SETIAP tahun, pasti timbul kisah artis Malaysia dan kelab malam. Kunjungan mereka ke pusat hiburan itu kebiasaannya berlandaskan sebab. Tidak kurang juga yang terbuka mengakui gemar ke kelab malam untuk berhibur dan menenangkan fikiran.

Salahkah artis, khususnya mereka yang beragama Islam berkunjung ke kelab malam? Terpulang kepada perspektif masing-masing untuk menilai tindakan mereka. Antara benar dan salah, tergantung pada niat, tujuan dan perlakuan mereka di tempat tersebut.

Untuk berbuat jahat atau dosa, tidak semestinya di kelab malam. Di rumah sendiri pun, tanpa diketahui orang, kita terdedah untuk berbuat dosa. Barangkali status kelab malam sebagai pusat hiburan, dengan hidangan minuman keras menjadikan ia ‘pusat noda’ paling tidak manis untuk muslim.

Berikut merupakan lima anak seni yang pernah terpalit dengan kontroversi membabitkan kelab malam.

1) Tasha Shilla

Sekitar 2012, pelakon ini dihambat kontroversi apabila kisahnya beraksi ‘liar’ di kelab malam bertiup kencang. Tasha mengakui kunjungannya ke sebuah kelab malam bagi meraikan ulang tahun kelahirannya. Dia juga mengiyakan bahawa dia sering ke kelab malam bersama rakan-rakan untuk meredakan tekanan selepas penggambaran.

Begitupun, pelakon drama Atas Nama Cinta itu menolak keras dakwaan dia melakukan tarian tiang di kelab malam tersebut. Tambah Tasha, dia tidak hipokrit atau menyembunyikan hobinya ke kelab malam bagi menenangkan fikiran.

2) Fazura

Pada 19 Disember 2004, sekitar pukul 1.20 pagi, berlakunya perkelahian antara Fazura dan seorang wanita bernama Geraldine Mariana Wong. Pertelingkahan itu terjadi di Bar Luna Pacific Regency Hotel & Apartments, Kuala Lumpur.

Pelakon Gol & Gincu itu disaman oleh Geraldine atas tuduhan mencederakan. Fazura menerusi keterangan pembelaannya, menghayun kasut kepada Geraldine selepas rambutnya ditarik kuat oleh wanita tersebut.

Perbicaraan kes ini bermula pada 2006 dengan keputusan berpihak kepada Fazura pada 2008. Dalam kes lain, Fazura juga pernah ditahan polis bersama seorang lagi pelakon, Sharifah Sofea di sebuah kelab malam di Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur pada Februari 2006.

Selepas menjalani ujian air kencing, kedua-duanya dibebaskan. Fazura juga menolak dakwaan bahawa dia mabuk pada malam tersebut.

3) Awal Ashaari & Scha Al-Yahya

Penghujung Disember 2009 digemparkan dengan berita melibatkan pelakon dan pengacara, Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya (sebelum berkahwin) terkandas dalam serbuan pihak polis di Rootz Club, Kuala Lumpur.

Kunjungan mereka dikatakan adalah bagi memenuhi undangan sambutan hari jadi rakan Scha yang baru tiba dari Australia. Ketika serbuan, Scha memberikan kerjasama dengan memberi sampel air kencing sama seperti pengunjung lain dan bebas daripada sebarang tahanan.

Begitupun situasi menjadi tegang apabila pihak media ternampak kelibat Awal yang gagal memberikan sampel urin. Awal dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. Dia akhirnya berjaya memberikan sampel urin dan dibebaskan.

4) Dayana Roza

Menari dan merokok tanpa segan silu di sebuah kelab malam ibu kota sekitar 2016, telah menghangatkan nama Dayana Roza. Pelakon drama Asam Pedas Untuk Dia itu diselar netizen yang melabelkannya sebagai gadis liar.

Dayana menerusi kenyataannya kepada sebuah akhbar tempatan menegaskan, dia hanya akan bersikap terbuka hal berkaitan karier. Ada batas hal peribadi yang boleh dikongsi kepada peminat. Dayana enggan mengulas lanjut berhubung isu tersebut.

5) Neelofa

Semalam (26 Februari 2018), pelakon, pengacara dan usahawan tanah air, Neelofa mengundang kemarahan masyarakat apabila menjadikan kelab malam terkemuka, Zouk, Kuala Lumpur sebagai lokasi pelancaran koleksi terbaharu tudungnya.

Lofa tidak kesal dengan kritikan netizen, bahkan meyakini keputusan yang dibuat. Rasional pemilihan Zouk adalah kerana ia menepati tema acara dan kesesuaian bajet.

Difahamkan, Lofa perlu mengeluarkan bajet sehingga lapan kali ganda jika diadakan di tempat lain dengan tema yang sama. Pelakon yang akan muncul dengan drama Ti Amor Sweetheart 100 Hari itu juga menegaskan enggan mempedulikan kecaman orang.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini