Destinasi Muzik Nazim Othman

0
48

KETIKA cahaya matahari masih terang membaham patio berdinding kaca yang terletak bersebelahan kafe The Best Brew, Hotel Four Points by Sheraton, Pulau Pinang, ekor mata tertancap pada sosok tubuh lelaki berketinggian lebih kurang 178 sentimeter yang melangkah masuk menuju ke ruang dalam kafe tersebut.

Mengenakan busana serba hitam rekaan pereka fesyen tempatan, Joe Chia, pemilik nama Nazim Othman kelihatan tersenyum seraya menghulurkan tangan tanda perkenalan.

“Saya ke bahagian belakang sebentar untuk sesi fotografi. Kemudian kita boleh teruskan temu bual,” tuturnya.

Pertemuan penulis Izwan Mohd. Isa dengan pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Deja Vu Di Kinabalu itu diatur bersempena dengan pelancaran koleksi baharu jenama cermin mata hitam terkemuka dari Jerman, iC Berlin.

Menerusi majlis pelancaran yang diadakan di Gurney Plaza, Pulau Pinang baru-baru ini, Nazim merupakan salah seorang selebriti yang dipilih oleh syarikat cermin mata gergasi berkenaan untuk memperagakan koleksi terbaharu mereka.

Jadi penyanyi
Cabang karier jejaka berusia 30 tahun ini semakin berkembang setelah mula menjinakkan diri sebagai pelakon kira-kira enam tahun lalu.

Selain beraksi di hadapan kamera, portfolio seni Nazim semakin sarat apabila bekas pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) ini bakal muncul dengan sebuah single debut berjudul Destinasi.

“Single ini telah siap dirakamkan sejak tahun lepas. Bagaimanapun, saya tidak menyiarkannya di corong-corong radio mahupun memasarkannya terlebih dulu menerusi platform muat turun digital kerana saya mahu ia diterbitkan bersama dengan sebuah klip video.

“Jika berkesempatan, insya-Allah lagu dan klip video itu akan dipasarkan secara rasmi selepas hari raya nanti,” ujar Nazim yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran bagi klip video lagunya itu.

Mendapatkan khidmat komposer terkenal, Mohariz Yaakob serta Nurfatimah selaku penulis lirik, Nazim memberitahu, pengisian lagu tersebut lebih menjurus ke arah motivasi dan ia ditujukan khusus untuk para peminatnya.

“Pada asalnya, lirik lagu Destinasi berkisar tentang cinta sepenuhnya. Namun, setelah berbincang beberapa kali dengan Nurfatimah, akhirnya saya dapat lirik yang saya mahukan. Apa yang penting, liriknya sesuai dengan melodi lagu tersebut,” katanya.

Selari dengan komposisi muzik yang digarap rancak, Nazim berharap agar lagu itu dapat mengekspresikan mesej yang ingin disampaikannya kepada pendengar.

“Saya akui, peminat saya terdiri daripada golongan muda. Justeru, pemilihan konsep segar serta genre rancak bagi lagu ini dilihat selari dengan kelompok peminat saya,” katanya lagi.

Kitaran seni
Menyentuh tentang perancangannya untuk bergelar penyanyi yang dilihat sedikit lewat, Nazim berkata, dia sentiasa terbuka untuk mencuba sesuatu yang baharu asalkan ia tidak bercanggah dengan jadualnya.

“Pada pendapat saya, ia merupakan suatu kitaran yang akan bermula dan berakhir di tempat yang sama. Saya bermula sebagai model dan kemudiannya melebarkan sayap sebagai pelakon.

“Sepanjang tiga tahun berlakon, tawaran yang diterima tidak pernah putus. Saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan. Namun, jauh di sudut hati, saya ingin mencuba perkara lain. Tidak salah rasanya jika saya mencuba bidang nyanyian pula,” ujarnya.

Sewaktu ditanya mengenai nilai eksklusif serta sifat selektif yang diterapkan dalam dirinya, Nazim mengakui, dia merupakan seorang pelakon yang memilih dan ia kadangkala berlaku atas sebab tawaran itu sendiri.

“Jika kita bercakap tentang pemilihan watak atau karakter, ia begitu subjektif. Sebagai pelakon, saya juga perlu menilai sesebuah skrip itu sama ada ia bersesuaian dengan saya atau tidak.

“Lagipun, jika saya menerima tiga tawaran berlakon serentak, sudah pasti saya akan memilih yang terbaik,” ujarnya sambil tertawa.

Penampilan
Melihat pada sosok fizikal serta gambar-gambar beriadah di gimnasium yang sering dimuat naik oleh Nazim di akaun Instagram peribadi miliknya, pasti ramai yang sedar akan obsesi jejaka berbintang Virgo ini terhadap penjagaan kesihatan.

Menurutnya, bentuk badan yang cantik itu merupakan suatu bonus. Apa yang lebih penting adalah bagaimana seseorang pelakon itu menonjolkan bakatnya serta ketekunan dalam bidang lakonan.

“Pada pendapat saya, memang agak sukar untuk menerima pelbagai jenis watak jika badan terlalu besar atau terlalu kurus.

“Saya pernah disarankan segelintir produser pada awal kemunculan sebagai pelakon untuk membina sedikit otot pada badan. Kata mereka, sukar untuk saya mendapat watak utama jika badan tampak terlalu kurus.

“Lagipun, apabila pergi ke gimnasium untuk bersenam, ia bukan tertumpu pada nilai estetik sahaja, malah tubuh badan juga akan kekal sihat kerana aktif bersenam,” katanya.
Nazim turut memberitahu, selain beriadah, dia juga begitu teliti dalam penjagaan penampilannya agar kelihatan segar setiap kali masuk ke set penggambaran.

“Selagi mampu, saya akan pastikan muka saya dicuci bersih setiap hari. Apatah lagi selepas tamatnya penggambaran. Selain itu, saya juga mengamalkan diet yang seimbang dan minum air dengan kadar yang mencukupi.

Seharum Rindu
Dalam perkembangan terbaharu, Nazim kini sedang sibuk menjalani penggambaran bagi sebuah drama bersiri berjudul Seharum Rindu. Atas tuntutan kerja, Nazim bersama pelakon lain seperti Elfaeza Ul Haq dan Syikin Kamal diterbangkan ke Amsterdam, Belanda selama dua minggu.

Lebih gemar menjalani penggambaran di negara sendiri, Nazim menjelaskan, banyak aspek perlu diambil kira jika terlibat dengan proses penggambaran di luar negara.

“Kesukaran yang dihadapi ketika proses penggambaran itu perkara biasa tetapi keadaan akan lebih sulit jika ia berlaku di tempat orang. Jika di Malaysia, masalah lokasi bukan suatu perkara yang rumit, namun apabila berada di luar negara, semuanya perlu difikirkan secara terperinci.

“Di Amsterdam, cabaran paling besar adalah cuaca. Keadaan persekitaran lebih sejuk daripada ramalan harian. Selain itu, banyak babak perlu dihabiskan dengan kadar segera kerana masa di sana sangat suntuk,” ujarnya lagi.

*Seperti yang ditulis untuk akhbar Kosmo!.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini