Hiburan

Bekas pengurus Tegar bakal dedah dalang isu gangguan seksual

By  | 

MUNGKIN ada sesetengah pihak yang sudah melupakan kisah skandal seks penyanyi remaja dari Indonesia, Tegar Septian dan bekas pengurusnya, Arif Dollah yang tercetus sekitar pertengahan Februari lalu.

Namun, hari ini Arif memberitahu pihaknya akan mendedahkan kisah sebenar yang berlaku di sebalik tuduhan yang mendakwa dirinya pernah melakukan gangguan seksual terhadap penyanyi yang popular menerusi lagu Aku Yang Dulu Bukan Sekarang itu sepanjang menjadi pengurus peribadi Tegar.

“Saya akan mendedahkan dalang di sebalik kes saya dan individu yang berkomplot untuk menjatuhkan saya. Pendedahan saya akan melibatkan banyak pihak termasuk bekas pengurus syarikat rakaman Tegar di Malaysia.

“Saya juga akan mendedahkan situasi sebenar berhubung kes kutipan dana adik Firdaus dan adik Arsyad yang mana kutipan wang tersebut tidak pernah dilaporkan oleh pihak kewangan label terbabit. Selain itu, pendedahan ini akan membabitkan duit royalti penjualan album Tegar,” ujar Arif kepada Pepatung.

3-tegar arif Foto: Arif Dollah

Terdahulu, Tegar dilaporkan kembali mengemis bersama ibunya di kampungnya di Indonesia selepas wang simpanan peribadi penyanyi itu dikebas bekas pengurus peribadinya termasuk melarikan pasport dan barangan berharga.

Selain menjejaskan kerjaya Tegar, bekas pengurus peribadinya yang dilaporkan berasal dari Singapura itu pernah melakukan serangan seksual sepanjang bersamanya. Menurut pendedahan pada Mac lalu, Tegar dipaksa tidur dengan hanya memakai seluar dalam dan sering diajak mandi bersama-sama.

Malah, Arif juga didakwa sering mempengaruhi Tegar untuk ke kelab malam dan mengambil minuman keras.

Situasi bertambah tegang apabila muncul pihak lain mendedahkan perilaku sumbang Arif kepada media. Lapor bekas anak tirinya yang juga seorang penyanyi berasal dari Singapura, Sufie Rashid, Arif yang pernah menjadi pengurus peribadinya turut melakukan gangguan seksual sejak berusia 13 tahun.

Bagaimanapun, Arif tampil mengemukakan penjelasan dan menafikan perkara tersebut menerusi sebuah kenyataan media sejurus selepas pendedahan mengejutkan Tegar dan Sufie Rashid.

Susulan kejadian itu, Arif telah ditahan oleh pihak berkuasa Singapura pada awal April lalu selepas Tegar membuat laporan polis di Cantonment Complex Singapura dan badan yang melindungi hak kanak-kanak Indonesia (Komisi Nasional Perlindungan Anak; Komnas PA).

“Kes ini masih dalam siasatan cuma laporan yang dibuat di Singapura jauh berbeza daripada sidang akhbar yang mereka adakan di Malaysia. Selepas selesai siasatan pihak berkuasa saya akan membuka laporan baharu yang melibatkan tindakan guaman.

“Namun, walau apapun terjadi saya tidak akan menghancurkan Tegar kerana dia tidak bersalah. Pendedahan ini bukan bermakna saya mahu memanaskan semula kisah lama namun saya tidak mahu orang berfikir saya berdiam kerana saya dipenjarakan sedangkan tidak!

“Saya berbuat begini kerana maruah saya dan keluarga sudah tercemar dan mahu membersihkan nama, kalau dahulu saya berdiam diri kerana tidak mahu memanjangkan cerita. Kini, saya mahu orang tahu bahawa saya mempunyai bukti-bukti yang kukuh,” tambahnya.

Teruskan bersama Pepatung untuk perkembangan lanjut berhubung ketegangan tersebut.

Comments

comments

Selepas lima tahun bersama akhbar berbahasa Melayu tempatan, penulis memanjangkan langkah dalam bidang rekaan fesyen bersama label peribadi. Kecintaan terhadap dunia penulisan dilanjutkan bersama Pepatung berbekalkan pengalaman skop hiburan, pelancongan dan biografi.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *