Buku

Kebebasan Langit Tanpa Awan

By  | 

They say poetry doesn’t sell.

Ada benar, ada juga (banyak) salahnya.

Menjual puisi seperti menjual jiwa.

Itu benar.

EMPAT rangkap pertama puisi Poetry Lesson 101 yang dipetik daripada buku himpunan puisi sulung nukilan Nick Adly di atas kini pasti pahit untuk ditelan penerbit-penerbit buku tempatan yang berpegang kepada prinsip ‘hanya novel fiksyen bertema cinta klise’ layak dan laku untuk dijual.

Sejujurnya, kulit buku setebal 135 muka surat ini menggamit perhatian. Lembaran demi lembaran diselak, mungkin di awalnya ada pembaca akan tertawa, janggal dengan penulisan Nick yang sekadar berbasa-basi bercerita soal hidup secara rawak.

Rawak! Ya, nilai yang menjadi kekuatan naskhah ringkas ini. Keseluruhan 128 puisi karangan pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) ini membuktikan betapa penilaian hidup itu mampu diinterpretasi siapa pun, asalkan dikongsi penuh kejujuran, kecintaan dan kemahuan.

Langit Tanpa Awan ibarat sebuah jurnal hidup yang dipotretkan dari kaca mata penulis. Puisi-puisinya berkisar tentang pengalaman, perasaan, emosi dan memori nyata atau bayangan yang dirasai dan dilalui sendiri Nick. Kebanyakan coretannya juga begitu dekat dengan kisah hidup seharian pembaca.

3-langit.jpg2

Mereka yang sedang angau bercinta pasti tersenyum sendirian apabila membaca Midnight Message, Awak.Saya.Kamu, trio Oldskool dan Taken, sekadar menyebut beberapa contoh. Pemilihan kata-kata yang mudah difahami, kepintarannya menyusun ayat agar bunyinya seirama dan mesej secara langsungnya tanpa disempadani ‘kod-kod’ rahsia membuai pembaca penuh keasyikan.

Puisi bertema kekeluargaan dan kenegaraan seperti Sayangku, Lahad Datu!, 51st dan Pondok Usang pula memaparkan kebolehan Nick untuk menuntun pembaca ke dalam dunia yang lebih serius.

Lain Nak Lain Yang Datang, Milo Panas Dan Roti Bun serta Ranap adalah sebahagian puisi bersalut pesanan yang begitu mengesankan. Ia disampaikan dengan penuh bersahaja tetapi masih secara sembunyi-sembunyi, memaksa pembaca untuk cerdas memikirkan polemik masyarakat apakah yang cuba dibicarakan Nick dalam setiap puisi tersebut.

Monolog barangkali layak untuk diangkat sebagai puisi terbaik. Cantuman tiga bahasa (Melayu, Inggeris dan Arab) membentuk baris-baris berlandaskan erti pengetahuan begitu mempesonakan.

Secara keseluruhannya, puisi-puisi pendek dalam Langit Tanpa Awan lebih menyerlah dan menghiburkan pembaca. Beberapa puisi panjang yang dimuatkan di dalam buku ini masih dibayangi kesamaran tujuan, kelonggaran kosa kata dan cepat mematikan keinginan meneruskan bacaan ke barisan seterusnya. Namun, sudah namanya puisi, walaupun isinya sukar ditafsir sang pemeri, maksud realismenya sahaja difahami si pemberi.

Selamat terpesona dengan kebiruan Langit Tanpa Awan. Moga mampu melonjak perasaan anda di awang-awangan.

Fiksyen menceriakan kita, Puisi mematangkan kita.

Fiksyen menghiburkan kita, Puisi memanusiakan kita.

Fiksyen memfantasikan kita, Puisi memerdekakan kita.

Judul: Langit Tanpa Awan (himpunan puisi)

Muka surat: 135

Karya: Nick Adly

Penerbit: Biji Press

Harga: RM20

Nota: Puisi berjudul Cici saya syaki adalah berkisar tentang seekor sugar glider. Bagaimana saya tahu? Perkataan ‘crabbing‘, buah dipotong dadu, potongan dahan pokok dan aksi panjat-memanjat.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *