Hiburan

Bodyguard sado di TV3

By  | 

Kali terakhir jika kita sebut tentang kisah ‘Bodyguard’, pastinya kita membayangkan hero Hollywood terkenal, Kevin Costner yang membawakan watak Frank Farmer yang melindungi penyanyi pop terkenal Rachel Marron lakonan mendiang Whitney Houston. Kisah cinta dan kesetiaan serta lakonan berkesan antara yang menjadikan filem itu malar segar di kotak minda para penonton.

Kini penonton Malaysia juga bakal disajikan dengan sebuah drama bersiri terbaharu yang bakal mengangkat kerjaya pengawal peribadi tetapi dari konteks tempatan. Pengenalan kepada kerjaya ini yang kurang mendapat pendedahan menjadikan drama bersiri ‘Bodyguard’ yang bersiaran di TV3 mulai 2 Mac setiap Isnin hingga Rabu jam 10.00 malam, antara yang menarik untuk ditonton.

Bodyguard membariskan lima pelakon lelaki tampan bertubuh sasa iaitu Fattah Amin, Azrel Ismail, Idris Khan, Lan Siro dan Sabhi Saddi sebagai teraju utama. Malah bagi menjayakan lagi lakonan drama arahan Nuad Haji Othman ini, mereka telah dihantar untuk latihan intensif bagi mempersiapkan diri mereka untuk memegang watak ini.

Asas latihan menembak dan menunggang kuda adalah di antara kemahiran yang mereka pelajari ketika pembikinan drama ini. Malah Nuad Haji Othman yang juga merupakan seorang guru silat turut memberi tunjuk ajar dalam seni mempertahankan diri. Bagi memastikan keberkesanan para pelakon ini menjiwai watak, mereka juga dilatih oleh Timbalan Presiden Pegawai Peribadi Malaysia, Encik Basri agar mereka benar-benar faham tentang tugas sebagai seorang pengawal peribadi.

Bodyguard 4

Bodyguard mengisahkan lima orang jejaka Faris (Fattah Amin), Rayyan (Azrel Ismail), Daniel (Idris Khan) Rahul (Lan Siro) dan Basri (Sabhi Saddi) yang bekerja sebagai pengawal peribadi di sebuah agensi milik Nasha (Farahdhiya). Di dalam setiap episod, pelbagai cabaran terpaksa dihadapi oleh setiap bodyguard. .

Setiap seorang daripada mereka mempunyai kemahiran yang berbeza-beza. Faris ialah seorang pakar penembak. Azrel Ismail sebagai pakar taktik peperangan. Rahul dan Basri pula pakar dalam kombat dan medik. Manakala Daniel pakar perunding dan dalam bidang teknologi. Setiap watak akan diperkembangkan sepanjang 20 episod drama ini bersiaran.

Namun dalam melaksanakan tugas dan misi yang berisiko, lima orang pengawal ini bukan sahaja bakal bergelut dengan risiko profesion mereka tetapi juga konflik kehidupan peribadi mereka tersendiri. Malah soal cinta juga turut menjadi sebahagian daripada kisah ini apabila Nasha terperangkap dengan cinta segitiga bersama Faris dan Rayyan.

Selain lima watak utama, para penonton juga akan melihat kemunculan beberapa pelakon lain dan penampilan khas seperti Datuk Hattan, Adibah Yunus, Hafizul Kamal dan ramai lagi.

Apakah risiko yang bakal mereka hadapi? Bagaimanakah lima jejaka ini bakal menyempurnakan tugas mereka? Tonton drama bersiri Bodyguard yang bakal bersiaran di slot Aksi mulai 2 Mac 2016, setiap Isnin hingga Rabu, jam 10.00 malam secara eksklusif di TV3.

Bodyguard 9

 

Comments

comments

Selepas lima tahun bersama akhbar berbahasa Melayu tempatan, penulis memanjangkan langkah dalam bidang rekaan fesyen bersama label peribadi. Kecintaan terhadap dunia penulisan dilanjutkan bersama Pepatung berbekalkan pengalaman skop hiburan, pelancongan dan biografi.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *