Aroma keajaiban cinta Rossa

0
11

LIMA tahun menunggu hingga turunnya peluang emas ke pangkuan untuk beraksi di pentas berprestij Istana Budaya, Datuk Rossa menumpahkan segalanya yang terbaik buat peminat di Malaysia sempena Malam Keajaiban Cinta pada 22 dan 23 Mei lalu.

Tanpa desah penat atau keluh-kesah, konsert yang menghimpunkan untaian lagu hit terbaik sepanjang hayat kariernya selama lebih dua itu cukup haul dan gaulnya. Sarat elemen cinta, Rossa telah mencantumkan geruh jiwanya, bolak-balik hati, manis pahit hidup dan kasih sayang sejati penuh sebati.

Kedua-dua malamnya, panggung dibuka santai menerusi lagu Takkan Berpaling Darimu dan single yang meledakkan namanya, Pudar dalam rendisi muzik lebih segar menerusi persalinan merah berumbai rekaan Priyo Oktaviano.

3-rossa konsert

Pemilik suara lunak merdu itu meneruskan kembara muziknya bersama penonton yang mengisi penuh perut Panggung Sari Istana Budaya bersama lagu-lagu seperti Aku Bukan Untukmu, Tegar, Memeluk Bulan, Ku Menunggu dan Hati Yang Kau Sakiti.

Melodramatik gubahan melodi oleh Dendy Taufiq Fachruddin sambil diiringi pemuzik yang diterbangkan khas dari Indonesia itu terus-menerus membuai kalbu, adakalanya menampar gelodak jiwa hingga ada antara audiens meleraikan jurai air mata. Barangkali memori lagu bersenandung bersama ingatan lampau cerita cinta masing-masing beberapa tahun terkebelakang.

Masih memberikan mood yang sama, laranya sentuhan dan jentikan cinta Rossa diperhalusi menerusi permainan visual yang menarik dan teknologi layar lut cahaya dari Singapura sekali gus meletakkan beliau sebahagian daripada lembaran cereka.

Sesekali penyanyi kelahiran Sumedang, Indonesia itu bercanda bersama audiens bagi mengurangkan perasaan gelisah dan formaliti yang terikat di bangku.

Terlarut dalam vokal gemersik yang saling tak tumpah seperti rakaman asal lapan buah album studio miliknya, tenaga dan aura luar biasa empunya nama sebenar Rossa Roslaina Sri Handayani itu bertambah padu. Malah kelincahannya berdansa dalam beberapa buah lagu rancaknya terus memaku audiens.

4-rossa konsert

Rossa kali ini keluar daripada ruang selesanya dengan mengalunkan lagu-lagu Melayu asli dalam segmen Tribut Tan Sri P.Ramlee seperti Di Manakan Ku Cari Ganti, Tanya Sama Hati, Es Lilin (dalam bahasa Melayu Sunda) dan Awallah Dondang yang pernah dinyanyikan oleh Ratu Irama Tradisional, Noraniza Idris. Percubaan sulung itu nyata tidak menghampakan walau ada antara patah lagu dan lenggok asli tidak sesempurna penyanyi asal.

“I did my best dan harus melepaskan sedikit kedivaan saya untuk memberikan mood santai dalam beberapa lagu sebenarnya. Untuk segmen tribut, ini kali pertama saya menyanyikan lagu-lagu tersebut terutama lagu Awallah Dondang dengan bantuan monitor kerana risau tersalah lirik.

“Selama sebulan persiapan untuk konsert ini dan syukur segalanya berjalan lancar walau biasanya sesebuah konsert memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan persediaan,” katanya yang ditemui media usai konsert.

5-rossa konsert

Memasuki atmosfera pop yang lebih rancak gubahan iramanya, Rossa mencuri tumpuan mendendangkan lagu terbaik Anugerah Juara Lagu ke-29, Apa Khabar, menggantikan posisi Sona One. Segmen yang menampilkan duetnya bersama Joe Flizzow itu ditampilkan penuh versatil bersama beberapa buah lagu lain seperti One Night Lover dan Katakan.

Malah, Rossa juga menjemput penyanyi bersuara serak basah, Cakra Khan untuk menggantikan vokal penyanyi asal lagu Salahkah, Hafiz Suip. Pada malam keduanya pula, Rossa berkongsi pentas bersama Afgan menerusi lagu Kamu Yang Ku Tunggu.

6-rossa konsert

Aroma cinta sambutan Hari Ibu yang disambut pada bulan Mei setiap tahun masih mewangi dan Rossa mengambil kesempatan itu mendendangkan dua buah lagu iaitu Bunda dan Legenda (nyanyian asal Datuk Sheila Majid) beriringan imej-imej ibu beberapa sahabatnya seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti. Segmen itu tambah menyentuh hati apabila putera tunggalnya, Rizky Langit Ramadan muncul di pentas sambil memberikan ucapan khas kepada Rossa.

Keajaiban pastinya tidak akan lengkap tanpa dendangan lagu berhantu Atas Nama Cinta, Ayat-Ayat Cinta dan Sakura sebelum menutup konsert sulungnya di Istana Budaya menerusi lagu rancak Hey Ladies. Sekalung tahniah dan ucapan terima kasih kepada Airish Events, Mask Team dan 512 Production atas kejayaan konsert tersebut!

*Nota: Kesemua foto merupakan milik mutlak Pepatung dan sebarang penggunaan atau penerbitan semula perlu dikredit termasuk menyertakan pautan alamat portal ini.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini