo, Aweera membawakan lagu Romancinta di pentas akhir AJL29.

6) Rentak Laguku
Penyanyi: Bunkface dan Amy Search
Komposer dan penulis lirik: Sam Bunkface

6-ajl29

Bertenaga namun tiada magis dalam persembahan ini. Meskipun menyatukan legenda rock, Amy Search dan ikon rock semasa, Bunkface, Rentak Laguku sekadar satu hiburan biasa buat penonton. Tidak keterlaluan dikatakan gilirannya malang kerana orang ramai masih belum habis terpukau dengan persembahan Romancinta. Ia telah membayangi persembahan susulannya terutama lagu ini.

7) Apa Khabar
Penyanyi: Joe Flizzow feat SonaOne
Komposer: Joe Flizzow dan SonaOne
Penulis lirik: Joe Flizzow

7-ajl29

Penyampaian dan persembahan sederhana. Pentas yang luas hanya diisi kelibat Joe dan SonaOne. Sambil Joe membutirkan bait-bait rap, SonaOne pula memberi rencah kepada penyandang Juara Lagu ini dengan tiga baris lirik mudah “Aku tanya apa khabar, aku tanya apa khabar, aku tanya apa khabar semua.”

Apa Khabar disifatkan Joe sebagai karya peribadi baginya. Mengakui kemenangan lagu ini sesuatu di luar dugaan, malah Joe turut mendedahkan bahawa Apa Khabar hampir tidak dimuatkan di dalam album Havoc. Lagu ini adalah madah Joe kepada para peminatnya tentang perspektif berkenaan konflik yang selama ini enggan diulas. Umum mengetahui Apa Khabar merupakan mesej jujur Joe kepada sahabat dan rakan rapnya ketika di dalam Too Phat, Malique.

“Selama 15 tahun saya berkecimpung dalam dunia hip hop. Banyak pahit manis dilalui, bermula dengan gerakan bawah tanah sehinggalah persembahan di gig-gig tanpa permit. Dulu orang stereotaipkan hip hop sebagai budaya luar dan transisi genre ini agak panjang. Jadi kejayaan ini saya dedikasikan kepada kesemua guru saya,” kongsi Joe.

16-ajl29

Sementara itu,  Azmeer pula memperincikan, pemilihan Apa Khabar selaku juara adalah tepat selepas mengambil kira analisis daripada pelbagai faktor. Katanya, dalam seni muzik terdapat banyak kategori termasuk ritma, persembahan keseluruhan, vokal, susunan dan notasi. Kesemua faktor tersebut dinilai dan lagu ini menyerlah dari segenap segi.

Ritma rap Joe disifatkan berbeza berbanding pengucapan rap yang standard kerana ia memiliki ‘henjutan’ dan bermelodi. Kekuatan liriknya juga memainkan peranan penting, di samping dinamik vokal Joe serta motif dalam penyampaian SonaOne. Biarpun ada yang mengatakan ia menggunakan rangkap berulang, namun menurut Azmeer, dari sudut kesenian, motif itu ada pada bahagian SonaOne dan ia diwarnai oleh rangkap-rangkap rap Joe.

“Selain persembahan malam ini (Ahad), lagu-lagu yang bertanding turut diadili menerusi kualiti rakamannya (di dalam studio rakaman). Lagu Apa Khabar memang memiliki kualiti rakaman yang terbaik. Jadi tidak sepatutnya timbul cerita bahawa terdapat rancangan yang mahu menaikkan lagu bergenre hip hop sebagai pemenang AJL tahun ini.

“Sejujurnya tiada pihak yang menentukan pemenang terlebih awal. Para juri juga dilarang melakukan sebarang perbincangan sepanjang tempoh pra-pengadilan. Kita memang tidak dapat mengelakkan daripada desas-desus tentang ramalan kemenangan sesebuah lagu yang kuat. Sebagai juri, kami telah diamanahkan untuk memartabatkan karya yang terbaik,” jelas Azmeer.

8) Gilalah
Penyanyi: Stacy
Komposer: Omar K dan Mike Chan
Penulis lirik: Stacy

8-ajl29

Kadang-kadang tertanya-tanya, mengapa Gilalah tersenarai dalam 12 lagu akhir di AJL29? Namun pujian harus diberikan kepada Stacy kerana tetap menampilkan persembahan rancak yang menghiburkan. Tidak ramai (mungkin tiada) artis di Malaysia ini yang mempunyai konsistensi menyanyi sambil menari selincah Stacy secara langsung. Bagaimanapun diharapkan Stacy akan lebih kreatif di masa akan datang kerana idea persembahannya dikritik sebagai menciplak muzik video (dan persembahan) Katy Perry menerusi lagu California Gurls.

9) Di Pintu Syurga
Penyanyi: Dayang Nurfaizah
Komposer: Tam (Spider)
Penulis lirik: Iman Imran

9-ajl29

Selepas kali terakhir muncul di pentas akhir AJL pada tahun 2005 (AJL19) menerusi lagu Erti Hidup (Juara kategori Etnik Kreatif), Dayang kembali mencipta spektakular. Membawakan lagu berhantu, Di Pintu Syurga, persembahan Dayang adalah antara yang terbaik pernah disaksikan dalam sejarah AJL. Penjiwaannya dahsyat ditampungi keampuhan vokal. Persembahan ini mempertaruhkan kualiti sebenar gandingan muzik dan penyanyi.

“Saya amat bersyukur dan kemenangan vokal terbaik sememangnya satu pengiktirafan yang amat dinanti-nantikan oleh seorang penyanyi. Memang bila diumumkan saya pun macam tidak percaya. Secara peribadinya, saya anggap seluruh usaha dan kerja keras selama ini berbaloi,” luah Dayang yang memastikan setiap butir kata yang disampaikan jelas maksudnya, jujur dan sampai kepada pendengar.

17-ajl29

Sementara itu, mengulas kemenangan Dayang bagi kategori Vokal Terbaik, Azmeer menjadikan bahagian nyanyian solo Dayang tanpa muzik sebagai rujukan sempurna. Ia adalah bukti kemampuan Dayang untuk menyampaikan lagu dengan pitch sempurna dalam gaya bebas tempo.

10) Matahari
Penyanyi: Hafiz Suip
Komposer: Ajai
Penulis lirik: Transformer Melayu

10-ajl29

Tiada ekspektasi tinggi disandarkan buat Hafiz menerusi lagu ini. Vokalnya tetap hebat cuma ia tidak mencapai tahap sehingga mampu memegun penonton. Satu persembahan sederhana dan mungkin saingan pada AJL kali ini amat sengit sehingga membenamkan potensi Matahari untuk mendapat posisi tiga lagu terbaik.

11) Lelaki
Penyanyi: Najwa Mahiaddin dan The Palauans (nyanyian asal oleh Yuna)
Komposer: Yuna dan AG Coco
Penulis lirik: Yuna

11-ajl29

Pengganti Yuna untuk lagu ini, Najwa Mahiaddin begitu sesuai sekali. Pesona karya ini disampaikan Najwa dengan bersahaja, tidak berlebihan dengan momentum secukupnya. Ia satu pertunjukan berstandard, punya kelas tersendiri dan mungkin dalam skala arus perdana, orang belum dapat menghargai persembahan berjiwa seni ini.

Corat-coret AJL29
1) Satu daripada empat lampu candelier yang menghiasi persembahan Indah Ruhaila (Percayalah) tidak jatuh dan menimbulkan pertanyaan penonton sama ada lampu yang lain terjatuh tanpa sengaja ataupun adalah sebahagian daripada persembahan.
2) Satu daripada kain putih ketika persembahan Headwind tidak terjatuh dan memaksa seorang kru menarik kain tersebut di bawah pentas agar ia tidak melindungi kamera.
3) Para penyokong Hafiz membawa bunga matahari sebagai simbolik lagu yang dipersembahkan Hafiz yang juga berjudul Matahari.
4) Jaafar Onn dan Azwan Hj. Ali adalah antara dua selebriti yang mendapat sorakan gemuruh apabila mereka berdiri dan berjalan dari tempat duduk mereka.
5) Konfeti untuk pengumuman keputusan meletup lebih awal ketika waktu iklan terakhir.
6) Dayang Nurfaizah mengalami kesukaran menaiki tangga ketika diumumkan sebagai pemenang Vokal Terbaik berikutan dres yang dipakainya.

*Kesemua foto acara disumbangkan oleh Malaysia Gazette: Jurufoto – Fareez Fadzil

KONGSI
Artikel sebelumnyaRejim peribadi si tampan Godfrey Gao
Artikel seterusnyaKarpet Merah Jambu AJL29
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini