AJL30: Suram tanpa sebarang fenomena

0
61

PEMBUKAAN gemilang oleh Datuk Jamal Abdillah, Datuk Siti Nurhaliza dan Yassin. Tiga buah lagu; Cindai, Mimpi Laila dan Ghazal Untuk Rabiah dialun syahdu ketiga-tiga nama besar ini. Paduan vokal mereka tidak menghampakan penonton yang memasang harapan tinggi terhadap Anugerah Juara Lagu (AJL30) untuk memberikan kepuasan dan mengulangi kehebatan edisi tahun lalu (AJL29).

IMG_4791FOTO/ANUGERAHJUARALAGU

Cuma ada beberapa bahagian Jamal seperti terlupa lirik terutama ketika mendendangkan lagu Mimpi Laila dan seperti berebut-rebut untuk menyanyi. Barangkali mereka kurang persediaan sekali gus membuka ruang untuk kesilapan-kesilapan kecil dilihat ketara di kaca televisyen (TV).

Penggunaan platform yang boleh digerakkan pada awalnya kelihatan bagus, tetapi apabila asyik dialih ke sana sini dan ketara sekali para penari yang menolaknya, membuatkan penonton terganggu. Persembahan yang sepatutnya gah bertukar menjadi cacamarba.

Pemilihan Siti sebagai pemula AJL30 memang tepat jika diukur berdasarkan pencapaian dan penglibatan penyanyi nombor satu negara itu dalam anugerah berprestij tersebut. Bagaimanapun dari sudut lain, jika diselidik lebih mendalam, sejarah kategori etnik kreatif sebenarnya lebih dimonopoli Noraniza Idris, biarpun kemenangan seringkali tidak berpihak kepadanya.

Selepas tiga dekad dikatakan mencipta fenomena, mengapa tidak pengiktirafan wajar diberi kepada Noraniza sebagai pejuang sebenar genre irama Malaysia? Penonton hampir jemu dengan formula serupa TV3 yang memancing orang dengan legenda seni suara yang sama.

AJL27 (2013) saya andaikan sebagai antara ‘permainan’ terbaik TV3 kerana ia berjaya menghimpunkan legenda yang namanya semakin hilang ditelan zaman. Penampilan Rahmat Mega, Aris Ariwatan, Datuk Ramli Sarip dan Joey diiringi gitaris handalan tanah air masih segar dalam ingatan penonton.

Pentas AJL pada masa kini bukan sekadar medan pertarungan 12 lagu terbaik merebut gelaran Juara Lagu. Namun ia juga satu keraian terbesar industri muzik tanah air di mana barisan pembuka tirai dan penutup mesti diperhalusi bagi mencipta nilai eksklusif.

Tiada yang eksklusif tentang AJL30. Siti sendiri sudah berkali-kali ‘menyumbangkan’ rating buat AJL. Selepas kali terakhir menyertai pertandingan tersebut pada AJL22 (2007), penyertaan Siti dalam setiap persembahan pembuka dan penutup AJL selepas itu adalah sebagai penyempurna legasi pertandingan tersebut.

Segelintir individu pernah menyebut: “Tiada Siti, AJL hambar!” Ketakutan terhadap kemusnahan prestij dan kehambaran mungkin membakar pihak produksi AJL menyenaraikan nama Siti dalam persembahan. TV3 perlu keluar dari zon selesa dan mencipta pembaharuan.

Sampai bila mahu bergantung kepada legenda-legenda yang sama sedangkan kita mempunyai ramai penyanyi hebat senior untuk kembali ditontonkan kepada orang ramai bagi mengubati kerinduan.

Tengok sahaja program Gegar Vaganza (Astro) yang berhasil mencipta peluang kedua kepada penyanyi lama untuk meneruskan karier dalam bidang seni. Betapa ramai bakat besar era 1980-an dan 1990-an yang masih bergelut mencipta nama dalam industri tidak diberi kesempatan wajar.

Usah bersalah sangka dengan pandangan ini kerana secara peribadi, saya merupakan peminat Siti sejak awal kemunculannya sehingga kini. Bagaimanapun dari konteks AJL, Siti sudah kerap menjadi rencah pelaris AJL. Bukan tidak relevan cuma hadkan untuk edisi tertentu bagi membolehkan penonton mengumpul tahap teruja.

Pengacara

Peletakan Fara Fauzana dan AG sebagai pengacara juga membosankan. Meskipun beberapa kali digandingkan tetapi paduan Fara dan AG sebenarnya tidak pernah serasi. Setakat ini, gandingan mantap Fara hanyalah Faizal Ismail. Pengacara memainkan peranan penting untuk sesebuah acara besar seperti AJL.

Dua tahun berturut-turut penonton menyaksikan kehambaran duo pengacara mengendalikan majlis. Jika tidak mahu muka baharu sebagai pengacara, kembalikan Cheryl Samad yang begitu petah mengacara AJL untuk beberapa edisi. Mengapa Ally Iskandar tidak ‘dipinjamkan’ untuk majlis tersebut kerana dia juga antara pengacara berkaliber untuk memimpin majlis.

IMG_4283FOTO/ANUGERAHJUARALAGU

Pada malam AJL30, Fara dan AG sering tampak tergesa-gesa terutama ketika menjemput dan menemubual individu-individu yang pernah mencipta kejayaan sepanjang 30 tahun AJL diadakan. Fauziah Latiff yang dijemput naik ke atas pentas bagaikan tidak diberi peluang cukup untuk berkata-kata. Begitu juga Siti yang hanya sempat menyanyikan sedikit lagu Jerat Percintaan.

Masih ingatkah penonton pada kehebatan Azwan Ali, Datuk Aznil Hj. Nawawi, Salih Yaacob, Ary Malik dan Sarimah Ibrahim mengendalikan AJL dengan penuh profesional tetapi tetap menarik minat penonton? AJL30 kurang memberi penekanan terhadap perkongsian informasi berkenaan sejarah AJL dan tugas pengacara pada malam itu tidak lebih sebagai pengumum persembahan dan pemenang sahaja.

Malam AJL30 juga serba tidak kena dari segi teknikal. Mainan kamera sangat mengecewakan dan banyak shot kurang menarik dipertontonkan kepada penonton di kaca TV sehingga membunuh keterujaan.

Saingan 12 lagu

Berbalik kepada saingan AJL30, Bunkface dengan lagu Malam Ini Kita Punya memulakan saingan pada malam itu. AJL30 merupakan percubaan keempat Bunkface di pentas AJL sejak kali pertama menyertainya pada AJL24 (2009) dan sekali lagi mereka pulang dengan tangan kosong.

Penyampaian bersahaja Bunkface turut menampilkan aksi pasukan sorak, pemain api profesional dan barisan individu dalam pelbagai kostum. Ya bertepatan dengan tema lagunya yang menyeru orang untuk bergembira bagaikan satu pesta.

Noh Salleh tanpa diiringi Hujan mempertaruhkan Angin Kencang. Melodi membuai dengan lirik puitis tidak keterlaluan, lagu ini diharap ramai untuk sekurang-kurangnya meraih tiga tempat terbaik. Tampil solo dengan hanya bertemankan gitar, vokal menyenangkan Noh juga membuatkan persembahan ini begitu mendamaikan.

Jujur saya meminati vokal Elizabeth Tan. Bagi saya dia mempunyai suara yang seksi dan memikat. Namun untuk bertarung di pentas AJL berbekalkan lagu Knock Knock, itu satu kesilapan! Knock Knock hanya menjadi penyeri pertandingan bagi mengisi slot lagu rancak sedangkan banyak lagu di peringkat separuh akhir yang terkandas lebih bermutu.

Genre begini kurang sesuai dengan Elizabeth kerana dia tidak boleh menari. Ya gerak tari yang sangat ringkas pun kelihatan kaku. Sangat berharap Elizabeth akan kembali ke pentas AJL bersama karya lebih memaparkan keupayaan sebenarnya.

Siapa yang mempertikaikan kemasukan lagu Bukan Hal Aku – Kaka ft. Alif (dahulu Kaka ft. Sleeq) mungkin adalah kelompok yang tidak meminati genre muzik begini. Bukan Hal Aku mewakili muzik generasi baharu yang sebenarnya sangat segar di pentas AJL. Komposisi muziknya moden waima ditulis dengan lirik berulang, ia tetap sebuah karya yang layak untuk dipertandingkan.

Semua pun tahu kekuatan Kaka adalah genre hip-hop dan kelantangan vokal bukanlah makanannya. Namun malam itu Kaka berjaya menyampaikan lagu ini dengan vokal yang baik berserta penjiwaan menepati konsep futuristik persembahannya. Lagu berentak beginilah yang bakal memonopoli landskap muzik tanah air untuk sedekad akan datang dan inilah warna muzik anak muda yang perlu diterima orang lama.

Dikhabarkan kurang sihat, Hazama dan bisanya mengecewakan ramai menerusi lagu Sampai Mati. Menyampaikan lagu ciptaan Omar K dan Audi Mok berseorangan tanpa ditampungi sebarang gimik mahupun penari latar, vokal Hazama yang kurang memberangsangkan meranapkan telahan penonton yang beranggapan dia berpotensi untuk menggenggam trofi Vokal Terbaik.

Tahun lalu Caliph Buskers mencipta fenomena apabila diundang Edry Abdul Halim menyampaikan lagu Romancinta di pentas AJL29. Pada edisi AJL30, Caliph Buskers kembali bersama lagu sendiri yang dicipta sepenuhnya oleh Edry. Mempertaruhkan lagu bertema ketuhanan, Hanya Namamu yang berjaya meraih tempat ketiga memanipulasi sempurna kemampuan vokal Azmi sebagai vokalis kumpulan yang terdiri daripada orang kelainan upaya.

Kekecewaan sebahagian penonton AJL30 adalah kekalahan lagu Assalamualaikum – Faizal Tahir. Selepas berehat dari saingan AJL, Faizal kembali bersama karya paling jujur pernah dihasilkan. Assalamualaikum, ucapan salam yang digunakan umat Islam di seluruh dunia bersifat sejagat membawa mesej keharmonian yang menjentik simpati dan peduli masyarakat.

IMG_5249FOTO/ANUGERAHJUARALAGU

Faizal muncul bersama gitar dengan berlatarbelakangkan montaj memaparkan kesengsaraan umat Islam di seluruh dunia yang sedang dibinasakan tanpa belas kasihan. Persembahan Faizal bagai satu simbolik penyatuan yang menyeru manusia untuk kembali memanusiakan sifat kemanusiaan.

Menyandang gelaran Naib Juara, Assalamualaikum bagaimanapun sebenarnya sudah menang di hati ramai. Biarpun penyampaian Faizal sedikit terkucil, ia tidak menggugat emosi penonton yang benar-benar menghayati penjiwaan Faizal membawakan lagu ini.

Underdog AJL30 adalah Drama Band yang melangkah ke peringkat akhir atas tiket Biarkanlah. Lagu berhantu ini telah melonjakkan nama band ini dan dilihat sebagai antara favorite ramai untuk menang. Penyampaian mantap vokalisnya, Aepul tambah meyakinkan penonton bahawa lagu ini sekurang-kurangnya akan mendapat tempat ketiga. Malangnya Biarkanlah gagal melakar sebarang kejayaan.

Dalam senarai penyanyi di pentas AJL30, Stacy adalah yang paling banyak bertanding dengan rekod tujuh penyertaan. Sejak tahun 2008, Stacy melangkah ke peringkat akhir AJL dengan enam lagu bergenre pop rock dan sebuah lagu balada, sayangnya tidak pernah sekali membuahkan kejayaan walaupun trofi Persembahan Terbaik.

Pada edisi AJL30, Stacy membawa tanggungjawab untuk lagu Not For Sale bergandingan dengan Altimet yang begitu popular rentetan fenomena drama Tuan Anas Mikael. Tidak seperti tahun sebelumnya, lagu ini tidak boleh dikategorikan sebagai lagu filler pertandingan kerana Not For Sale mempunyai aura pembaharuan dari segi penciptaan sesebuah lagu dalam industri tempatan.

Malah persembahan memukau Stacy menari lincah tanpa tercungap menyanyikan lagu ini dijangka dapat mencipta kemenangan sulung Stacy dalam AJL. Stacy ialah Noraniza Idris versi pop kerana setiap persembahannya pasti diserikan segerombolan penari sebagai penyeri persembahan.

Sebenarnya Not For Sale adalah penyelamat kesuraman AJL30 yang bersiaran langsung dari Stadium Malawati, Shah Alam dan diisi sebahagian besar penonton yang kelihatan bosan, monyok dan seperti tidak berminat.

IMG_5476FOTO/ANUGERAHJUARALAGU

Mana Mungkin yang disampaikan Black tidak kedengaran luar biasa. Konsistensi vokal Black juga terganggu di beberapa bahagian. AJL30 memperlihatkan kesederhanaan persembahan kebanyakan peserta. Black juga selesa tampil bersendirian tanpa gimik melewah. Mana Mungkin ciptaan sepenuhnya Ajai gagal mencatat sebarang kemenangan.

Kekecewaan Akim & The Majistret yang gagal melangkah ke peringkat akhir AJL29 tahun lalu bersama Mewangi terubat apabila lagu Potret dinobatkan sebagai Juara Lagu AJL30. Malah usaha mereka mencipta ruang pentas seperti sebuah galeri mahkamah juga berjaya memberikan kemenangan bagi kategori Persembahan Terbaik.

Potret merupakan pilihan utama untuk menjadi juara, disaingi rapat Assalamualaikum. Maka apabila keputusan diumumkan dan lagu Assalamualaikum hanya mendapat Naib Juara, tekaan penonton semestinya terarah kepada Potret dan ia tidak meleset.

Kemenangan karya ciptaan Hang Nadim dan Kamar Empayar itu sudah dijangka dan dianggap sebagai keputusan tepat berdasarkan kualiti komposisi muzik, penulisan lirik dan penyampaian penuh magis Akim & The Majistret. Sekiranya gabungan ini dapat mengekalkan momentum dan terus menggarap atau menyampaikan lagu bermutu, tidak mustahil lebih banyak kejayaan akan dicipta mereka di pentas AJL pada masa akan datang.

IMG_5812FOTO/ANUGERAHJUARALAGU

Barangkali ada dalam kalangan penonton tidak perasan dua potret yang muncul di skrin montaj yang memaparkan wajah Allahyarham Yus Jambu dan seniwati Mariani Ismail yang meninggal dunia pada penghujung tahun lalu.

Pemegang trofi Vokal Terbaik tahun lalu, Dayang Nurfaizah mengekalkan dominasinya apabila sekali lagi membawa pulang anugerah Vokal Terbaik menerusi lagu Tak Pernah Menyerah. Muncul solo dalam persalinan menawan rekaan Rizalman Ibrahim, penampilan Dayang begitu menepati mood lagu ini dan memaku penonton dengan kemantapan vokalnya.

Ia sebuah persembahan mahal dan Dayang berjaya menghidupkan aura lagu ini menjadi sangat istimewa. Malah ada yang meletakkan kepercayaan terhadap Tak Pernah Menyerah untuk muncul dalam kelompok tiga lagu terbaik hanya kerana persembahan hebat Dayang.

KONGSI
Artikel sebelumnyaEpilog Fasha Sandha
Artikel seterusnyaAyam kicap meletup KFC kembali!

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini