Gaya Hidup

Survival nakhoda muda Mohd. Asrul

By  | 

PAGI 5 Mei lalu, Mohd. Asrul Che Rahma, 28, mundar-mandir dari dermaga Kuala Besut, Terengganu mengelek dua tong penuh minyak diesel. Sesekali langkahnya terhenti melayan karenah beberapa pemandu bot separuh usia yang menyapanya mesra sebelum memanjangkan semula langkah ke arah bot persiaran miliknya.

Mohd Asrul dibantu temannya yang sedang bersandar melabuhkan keringat di buritan bot, kedua-duanya hilang ditelan perut bot kurang lebih 15 minit. Rutin memeriksa kandungan air tawar, kuantiti minyak hitam dan suhu enjin menjadi kewajipan setiap kali sebelum memulakan perjalanan.

“Sama seperti memanaskan enjin motor sebelum bergerak, perkara ini perlu demi mengelakkan berlaku sebarang perkara tidak diingini apabila berada di tengah-tengah laut,” lentur bicara Mohd. Asrul sambil mengusung papan penutup tangki utama bot persiaran tersebut.

Bot persiaran yang mampu memuatkan maksimum 40 penumpang sekali perjalanan itu sudah menabur bakti kepadanya sejak tujuh tahun lalu dan samudera menjadi sumber utama mata pencarian Mohd. Asrul selepas bergraduasi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang enam tahun lalu.

nakhoda1

Mohd Asrul akan memeriksa keadaan enjin bot sebelum memulakan perjalan setiap hari. Foto/ www.facebook.com/yoyoey

Kenapa boatman? Soal penulis. “Sebab ini perniagaan keluarga, selalunya fakta ini mengejutkan penumpang saya. Mereka tidak percaya seorang pemilik ijazah sarjana muda Pengurusan Perniagaan condong langkahnya menjadi pemandu bot sahaja.

“Sebenarnya ini perniagaan turun-temurun daripada datuk saya lagi. Ketika itu keluarga saya mengusahakan perniagaan nelayan laut dalam namun selepas Pulau Perhentian dikomersialkan menjadi kawasan pelancongan, jeti Kuala Besut sekali gus bertukar wajah termasuk nelayan yang asalnya bergantung harap pada rezeki alam marin.

“Bertukar ganti kepada bapa saya yang memulakan syarikat pelancongan Perhentian Trans Holiday Sdn. Bhd. sejak tahun 2014 akhirnya saya pula yang mengemudinya sekarang sejak lima tahun lalu,” katanya yang perlu bersaing dengan pelbagai syarikat pelancongan lain yang menawarkan pelbagai servis menarik di kawasan tumpuan itu.

nakhoda2

Foto/ www.facebook.com/yoyoey

Perhentian Trans Holiday Sdn. Bhd. menyediakan sebuah feri dan tujuh buah bot laju untuk memudahkan perjalanan pergi dan balik ke Pulau Perhentian setiap hari. Mula beroperasi seawal pukul 8 pagi setiap hari, pakej mengangkut penumpang disediakan selang satu jam untuk ke Pulau Perhentian manakala hanya tiga kali sehari iaitu pukul 8 pagi, 12 tengahari dan 4 petang dari Pulau Perhentian ke jeti Kuala Besut.

“Untuk menjadi seorang pemandu bot perlulah mendapatkan sijil perakuan kecekapan (Certificate of Competency, COC) dari Jabatan Laut Malaysia dan ujian yang perlu dilalui calon-calon yang memohon biasanya membabitkan ujian lisan berbentuk undang-undang kelautan.

“Menerusi ujian yang diadakan hanya sekali setahun itu, calon dikehendaki mempunyai ilmu pengetahuan daripada segi pelayaran, jarak, masa, jenis-jenis boya dan bendera semboyan antarabangsa dari A hingga Z,” ujarnya yang perlu tahu menganalisis ombak dan arus laut.

Sama seperti mana-mana pekerjaan di dunia, kerjaya sebagai boatman perlu berdepan dengan pelbagai risiko dan situasi yang mencemaskan. Kongsi Mohd. Asrul, dia pernah tersesat di tengah-tengah laut selama dua jam suatu ketika dahulu.

“Tanggungjawab boatman selain mengemudi bot adalah menjaga keselamatan dan kebajikan penumpang, namun adakalanya saya perlu bersedia berdepan detik-detik mencemaskan di tengah-tengah laut.

“Pernah sekali ketika awal kerjaya dahulu saya hilang arah apabila perjalanan yang sepatutnya mengambil masa cuma 30 minit menjadi dua jam. Ketika itu saya panik kerana bot yang saya pandu tiba-tiba menghampiri Pulau Redang dan Pantai Bachok (Kelantan).

“Setakat ini Alhamdulillah saya tidak pernah berdepan ancaman lanun, cuaca buruk atau ombak besar ketika di tengah-tengah laut kerana sudah merancang perjalanan dari awal. Apabila berdepan detik cemas ketika itulah kemahiran, skil operasi dan peralatan navigasi seperti kompas, suar api, asap oren, radio komunikasi, pam air, lampu navigasi, hon dan gear digunakan semaksimum mungkin,” jelasnya.

Mohd. Asrul seboleh-bolehnya cuba mengelakkan perjalanan di samudera pada waktu malam kerana sifat bot persiaran tidak sama seperti sebuah kereta yang mempunyai lampu hadapan. Biasanya perjalanan waktu malam hanya berpandukan lampu navigasi, rumah api dan lampu pelabuhan semata-mata.

Melanjutkan perbualan sambil diiringi tamparan bayu laut, Mohd. Asrul memberitahu waktu terbaik untuk berkunjung ke Pulau Perhentian adalah pada bulan Mei hingga Ogos, yang mana kondisi ombak berada pada kadar selamat.

Sebaik-baiknya elakkan merancang perjalanan ke Pulau Perhentian pada bulan Disember hingga Mac memandangkan waktu tersebut adalah musim angin monsun timur laut dan kebiasaannya perusahaan pelancongan di kawasan tersebut diperlahankan.

nakhoda4

Keadaan jeti Kuala Besut seawal pukul 8 pagi. Foto/ Pepatung

“Bulan-bulan itu biasanya dihabiskan dengan mencuci dan melakukan penyelenggaraan bot, ada antara kebanyakan boatman mengambil peluang untuk bercuti atau mengembara dan ada antaranya pergi memancing,” tambahnya.

Kemelut perusahaan bot dan pelancongan di kawasan Kuala Besut dan Pulau Perhentian biasanya membabitkan campur tangan agensi asing. Selalunya, harga yang ditawarkan sebagai operator di kawasan tersebut hanyalah RM70 untuk perjalanan pergi dan balik.

Sementara itu, Mohd. Asrul menggesa  golongan muda untuk turut sama menceburkan diri dalam bidang pelancongan setempat dan perusahaan bot yang dijangka akan semakin pesat berkembang pada masa akan datang. Perjalanan kami melabuhkan sauh di jeti Pulau Kecil lewat pagi itu, Mohd. Asrul memuntahkan semua penumpangnya, kembali memusingkan bahtera kecilnya seraya berlalu membelah samudera nan luas terbentang.

Comments

comments

Selepas lima tahun bersama akhbar berbahasa Melayu tempatan, penulis memanjangkan langkah dalam bidang rekaan fesyen bersama label peribadi. Kecintaan terhadap dunia penulisan dilanjutkan bersama Pepatung berbekalkan pengalaman skop hiburan, pelancongan dan biografi.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *