Album

Ranking 16 album solo (studio) Dato Siti Nurhaliza

By  | 

LEBIH dua dekad penyanyi nombor satu negara, Dato Siti Nurhaliza, mengisi industri seni dengan katalog muzik yang bervariasi.

Sebanyak 16 buah album solo (studio) pernah dilancarkan Siti sepanjang tempoh bergiat aktif. Esok, album terbaharunya, SimetriSiti bakal dilancarkan. Peminat setia pasti tertunggu-tunggu formula yang akan dipersembahkan dalam album tersebut.

FOTO/TWITTER

Siti jarang mengecewakan. Adapun beberapa album terdahulunya kurang menyegat, tetapi masih membekas memori dengan kejayaan single-single yang diluncurkan.

Sempena perasmian album SimetriSiti, Pepatung senaraikan ranking album solo (studio) Siti berdasarkan pilihan peminat setia. Susunan berikut adalah daripada yang kurang diminati sehinggalah album terbaik.

16. All Your Love (2011)

Percubaan pertama Siti untuk mengeluarkan album penuh berbahasa Inggeris mungkin kurang berjaya. Didominasi komposer Australia, album yang mengandungi 12 buah lagu ini kekurangan nilai komersial. Hanya single pertama, Falling In Love menjadi siulan sehingga ke hari ini.

Duetnya bersama Sean Kingston untuk lagu Remember You juga boleh diberi pujian.

 

15. Tahajjud Cinta (2009)

Tahajjud Cinta merupakan album kerohanian/keagamaan pertama Siti. Ketika Cinta (rakaman baharu) ciptaan Opick dan Batasku Asaku (Dato Siti Nurhaliza/Attan Hardilas) digunakan sebagai lagu tema (OST) filem Indonesia, Perempuan Berkalung Sorban. Begitupun, hanya Ku Percaya Ada Cinta yang mencipta kejayaan komersial.

 

14. Sahmura (2000)

Balqis dan Ya Maulai merupakan tarikan album ini. Sahmura adalah album penuh Irama Malaysia kedua Siti susulan kejayaan Cindai. Joget Kasih Tak Sudah ciptaan S. Atan dan Nurul Asyiqin antara lagu berpotensi yang tercicir daripada menjadi single. Balqis merangkul trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-15 dan kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif.

 

13. Siti Nurhaliza (1996)

Album debut Siti yang memberi amaran kepada industri bahawa pendatang baharu ini bakal menggugat nama-nama besar dalam arena muzik tanah air. Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan memimpin penciptaan album ini dengan buah tangan klasik seperti Jerat Percintaan, Jawapan di Persimpangan dan Mahligai Asmara.

 

12. Cindai (1997)

Album ini dikeluarkan dalam tahun yang sama album keduanya (Siti Nurhaliza II) dilancarkan. Ia merupakan introduksi Siti sebagai penyanyi versatil yang mampu menyampaikan pelbagai genre lagu. Single pertama, Cindai (Pak Ngah / Hairul Anuar Harun) menjadi fenomena dan membolehkan Siti menjangkau pengaruh lebih besar.

Gemersik Siti menerusi album penuh tradisional / Irama Malaysia ini turut membantu kebangkitan semula genre tersebut di persada muzik negara.

 

11. Adiwarna (1998)

 

Biarpun memenangi Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 1999, Adiwarna secara keseluruhannya kurang memberi impak. Hanya Purnama Merindu (Azmeer/Lukhman S) berhasil mencipta momen untuk album ini. Satu Cinta Dua Jiwa juga menyelamatkan album ini yang turut dirakamkan dalam bahasa Inggeris (We’ll Be As One).

 

10. Lentera Timur (2008)

Kali terakhir Siti muncul dengan album penuh tradisional adalah pada 2002 menerusi Sanggar Mustika. Lentera Timur adalah comeback Siti terhadap genre tersebut. Di Taman Teman (Fauzi Marzuki/Hairul Anuar Harun) mengubat kerinduan peminat kepada lemak suara Siti dalam lagu berentak etnik kreatif.

Cinta Ini (Katon Bagaskara) yang dipilih sebagai single kedua juga meraih populariti memberangsangkan. Lentera Timur mencipta kejayaan pada AIM 2009 dengan mengungguli kategori Album Terbaik, Album Pop Etnik Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik Wanita di dalam Lagu (Di Taman Teman).

 

9. Pancawarna (1999)

Nian Di Hati dan Kau Kekasihku merupakan senjata album ini. Pancawarna menguji keupayaan vokal Siti dengan lagu-lagu bernada tinggi. Paling mengesankan adalah persembahan vokal Siti menerusi Kurniaan Dalam Samaran. Hanya Siti seorang mampu menyampaikan lagu tersebut secara langsung kerana ia dicipta khusus untuk beliau.

 

8. Sanggar Mustika (2002)

Nirmala merupakan bintang dalam Sanggar Mustika. Lagu ciptaan Pak Ngah dan Che’kem itu juga disifatkan Pak Ngah sebagai karya terbaik pernah dihasilkan sepanjang hidupnya. Persembahan lagu tersebut pada AJL ke-17 juga dikenang sebagai persembahan terbaik sepanjang zaman, meskipun tidak merangkul anugerah utama pada tahun tersebut.

Sanggar Mustika turut dipayungi kelunakan vokal Melayu Siti dalam Badarsila, Di Batas Waktu dan Bisikan Hati. Kurik Kundi, sebuah lagu rakyat juga unik apabila memperlihatkan kebolehan Siti bertutur dalam tujuh loghat negeri berbeza di Malaysia.

 

7. Siti Nurhaliza II (1997)

Album kedua Siti bertanggungjawab meluaskan pengaruh Siti ke Indonesia. Lagu Aku Cinta Padamu (Betapa Ku Cinta Padamu) meledakkan nama Siti di negara seberang. Bermulalah perjalanan Siti sebagai ikon kesayangan serantau yang terus bertahan sehingga hari ini.

Masih dipimpian Adnan Abu Hassan, Siti Nurhaliza II menawarkan ekstravaganza balada 90-an yang malar segar. Wajah Kekasih, Kesilapanku Keegoanmu dan Usah Diragui masih diminati dan menjadi pilihan ramai ketika berkaraoke.

 

6. Safa (2001)

Lagu terakhir sumbangan Adnan Abu Hassan kepada Siti adalah Azimat Cinta yang menjadi pembuka album ini. Safa sarat dengan lagu melankolik. Bergenre pop balada, permata tersembunyi di dalam album ini sebenarnya adalah lagu puitis ciptaan Pak Ngah dan Ce’kem iaitu Kudus Sinarmu.

 

5. Hadiah Daripada Hati (2007)

Matang adalah perlambangan tepat untuk Hadiah Daripada Hati. Ia menampilkan sisi Siti yang lebih dewasa, bukan sahaja dari segi usia, malah pemikiran dan mesej lagu yang dibawakan. Populariti Ku Mahu didukung fenomena drama Spa Q yang bersiaran di TV3 ketika itu.

Melawan Kesepian (Pongky Barata) boleh disifatkan sebagai antara dendangan balada terbaik daripada Siti. Single ketiga, Cintamu juga menyerlah sehingga dianugerahkan Susunan Muzik Terbaik di dalam Lagu pada AIM 2008.

 

4. E.M.A.S (2003)

Edaran Muzik Aspirasi Semasa (E.M.A.S) mencatatkan jualan album lebih 200,000 unit dan diklasifikasikan sebagai antara album paling berjaya dalam karier Siti. Bukan Cinta Biasa (BCB) menjadi lagu paling popular di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei serta diiktiraf pada Anugerah Planet Muzik (APM) 2004.

Era E.M.A.S menyajikan peminat dengan muzik video yang mengagumkan. Visual Debaran Cinta yang menampilkan Nicholas Saputra dan trio 3R (Azah, Yuen dan Kartini) mencetuskan fenomena serantau. Begitu juga muzik video Ku Milikmu dan BCB yang tidak menghampakan.

 

3. Prasasti Seni (2004)

Semua lagu di dalam album ini enak didengar. Bermula dengan Dialah Di Hati sehinggalah Seindah Biasa, Prasasti Seni lebih cenderung kepada mood positif dan mendamaikan. Bahkan lagu berentak balada (Cinta Tak Berganti, Pejam Matamu, Ku Menunggu) dipersembahkan penuh dramatik tanpa mendayu-dayu.

 

2. Fragmen (2014)

Album ini meneguhkan prestij Siti selaku penyanyi prolifik tanah air. Meskipun hanya mengandungi sembilan buah lagu, tetapi Fragmen ampuh dari segenap sudut. Aubrey Suwito, Faizal Tahir, Mike Chan dan Ade Govinda bertindak sebagai produser. Ia turut menyaksikan kerjasama pertama Siti Nurhaliza Productions (SNP) bersama Universal Music Group (Malaysia).

Lebih Indah dijadikan single pertama diikuti Jaga Dia Untukku, Terbaik Bagimu dan Seluruh Cinta. Pasaran Indonesia turut memuatkan lagu Seluruh Cinta yang menampilkan duet Siti bersama Cakra Khan.

 

1. Transkripsi (2006)

 

Setakat ini, tiada album Siti yang mampu menandingi keunggulan Transkripsi. Segala-galanya hampir sempurna untuk menjulang album ini sebagai karya terbaik daripada Siti Nurhaliza. Transkripsi diangkat sebagai Album Terbaik AIM 2007. Single pertama, Biarlah Rahsia dipersembahkan kali pertama pada APM 2006.

Ia merupakan album pertama yang diterbitkan oleh syarikat Siti sendiri, SNP selepas meninggalkan Suria Records (SRC) pada 2005.

Keistimewaan Transkripsi adalah keupayaan kesemua 13 buah lagu di dalamnya berdiri dengan sendiri. Setiap lagu ada magis dan puitis berbeza. Malah tidak keterlaluan dikatakan majoriti lagu daripada album ini berpotensi besar dilancarkan sebagai single rasmi.

Gandingan komposer dan penulis lirik hebat Malaysia dan Indonesia; Melly Goeslow, Erwin Gutawa, Aubrey Suwito, Loloq, Habsah Hassan, Glenn Fredly, Yasin dan Cat Farish benar-benar serasi. Selepas 11 tahun dikeluarkan, Transkripsi masih kedengaran segar dan tidak jemu diulang putar.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *