Skala sederhana SimetriSiti

0
17

SUKARNYA menjadi Dato Siti Nurhaliza, setiap produk muzik yang dikeluarkan akan dinilai dan dikritik ribuan orang. Istimewanya juga menjadi Siti, setiap produk muzik yang diluncurkan pasti disambut peminat dengan hati terbuka.

Album Siti sentiasa berhasil mencatatkan jualan memberangsangkan, biarpun ketika industri merentasi fasa kesuraman penerbitan album penuh. Siti konsisten menghasilkan album studio penuh. Tahun ini merekodkan album studio (solo) ke-17 (tidak mengambil kira album Anugerah Aidilfitri) daripadanya.

Hari ini, album baharunya, SimetriSiti menjengah pasaran dalam bentuk fizikal dan digital (klik untuk pautan iTunes). Apapun terjadi, peminat setia tetap akan membeli album ini sebagai tanda sokongan kepada penyanyi nombor satu negara itu.

Bagi yang masih berbelah bahagi, Pepatung bawakan ulasan ringkas SimetriSiti sebagai panduan dan penentu keputusan anda.

SimetriSiti bukanlah album yang ditampung lagu berciri instant hit. Bermakna, anda perlu mendengar berulang kali untuk mula membuka mata, hati dan telinga kepada album ini. Bukan bermaksud ia tidak bagus, tetapi SimetriSiti dicipta untuk tahap penilaian bersifat jangka panjang.

Ia tidak menyasarkan pujian dan sambutan segera. Sebaliknya menuntut waktu bagi menghimpunkan apresiasi pendengar dan pengkritik. Itu formula yang dikesan pada album kali ini.

Kesemua 10 buah lagu mencipta identiti tersendiri. Bak pandangan penulis kami, Omar Benjamin Fahmy yang menyifatkan SimetriSiti sebagai gabungan Hadiah Daripada Hati dan Fragmen. Selamat meniti kesamaan rasa SimetriSiti.

Bintang Pepatung: 3/5

 

1. Bersandar Cinta

Komposer: Aubrey Suwito
Penulis lirik: Ad Samad

Terima kasih ku ucapkan,
Dari lubuk hati terdalam.

Pemula SimetriSiti dijemput megah Bersandar Cinta. Pilihan selamat dan tepat sebagai single kedua, jika diukur berdasarkan nilai komersial dan cita rasa pendengar tegar muzik Siti. Klise Aubrey juga mudah dikesan dalam lagu ini, mirip gubahan lagu-lagu dalam album terdahulu (Fragmen).

2. Penghiburku (feat Joe Flizzow)

Komposer: Dato Siti Nurhaliza
Penulis lirik: Dato Siti Nurhaliza
Penulis lirik (rap): Joe Flizzow

Teguhnya kita tiada berbeza,
Dalam suka walau dalam duga.

Pertama kali lagu ini berkumandang, kedengaran aneh dan tidak memikat. Begitupun, Penghiburku selepas didengar teliti (menggunakan fon telinga) berubah menjadi antara tarikan unik album ini. Muziknya segar dan penyampaian Siti yang santai boleh membuatkan kita tersenyum sendirian. Bait-bait rap Joe juga melengkap sempurna karya penuh ciptaan Siti ini.

3. Ikrar Cinta

Komposer: Amirah Ali
Penulis lirik: Sulu Sarawak

Telahku kalung,
Jiwamu sayang,
Asmara tak mungkir terbang.

Barangkali bakal menjadi lagu pilihan ramai untuk dijadikan lagu latar majlis perkahwinan. Romantik dan membungakan kebahagiaan setiap kali mendengar lagu ini. Bridge gitar elektrik sebelum disambut kemuncak korus akhir juga turut memperhebatkan Ikrar Cinta. Dramatik tetapi tidak berlebihan. Persembahan vokal yang secukup rasa.

4. Segala Perasaan

Komposer: Ivan Lahardika
Penulis lirik: Ivan Lahardika

Hilanglah kenangan luka,
Tergantikan cerita yang berkisahkan cinta.

Single pertama Siti yang memecahkan pendapat para peminatnya. Sebahagian memuji, sebahagian yang lain pula meluahkan kekecewaan. Di mana terletaknya kehebatan Segala Perasaan? Ia menonjol kerana susunan muziknya yang dramatik menyerlahkan identiti Siti.

Barangkali kelemahannya berpunca daripada aspek lirik terutama korus. Intro Segala Perasaan memberi bayangan yang memberangsangkan. Sayangnya apabila memasuki korus, keterujaan itu merosot sehinggalah tamat lagu. Apatah lagi disokong visual (muzik video) yang agak menghampakan.

5. Aku Bukan Malaikat

Komposer: Opick
Penulis Lirik: Dian

Aku adalah separuh sayapmu,
Bawalah aku selalu bersamamu.

Melihat nama Opick dalam senarai penerbit album menggamit ingatan kepada kehebatan lagu Ketika Cinta yang dimuatkan dalam album Tahajjud Cinta. Karya kerohanian Opick sentiasa berhasil mengusik sanubari. Begitu juga buah tangannya kali ini. Melankolik Aku Bukan Malaikat membuai pendengar dengan ulangan lirik yang mengesankan.

6. Manis Terindah

Komposer: Aubrey Suwito
Penulis lirik: Ad Samad

Rinduku padamu,
Terlalu luar duga.

Jika anda penggemar album Prasasti Seni, anda pasti menggemari Manis Terindah. Meskipun mesej lagu mengisahkan derita mencintai, tetapi ia diterjemahkan dalam situasi berlapang dada. Mood lagu ini memberi kekuatan kepada pendengar. Manis Terindah memiliki kekuatan untuk diluncurkan sebagai single.

7. Kisah Ku Inginkan (feat. Judika)

Komposer: Ivan Lahardika
Penulis lirik: Ivan Lahardika

Sudahku tambatkan hati,
Yang selama ini belayar tak pasti.

Lagu ini kedengaran amat ‘Indonesia’. Namun, itulah kelebihan lagu ini. Ditambah pula dengan gandingan Judika, ia mudah menjerat peminat untuk mengangkat ia sebagai antara lagu terbaik dalam SimetriSiti. Kisah Ku Inginkan dipersembahkan penuh agung oleh Siti dan Judika. Ia sebuah lagu yang hebat. Cuma kadang-kadang korus Judika kedengaran mirip lagu dendangannya berjudul Mama Papa Larang.

8. Tak Perlu Ragu

Komposer: Ade Govinda
Penulis lirik: Ade Govinda

Aku tercipta layak bagai Hawa,
Temani Adam di dunia.

Syahdu dan mendamaikan adalah magis lagu ini. Sederhana tetapi menepati mood yang mahu dipersembahkan. Gemersik Siti jelas didengari dalam Tak Perlu Ragu.

9. Kau Takdirku

Komposer: Mohariz Yaakup
Penulis lirik: Habsah Hassan

Bezanya kita bagaikan langit dan bumi,
Namun akhirnya kitakan serasi.

Balada yang menerbangkan pendegar kepada lagu-lagu awal 2000. Istimewa untuk peminat yang memohon lagu melodrama yang pernah membalut identiti Siti sebagai antara ratu balada. Siti mengakui bahawa lagu ini sukar untuk disampaikan kerana amat mencabar teknik pernafasan.

10. Hiasi Duniaku

Komposer: Sid Murshid
Penulis lirik: Sid Murshid

Mengapa hadirmu bagai mimpi, sayang,
Bila kamu ada ku melayang-layang.

Sumbangan komposer muda, Sid Murshid. Karyanya dimuatkan juga sebagai penambat jiwa pendengar lebih remaja dan memberikan diversiti kepada album. Kerancakan rentak dan energi Siti dalam lagu ini menutup katalog SimetriSiti dengan cermat.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini