Aril, Wawa Dalam Cerita Cinta Kita

0
60

BERSEMPENA dengan sambutan ulang tahun TV3 yang ke-30 pada bulan Jun, saksikan sebuah drama eksklusif, Cerita Cinta Kita yang akan bersiaran pada setiap hari Rabu dan Khamis pukul 9.00 malam mulai malam esok. Lebih istimewa, drama bersiri 22 episod ini merupakan gandingan pertama pasangan suami isteri, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal di kaca televisyen.

Cerita Cinta Kita yang diarahkan oleh Azmi Hatta dan hasil nukilan skrip oleh Zarihah Hassan ini membariskan para pelakon popular seperti Dazrin Kamarudin, Almy Nadia, Ika Nabila, Erry Putra, Liza Abdullah, Dilla Ahmad, Razak Ahmad, Datuk Eizlan Yusof, Arash Mohd.

Drama bersiri yang berlatar-belakangkan era 80-an ini menyingkap sebuah kisah cinta agung antara Adam lakonan Aeril Zafrel dan Salmah (Wawa Zainal). Semarak cinta mereka bermula ketika Adam berumur 24 tahun manakala Salmah berusia 19 tahun sehingga ke usia tua walaupun mereka berdua terpaksa mengharungi pelbagai dugaan untuk bersatu.

Keluarga Salmah membantah hubungan cinta mereka kerana perbezaan darjat. Ketika itu, Salmah sedang menuntut di sebuah Maktab Perguruan. Dalam usaha untuk memisahkan Adam dan Salmah, keluarga Salmah telah membawa Salmah pulang dari Teluk Intan, Perak ke Kuala Lumpur. Adam dan Salmah telah menulis surat untuk terus berhubung tetapi sayangnya surat-surat tersebut telah ditahan dan disimpan oleh ibu Salmah, Melati.

Lima tahun berlalu tanpa khabar berita, namun Adam tetap merindui dan mencintai kekasihnya itu. Salmah pula menganggap Adam telah melupakannya. Dia yang kini bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital telah dijodohkan dengan Dr. Khairudin (Dazrin Kamarudin).

Ibu Salmah gembira dan lega selepas Salmah berkahwin dengan Dr. Khairuddin kerana ia bukan sahaja memberi jaminan masa depan kepada Salmah, malah dapat membantu menyelesaikan kemelut kewangan keluarga mereka selepas ayah Salmah meninggal dunia.

Adam telah bekerja keras demi membeli rumah pusaka yang diidami oleh Salmah. Selepas itu, Adam berusaha mencari Salmah di Kuala Lumpur, namun dia sungguh kecewa apabila mengetahui hakikat bahawa Salmah telah berkahwin. Salmah pula menjumpai surat-surat Adam yang disimpan oleh ibunya dan akhirnya faham kenapa dia tidak menerima khabar berita daripada Adam selama ini.

Adam membuat keputusan untuk menjual rumah pusaka tersebut. Dia tidak menyangka bakal pembeli rumah itu ialah Dr. Khairudin dan Salmah. Salmah telah memberitahu Adam apa yang telah dilakukan oleh ibunya terhadap mereka. Pertemuan Adam dan Salmah semula telah memberikan harapan kepada Adam. Mereka kembali berhubung tetapi menjaga batas pergaulan.

Dr. Khairudin yang marah dengan hubungan Adam dan Salmah telah bergaduh dengan Salmah dalam perjalanan mereka pulang ke Kuala Lumpur. Kereta mereka terbabas. Dr Khairudin terbunuh manakala Salmah pula koma. Kematian Dr Khairudin juga membongkar rahsia bahawa dia telah berkahwin dengan Rokiah dan mempunyai 2 anak.

Salmah kini hilang tempat untuk bergantung. Demi cinta, Adam telah memindahkan Salmah yang mengalami amnesia ke pusat jagaan malah Adam juga terpaksa berulang alik dari Teluk Intan ke Kuala Lumpur untuk menjaga Salmah. Adam mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Salmah pada usia hampir lewat 30an.

Namun kebahagiaan yang dinikmati oleh Adam dan Salmah tidak berpanjangan kerana ingatan Salmah semakin merosot. Adam terpaksa mengulang setiap kisah yang mereka pernah lalui bersama setiap hari kepada Salmah. Mungkinkah satu hari nanti, Salmah akan lupa siapakah Adam dalam hidupnya? Jangan lupa saksikan drama bersiri terbitan Orangetree Production ini.

KONGSI
Artikel sebelumnyaIbu Tumpang Giuliana, Bill Keguguran
Artikel seterusnyaKourtney Hamil Anak Ketiga
Memulakan karier sebagai pembantu editorial untuk sebuah majalah bertemakan perkahwinan sekitar empat tahun yang lalu, langkah jejaka ini dalam bidang penulisan semakin berkembang tatkala idea untuk membina empayar kandungan digital Pepatung tercetus olehnya.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini