Gaya Hidup

Sunway Lagoon ditawan hantu dan jembalang

By  | 

KALAU anda peminat tegar filem seram Hollywood, anda pasti mengenali karakter Freddy Krueger, Michael Myers dan Jason Voorhees. Ketiga-tiganya digambarkan sebagai antagonis mengerikan dan membunuh tanpa belas kasihan.

myers-michael-freddy-krueger-jason-voorhees-pinhead-hellraiser-jpg-c

Pernahkah terlintas di fikiran anda, apa akan terjadi jika karakter-karakter psiko itu wujud dan muncul di depan anda? Benar ia hanya fiksyen dan mustahil dizahirkan secara realiti. Bagaimanapun penjelmaan watak-watak tersebut untuk tujuan ‘berseronok’ memang tidak mustahil.

Halloween bakal diraikan menjelang 31 Oktober depan. Masih berbaki empat hari sebelum malam ‘pesta hantu’ itu disambut di seluruh dunia. Maka berbekalkan empat hari ini, anda boleh meredah ketakutan dan menguji keberanian dengan bertemu Freddy, Michael dan Jason.

Tiga ikon seram itu bersama konco hantu yang lain sedang menanti kunjungan anda ke Sunway Lagoon. Sejak awal bulan lalu, taman tema tersebut telah ditawan pelbagai jenis hantu dan jembalang. Menjelang malam, kelibat mereka dilihat berlegar-legar di segenap sudut Scream Park bermula pukul 7.30 malam hingga 11.30 malam.

slide1-jpg-c

Nights of Fright 4 (NOF4) bakal memberikan anda pengalaman seram yang bervariasi. Pesan kami, apabila anda melalui zon The London Fog, kentalkan semangat. Laluan yang diselaputi kabus itu akan menyulitkan pandangan anda. Segalanya tambah mendebarkan apabila kelibat Michael (Halloween) semakin jelas kelihatan.

Sejujurnya, jika anda pernah menonton francais filem Halloween, anda pasti akan kecut perut dan menggigil apabila Michael berdiri tegak tidak jauh dari anda sambil memegang pisau. Ditambah pula dengan wajahnya yang ditutup dengan topeng putih menyeramkan itu, membuatkan lutut longgar serta-merta dan terasa mahu berpatah balik.

Teruskan perjalanan dan atasi ketakutan anda kerana ia hanyalah permulaan eksplorasi seram anda di taman tema tersebut.

Gandakan ketakutan dengan memasuki Horrorwood Studios yang memerlukan anda berjalan melintasi karakter-karakter seram ternama Hollywood. Kedatangan anda akan dijemput si Freddy (A Nightmare on Elm Street) yang akan cuba mematahkan keberanian anda untuk meneruskan perjalanan.

Di penghujung Horrrorwood Studios, usah cepat menarik nafas lega kerana pintu untuk ke dunia zombi, Zombie Apocalypse kemudiannya dibuka. Maka anda perlu merentasi sarang zombi terlebih dahulu sebelum menemui jalan keluar yang sebenar.

Memang memengahkan ketika diusik zombi-zombi yang menggila di kanan dan kiri laluan. Pagar-pagar besi yang memisahkan laluan daripada zombi-zombi tersebut langsung tidak meredakan gentar. Apatah lagi apabila zombi-zombi itu ‘terlepas’ dari kandang dan mengekori anda dari belakang.

14449881_10153739304771816_5638388122211249854_n-jpg-c

Selepas selamat melangkah keluar dari wilayah zombi, tenangkan diri seketika sebelum menyambung penjelajahan alam misteri anda.

Tarikan utama taman tema seram Sunway Lagoon tahun ini ialah The Ghostbusters Adventure Live! Barangkali ia sempena filem Ghostbusters yang baru ditayangkan pertengahan tahun ini, maka keseluruhan set dan tema disesuaikan mengikut jalan cerita filem tersebut.

14370399_10153739308721816_679460467120017864_n-jpg-c

Anda akan diberi kaca mata 3D ketika memasuki rumah berhantu ini dengan permulaan yang sangat menarik. Terdapat dua jambatan perlu dilintasi tetapi hati-hati, kawal imbangan badan kerana visual di sekelilingnya akan membuatkan anda terasa seperti sedang berputar sehingga memeningkan kepala. Berpautlah pada tali pemegang jambatan sekiranya tubuh anda mula hilang keseimbangan untuk berjalan lurus.

Menerokai rumah berhantu dalam Ghostbusters memberi peluang untuk anda merasai sendiri pengalaman berdepan penunggu-penunggu yang membuat huru-hara di New York. Begitupun tahap keseramannya agak kurang mungkin kerana penampakan hantu dan jembalang yang tidak mengerikan.

Malaya High School menyusul dengan harapan ia akan menjanjikan kejutan yang lebih hebat. Begitupun berdasarkan pengalaman kru Pepatung, ia kurang menyengat dan tetapan waktu yang terlalu pendek di dalam sekolah berhantu itu tidak memberikan impak mahupun ketakutan memuaskan.

malaya-high-school1-jpg-c

Anda akan dipimpin seorang pelajar perempuan beruniform sekolah masuk ke dalam sebuah kelas. Seorang guru lelaki dan beberapa pelajar pula menunggu kehadiran anda di dalam kelas tersebut. Terdapat kejutan dan suspen di dalam kelas ini dan idea tersebut benar-benar menakutkan orang. Barangkali jika karakter-karakter di dalamnya disolek lebih seram dan beraksi lebih agresif, ketakutan orang akan lebih bertambah.

Teruskan kembara anda ke DIYU – The Journey to Judgement untuk masuk ke alam ‘kematian’. Sepanjang perjalanan anda dan pengunjung lain perlu memegang tali yang diberikan sehingga ke pintu keluar. Laluan DIYU begitu mendebarkan terutama ketika anda terpaksa meredahi sebuah gua yang dipenuhi kabus tebal. Anda akan bertembung dengan ‘roh-roh’ yang menjadi penunjuk jalan.

kevin-hill-jpg-c

Tamat perjalanan mistik tersebut, singgah dahulu di Chaonei No. #81 in UV3D. Visual 3D yang dipersembahkan di dalam rumah berhantu ini amat berbeza dengan tarikan lain. Keseramannya unik dan tersendiri serta tidak klise. Maka anda tidak dapat meneka apa yang akan terjadi di dalam tempat ini sekali gus, membuatkan debaran jantung lebih kencang.

Chaonei yang diadaptasi daripada rumah berhantu popular di Beijing membongkar tragedi seorang penyanyi opera yang bermain cinta dengan suami kepada pemilik rumah tersebut. Penggunaan kostum dan set klasik menepati latar masa kisah tersebut menambahkan lagi realisme situasi sehingga membuatkan para pelawat berpeluh dan terjerit-jerit sepanjang penerokaan.

ah-wing-jpg-c

Masih panjang perjalanan malam anda di Scream Park tersebut. Pastikan anda pergi ke Kevin Hill dan singgah ke semua zon seramnya; Ah Wing Butcher Shop, Tanah Perkuburan Bukit Lang, The Zombie Walk, The Clown Collective dan Kevil Hill Township.

Permainan lain seperti carousel, scream coaster, Colorado splash dan Grand Canyon river rapids turut dibuka sepanjang Scream Park beroperasi. Gerai makanan dan minuman berkonsep seram juga dibuka di sekitar taman tema.

NOF4 dibuka hari ini (Jumaat) sehingga 31 Oktober 2016 (Isnin depan). Tiket berharga RM58 boleh dibeli di kaunter yang dibuka bermula 7.30 malam. Hanya pengunjung berusia 12 tahun ke atas dibenarkan masuk.

Secara keseluruhannya, NOF4 memberikan keseraman yang sederhana kepada individu yang menggelar diri sebagai ‘kaki cerita hantu’. Terdapat rumah hantu seperti The Angoscia Theatre yang sejujurnya satu pembaziran dan patut diganti dengan tarikan lain.

Diharapkan tahun depan, Sunway Lagoon akan memperbanyakkan rumah-rumah hantu yang mengangkat legenda seram tempatan. Ketiadaan kelibat pocong dan pontianak selaku tarikan dominan mengurangkan tahap keseraman. Banyak karakter hantu lokal boleh diketengahkan seperti hantu raya, hantu galah, hantu susu, toyol dan langsuir.

Pepatung juga ingin mencadangkan agar penyertaan pelajar dalam menjayakan festival seram di Sunway Lagoon dihadkan. Boleh dikatakan kesemua kru dan bakat NOF4 terdiri daripada kelompok pelajar. Mengapa tidak mengupah sekelompok profesional yang berpengalaman dalam kerja ‘menyergah’ orang? Sekurang-kurangnya pengunjung dapat pulang dengan kepuasan maksimum dan bukan suam-suam kuku.

Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-5639 0000 atau layari www.sunwaylagoon.com atau kunjungi Facebook Sunway Lagoon Malaysia.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *