Transformasi balkoni kecil menjadi hutan mini organik

0
107

ADAKAH anda tinggal di pangsapuri, apartmen, kondominium atau rumah yang ruangnya terhad? Sesetengah kediaman jenis ini turut mempunyai ruang balkoni yang agak kecil.

DCIM102GOPRO Processed with Snapseed.HASIL TRANSFORMASI BALKONI KECIL MENJADI RUANGAN SANTAI YANG SELESA UNTUK BEREHAT/FOTO: HAMZAH HAMID

Ada penghuni yang menjadikan balkoni tersebut sebagai tempat menjemur pakaian dan menyimpan barangan terpakai. Tidak kurang juga yang mengubah ia menjadi taman mini dilengkapi pokok-pokok kecil bagi menyerikan kediaman.

Bagaimanapun masih ramai yang tercari-cari idea menghias balkoni untuk dijadikan ruang kedamaian semula jadi. Maka kami sempat menemubual seorang pemilik kediaman, Hamzah Hamid, yang mempunyai balkoni kediaman menarik perhatian tetamu yang berkunjung ke rumahnya.

Balkoni berkeluasan kira-kira 7 kaki x 3 kaki itu ditransformasi menjadi sebuah taman mini organik berlatarkan dua rona semula jadi; warna tanah (coklat keperangan) dan hijau.

Pelantar kayu yang melapisi lantai balkoni dibuat sendiri bagi menyamakan ketinggiannya dengan aras lantai dalam rumah. Ia sekali gus memberi pandangan jejak yang berkesinambungan dari ruang tamu ke balkoni itu.

Pemilihan kayu, kerja-kerja memotong, menyusun dan mengecat telah dilakukan sendiri bersama rakan tanpa mengupah tukang kayu atau pereka dalaman.

img_0265-jpg-cPLATFORM KAYU BALKONI DITAMBAH BAGI MENYAMAKAN KETINGGIAN DENGAN LANTAI DALAM RUMAH/FOTO: HAMZAH HAMID

“Sejujurnya, balkoni ini pada asalnya hampir tiada fungsi melainkan untuk menikmati udara luar. Namun, terdapat cara untuk menjadikan ia lebih menarik.

“Saya kurang meminati pokok bunga tetapi sangat menggemari pohon-pohon berdaun hijau. Jadi saya memilih beberapa spesies pokok yang pelbagai saiz, rupa bentuk dan ton warna.

“Di sudut kanan dan kiri balkoni pula saya hiaskan dengan batu-batu sungai untuk efek dan kesan pengairan,” kongsi Hamzah yang menetap di sebuah kediaman apartmen di pinggir Kuala Lumpur.

Pokok

Minimalis adalah huraian tepat bagi menggambarkan balkoni Hamzah. Tidak ghairah memenuhkan segenap ruang dengan pelbagai pokok, sebaliknya hanya tiga pasu dengan pokok hijau yang berbeza dikelompokkan di satu sudut.

Pokok daripada spesies tree philodendron, arrowhead philodendron dan red aglaonema menjadi pilihan Hamzah untuk dirumpunkan bersama.

Image by GardenDrum.comPOKOK RED AGLAONEMA MERUPAKAN ANTARA TUMBUHAN HIASAN KEDIAMAN YANG POPULAR/FOTO: GARDENDRUM

Philodendron merupakan antara spesies dan jenis tumbuhan seperti tumbuhan menjalar berasal dari Amerika Selatan. Perkataan philodendron bermaksud pencinta pokok dan spesiesnya banyak ditanam sebagai tumbuhan dalam rumah.

Ketinggian balkoni (jarak di antara lantai dan siling) kira-kira 11 kaki juga memberi kelebihan kepada Hamzah untuk menambah pokok kecil yang digantung.

Beberapa jenis spesies seperti Bombay Creeper (Vernonia Elaeagnifolia) dan money plant, termasuk pokok sirih puteri dibiar berjuraian di balkoni membantu memberi ilusi vertikal pada ruangan tersebut.

“Menjaga tumbuhan sama seperti memelihara haiwan. Kita kena kenali sifatnya. Apabila membeli pokok di nurseri, ringankan mulut untuk bertanya tentang kekerapan siraman dan pembajaan pokok tersebut.

“Ada pokok yang tidak perlu disiram setiap hari kerana tanah yang basah akan mereputkan akar sehingga menyebabkan pokok akhirnya mati.

BIARPUN RUANGNYA KECIL TETAPI TAMPAK LAPANG DAN MENDAMAIKAN KERANA KEBIJAKSANAAN SUSUN ATUR/FOTO: HAMZAH HAMID

“Rajinkan diri memeriksa kelembapan tanah. Selagi ia masih lembap, tidak perlu menyiram dengan air yang banyak. Selain itu, amalkan juga menggembur atau menambah tanah baharu di dalam pasu.” jelas Hamzah.

Bagi memastikan tumbuhannya membesar dengan sihat dan kaya nutrien, Hamzah akan membaja pokok-pokoknya menggunakan palet organik (tahi ayam) sekali dalam sebulan. Pokok yang menuntut penyemaian terperinci bersama pokok-pokok yang digantung pula turut dibaja menggunakan semburan cecair organik.

Begitu juga air siraman yang digunakan. Untuk lebih mesra alam, setiap kali Hamzah membersihkan akuarium di dalam rumah, air takungan akuarium yang lama itu akan dijadikan air siraman pokok kerana ia kaya dengan nutrien yang diperlukan tumbuhan.

Dekorasi

Sebelum menetapkan peletakan dan jenis pokok untuk balkoninya, Hamzah terlebih dulu mengenal pasti arah matahari terbit. Dia turut mengambil kira faktor terik matahari menjelang waktu tengah hari.

Balkoni Hamzah yang menghadap arah Utara membuatkannya sedikit bertuah. Namun, apabila waktu tengah hari, cuaca di balkoni itu masih panas.

Justeru, tirai buluh dipasang bagi menyaring sedikit cahaya selain bertindak sebagai faktor privasi.

Pemilihan perabot juga ditetapkan mengikut kesesuaian ruangannya yang terhad. Sebuah kerusi dengan material yang menepati konsep balkoni memadai untuk menghidupkan keselesaan ruangan kecil tersebut.

img_0292-jpg-cPENGGUNAAN PERABOT YANG MINIMUM DAN BERTEPATAN TEMA AKAN MENYERLAHKAN LAGI NILAI EKSKLUSIF BALKONI INI/FOTO: HAMZAH HAMID

“Bagi memenuhi konsep organik, maka saya memilih kerusi berasaskan kayu. Kadang-kadang saya letakkan kerusi taman berkaki empat bersaiz kecil di penjuru balkoni ataupun tempat duduk otoman (tempat duduk rendah tanpa penyandar atau lengan) yang ringkas.

“Fungsi kerusi itu adalah untuk kita berehat melepaskan penat. Jadi tidak perlu serabutkan balkoni dengan banyak benda.

“Apa yang penting adalah mengekalkan nilai inviting pada balkoni. Jika elemen keseimbangan dijaga, balkoni yang kecil juga mampu menjadi fungsi penting, iaitu sebagai ruang perantara – yang menjemput ketenangan, kehijauan dan kebebasan di luar rumah, ke dalam kediaman,” Hamzah menutup perbualan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini