Buku

Puitis Perahu Kertas

By  | 

LAMA sudah terbit buku dan filem ini. Karya romantis penulis Indonesia, Dee ini dikategorikan dalam judul ‘angan-angan’ sederhana. Bererti, Perahu Kertas merupakan nashkah yang mudah dicerna pembaca tanpa menguji pengetahuan am pembaca terhadap sesuatu hal. Mungkin Raja Laut atau Neptune sahaja kurang dikenali sesetengah pembaca.

PerahuKertas

Secara keseluruhan, Perahu Kertas sangat menghiburkan. Kepintaran Dee merangkai ayat, bermain bait-bait puitis dan memilih latar tempat menyumbang kepada kejayaan novel ini. Watak Keenan dan Kugy yang dicipta untuk melengkapi satu sama lain juga disenada rapi. Barangkali jika watak Wanda tidak dimatikan secara drastik sesudah babak mabuk, novel ini bakal menjadi lebih menarik. Kerana agak menghairankan, bagaimana Wanda tidak disebut-sebut pada majlis pertunangan Noni dan Eko, sedangkan Wanda dan Noni bersepupu?

Perahu Kertas cukup rencah emosinya. Pembaca mudah terperangkap dalam konflik cinta tergantung Keenan dan Kugy, membuak ingin tahu sehingga tanpa sedar, mampu menamatkan novel ini dalam satu hari. Saya pasti, anda sukar melepaskan buku ini sesudah memulakan pembacaan.

Kelonggaran Perahu Kertas mungkin pada penutupan klise yang agak tergesa-gesa. Masih ada beberapa persoalan terganggu tidak diusaikan penulis. Mungkin mahu memberi peluang pembaca merungkai sendiri kesudahan mengikut penilaian kreatif masing-masing.

Saya amat menyarankan agar anda membaca novelnya terlebih dulu sebelum menonton filemnya yang dipecah dua.

Perahu Kertas yang difilemkan disutradara karyawan agung Indonesia, Hanung Bramantyo. Namanya sahaja sudah besar untuk mengheret orang ke pawagam, kerana teramat yakin kualiti kerja pengarah tersohor ini.

Menerusi Perahu Kertas 1, Hanung memusatkan cerita kepada kembara perasaan Keenan dan Kugy saat pertama bertemu, berkasih berbantu radar Neptune, berkonflik secara dalaman, terpisah tanpa pengucapan dan kembali bersua pada pertunangan (perkahwinan) Noni dan Eko.

Sejujurnya, saya kurang berpuas hati dengan pengaturan Hanung untuk babak-babak di universiti. Terlalu banyak momen diketepikan dan diubah suai sehingga keaslian itu tidak dinikmati mereka yang terlebih dulu membaca novel. Kemesraan Keenan dan Kugy tidak mempunyai kelangsungan, malah sepertinya Hanung tergesa-gesa mahu menuntun cerita segera selepas terpisahnya dua peranan utama itu.

Pendukung watak Kugy (Maudy Ayunda) dan Keenan (Adipati Dolken) saya kira sangat sesuai. Cuma mereka agak canggung mendukung karakter masing-masing. Kugy yang digambarkan dalam novel seorang yang periang, selekeh, kuat makan dan ada masanya emosi. Dalam filem, Kugy saya kira agak rapi pemakaiannya, lebih serius, makan secara sederhana namun cemerlang melakonkan babak-babak berair mata. Panggilan ‘Kecil’ oleh Keenan kepada Kugy juga tidak diguna pakai di dalam filem, sekali gus mematikan efek romantis yang sangat diharapkan penggemar nashkah ini.

Paling mengecewakan saya ialah babak di atas kereta api! Frasa keramat: Bulan, perjalanan, kita… langsung dibuang. Seharusnya babak ini diperhalusi, kerana keintiman dan kesatuan hati Kugy dan Keenan berbicara sangat jelas ketika momen ini. Dalam novel, mereka banyak berbahagi perasaan ketika di warung sambil menantikan kereta api meneruskan perjalanan. Sebaliknya Hanung memilih menggantikan adegan itu di jambatan landasan kereta api. Sangat mendukacitakan.

Dua watak yang paling menonjol dalam filem dan menepati gambaran novel ialah Luh De (Elyzia Mulachela) dan Remi (Reza Rahadian). Keperibadian pemalu dan bijak berkata-kata mirip benar Luh De di dalam novel. Kematangannya yang menginjak 18 tahun juga tidak keterlaluan dimainkan pendukung watak ini. Remi juga tidak menghampakan. Sepertimana pembaca membayangkan Remi sebagai lelaki budiman, berpenampilan menarik, bijak dan rasional, begitulah yang dapat kita lihat di dalam filem.

Jika watak Noni dan Eko dibanyakkan di dalam filem, saya kira ia akan lebih menarik. Seharusnya, babak-babak mereka berempat, geng ‘Pura-Pura Ninja’ dipanjangkan dalam bahagian pertama, kalau boleh merangkum penuh kehidupan mereka sebagai pelajar.

Alif: Ulasan dibuat berdasarkan penilaian peribadi saya. Mungkin ada yang tidak sepakat dengan pendapat di atas. Selamat menikmati Perahu Kertas, melajulah bacaan anda dalam deras tanpa halangan, sekelip mata anda ketemu pelabuhannya.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *