Hiburan

8 Iklan Deepavali terbaik Malaysia

By  | 

ESOK perayaan Deepavali akan disambut penuh meriah oleh kesemua penganut agama Hindu. Menjelang perayaan dan sambutan utama di Malaysia, kita akan disajikan dengan iklan TV yang mengangkat tema bernilai untuk dijadikan tauladan sempena hari istimewa tersebut.

Deepavali tidak terkecuali! Setiap tahun pasti syarikat-syarikat korporat tanah air akan berlumba-lumba menghasilkan iklan TV paling kreatif, unik dan menarik perhatian masyarakat. Justeru, kami senaraikan lapan iklan TV Deepavali terbaik yang pernah disiarkan.

1) Boys In Da Hood – 2003 & 2015 (Petronas)

Muniandy Chinnadorai dan Muthusamy Karupiah merupakan dua karakter dalam iklan ini yang kekal malar segar sehingga kini. Namun, watak nenek atau ‘Paati‘ sebenarnya yang menjadi kegemaran penonton. Disampaikan dengan bersahaja, mesej adaptasi budaya Barat dalam kalangan pemuda sehingga melupakan adat dan budaya dipersembahkan secara sinis berhumor. Diarahkan oleh Allahyarhamah Yasmin Ahmad, iklan ini kembali dijadikan saduran primer bagi Petronas menghasilkan kempen Deepavali tahun ini (2015) bertajuk #PaatiSays.

2) Laddu – 2008 (Telekom Malaysia)

Iklan TV Deepavali paling kreatif pernah disaksikan. Menggunakan pendekatan penggambaran seperti filem klasik Tamil, Laddu mengisahkan tentang sang suami yang memarahi isterinya gara-gara menyediakan manisan tradisi yang kurang enak. Kecewa dengan layanan suami, sang isteri berlari menaiki tangga dan mengurung diri dalam bilik serta menangis. Latar muzik klasik diiringi dengan efek bunyi guruh, fokus kamera pada foto perkahwinan, visual berwarna era 1970-an dan sarikata berhasil menghidupkan suasana filem tamil klasik dalam sebuah iklan perayaan. Cara sang suami memujuk isteri menggunakan telefon juga mengakhiri sempurna mesej korporat Telekom Malaysia (TM).

3) Duelling Masseurs – 1996, 1997 & 1999 (Petronas)

Melumur minyak kelapa pada seluruh tubuh merupakan ritual turun-temurun setiap kali menjelang Deepavali. Tradisi itu dipersembahkan dalam iklan ini dengan iringan muzik klasik India yang dimainkan di radio lama. Kerancakan muzik diikut sama dua lelaki dewasa yang menyapu minyak pada dua kanak-kanak lelaki sambil seorang wanita tua duduk berehat di atas sebuah kerusi. Apabila seorang pemuda tiba-tiba menukar siaran radio yang memainkan lagu rock, tindakannya itu dimarahi mereka yang berada di sekeliling sehinggakan dia terpaksa menukar kembali ke siaran radio asal.

4)Raju VS Raaju – 2006 (Petronas)

Perseteruan dua pemilik restoran; Restoran Sri Raju dan Restoran Sri Raaju diangkat sebagai tema utama iklan ini. Apabila seorang peniaga (Raj) cuba meniru identiti asli Restoran Sri Raju dan berhasrat ‘mencuri’ kesemua pelanggannya akhirnya memakan diri. Niat yang tidak baik pasti dibalas.

5) Lights – 2002 (Petronas)

Pengorbanan seorang abang membesarkan adik-adiknya meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton. Dibelenggu kemiskinan dan tanpa pendidikan, Raju belajar bermain muzik sendiri bagi mendapatkan upah tambahan untuk menampung perbelanjaan harian dan pelajaran adik-adiknya. Sehinggalah adik-adiknya berjaya, barulah mereka sedar pengorbanan besar Raju kepada keluarga.

6) Dead Heroes (Deeparaya) – 2004 (Petronas)

“Eleh. Takkanlah semua iklan Petronas kena ada orang yang mati kan?” Dialog penamat iklan Deepavali + Hari Raya Aidilfitri ini menghentikan air mata penonton yang mungkin sedikit lagi akan tertumpah. Penceritaan tentang dua ibu berbangsa Melayu dan India dengan dua anak lelaki yang membesar bersama. Kedua-dua anak lelaki (Pravin dan Adam) mereka bertugas sebagai anggota polis dikhabarkan tidak dapat pulang menyambut perayaan ekoran tugasan yang dipertanggungjawabkan. Kedua-dua ibu tua tersebut menanti kepulangan hero-hero mereka penuh pengharapan.

7) Love and Light – 2014 (Tenaga Nasional/TNB)

Apa akan terjadi apabila anak lelaki jiran anda jatuh cinta kepada anak perempuan anda? Marah atau cuba sembunyikan anak perempuan anda? Tidak di dalam iklan ini. Bapa si gadis berusaha merapatkan hubungan si jejaka dengan cara memanggil anak lelaki jirannya ke rumah bagi membantu membaiki barangan yang rosak. Biarpun sering gagal dan menerima layanan dingin si gadis, si pemuda (Raju) tetap berpegang kepada frasa ‘Where there’s light, there’s hope’ yang diungkapkan bapa si gadis kepadanya. Mesej secara langsung ini amat tepat dengan imej TNB sempena Deepavali yang juga digelar pesta cahaya.

8) Ikan di Laut, Asam di Darat (Deeparaya) – 2004/2005 (TV3)

Persahabatan dua kanak-kanak; Raju dan Suparjo menjadi elemen kesepaduan dalam iklan TV arahan Allahyarhamah Yasmin Ahmad ini. Terpisah dan kembali bertemu selepas mereka duduk berjiran. Lagu persahabatan ‘Ikan di Laut, Asam di Darat’ menjadi penyatu dua teman baik ini. Siapa yang dapat melupakan momen lucu apabila wajah Adibah Noor disiram air paip. Babak Suparjo menyebut ‘Hey Raju‘ dan terus memeluk rakannya itu memang menyentuh hati.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *