Satira berhumor Pocong Balik Rumah

0
21

BAGAIMANA sebuah cerita seram boleh dijenakakan? Barangkali anda pernah menonton filem Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid, begitulah formula yang cuba diadaptasi penulis novel Pocong Balik Rumah, Zaifuzaman Ahmad.

Cuma novel ini lebih rumit dan terperinci penceritaannya. Memang benar, apabila anda menamatkan pembacaan naskhah setebal 546 muka surat ini, terbit deja vu membandingkannya dengan karya Mamat Khalid yang dipertontonkan di pawagam pada 2010 dulu.

Bagaimanapun Pocong Balik Rumah terbitan Grup Buku Karangkraf (Buku Prima) tetap menyajikan keunikan plot, jalinan cerita dan paling menarik adalah gaya bahasa puitis berskala sederhana yang kurang diberi penekanan oleh kebanyakan novel seram lain.

Penulis tidak hanya mahu pembaca menghilai tawa dan merinding ketakutan, malah berhasrat untuk menyampaikan pelbagai mesej terang-terangan dan tersembunyi yang dilapisi dalam setiap watak, perwatakan, latar tempat, masa serta konflik.

Menerusi Pocong Balik Rumah, pembaca bukan setakat melarut seram dengan perjalanan ‘hantu’ berbungkus kain kafan meredah dua buah kampung bagi memohon pertolongan setiap orang yang terserempak dengannya. Bahkan pembaca turut dihidangkan dengan realiti masyarakat Melayu kampung yang masih hidup berlandaskan khabar angin dan cakap orang.

2-pocong balik rumah Karangkraf Mall Online

Dari mulut ke mulut, pelbagai versi cerita tanpa kesahihan disampaikan sehinggalah mencetuskan aib kepada sesetengah individu. Misalnya, majlis tahlil arwah Cikgu Hussein dipulaukan penduduk Kampung Seri Andak yang menyangka arwahlah pemilik kepada pocong yang berkeliaran itu. Malah keluarga arwah turut terkesan dengan berita yang disebarkan orang-orang kampung tersebut.

Bukan itu sahaja, kebijaksanaan penulis menyelitkan sindiran kepada wakil rakyat (tanpa condong terhadap mana-mana parti politik) juga ketara pada penjelasannya tentang keadaan jalan kampung yang berlubang di sana sini. Tanpa tersembunyi, penulis turut mengheret fenomena klise pilihan raya yang menyaksikan orang kampung ditatang bagai anak emas, tetapi apabila undi diraih dan pangkat diperoleh, bayang dan janji manis hanya tinggal janji. Melarat semula hidup orang kampung menanti janji yang ditagih untuk dikotakan.

Secara keseluruhannya, Pocong Balik Rumah menerobos sempurna rutin hidup masyarakat kampung, khususnya orang Melayu. Golongan berusia yang banyak menghabiskan masa beribadat tetapi tetap termakan kisah tahyul, kelompok muda pula masih leka menghadap telefon bimbit, kumpulan isteri yang tubuhnya mengembang selepas beranak pinak dan gemar bergosip di tangga rumah sesama jiran menjelang petang serta suasana warung kampung yang menjadi destinasi bergebang kaum Adam usai solat Isyak hingga ke tengah malam.

Dua watak penting, Tok Ketua (Ketua Kampung) dan Muda (bomoh kampung) juga dapat dilihat warnanya. Di sebalik keikhlasan mereka melunaskan tanggungjawab kepada penduduk kampung, masih terpalit setompok kehitaman dalam karakternya. Tok Ketua misalnya, tetap membimbangi jawatannya terlepas ke tangan orang lain kerana menyenangi elaun bulanan yang diterima. Begitu juga Muda, biarpun tidaklah begitu pintar soal makhluk halus, tetap dijulang orang sebagai pengantara alam ghaib terhebat pernah dikenali mereka.

Semua pemandangan isi kampung dirangkum cermat dalam buku ini. Justeru, pembaca yang memilih untuk membeli buku ini usah meletakkan jangkaan melambung terhadap plot seramnya. Ia bukan karya kuat buat penggemar tegar cerita seram, malah lebih sesuai kepada mereka yang sukakan penceritaan plot berantai yang tidak sekadar menghamparkan hiburan. Pocong Balik Rumah merupakan fiksyen komedi seram sarat isi pengajarannya.

Sinopsis: Kampung Seri Andak gempar apabila seorang demi seorang penduduknya ditemui pengsan akibat ditegur lembaga putih berbungkus kain kafan yang dikenali orang tempatan sebagai pocong. Menambahkan sensasi apabila kemunculan pocong itu dikaitkan dengan kematian seorang penduduknya, Cikgu Hussein. Kematian Cikgu Hussein dan ‘amukan’ pocong yang terjadi pada hari yang sama telah menimbulkan syak wasangka penduduk kampung terhadap kemuliaan pekerti lelaki itu sepanjang hayatnya.

Dengan pantas, berita tentang jembalang peliharaan Cikgu Hussein mencari tuan baharu tersebar di seluruh pelosok kampung termasuklah kampung sebelahnya. Setiap orang yang bertentang mata dengan pocong itu mendengar permintaan lembaga itu berbunyi: “Tolong bukakan…”. Apakah yang mahu dibuka pocong itu? Benarkah pocong itu merupakan makhluk belaan Cikgu Hussein? Bagaimanakah penduduk kampung mencari penyelesaian terhadap masalah tersebut? Segala-galanya terjawab dalam Pocong Balik Rumah.

Info Pocong Balik Rumah:
Penulis: Zaifuzaman Ahmad
Harga: RM23
Terbitan dan edaran: Grup Buku Karangkraf (Buku Prima)

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini