Seni

Resensi Inspitari 2015

By  | 

INSPITARI sudah memasuki edisi ke-6 sejak kali pertama diadakan pada tahun 2010. Sepanjang perjalanan acara yang sudah menjadi takwim tetap Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu, pelbagai transisi dan transformasi berjaya dicipta.

Masih menggunakan lokasi sama di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Inspitari 2015 sekali lagi menyaksikan 16 karya baharu hasil olahan tarian kreasi oleh kumpulan JKKN seluruh negara. Pembaharuan kali ini, setiap kumpulan dikehendaki melalui fasa pembentangan berkonsepkan viva di hadapan Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli sebelum dibenarkan beraksi di pentas Inspitari.

Satu langkah optimis untuk menjamin kualiti yang dipersembahkan kepada khalayak kelak dan hal itu terbukti pada malam Inspitari 2015 yang berlangsung pada 7 dan 8 November lalu. Pepatung menyifatkan penganjuran kali ini adalah yang terbaik yang pernah diadakan sejak tahun 2009!

Persembahan tarian yang jelas dan boleh difahami, koreografi yang menarik, tatabusana dan tatarias yang menyenangkan mata, permainan set pentas yang mengagumkan dan perjalanan acara yang tidak melewah-lewah.

Bagaimanapun, sudah pasti ada antara kumpulan yang membuat persembahan tahun ini berjaya mencuri perhatian penonton begitu juga sebaliknya. JKKN Pahang antara kumpulan yang tidak pernah menghampakan penonton Inspitari saban tahun dengan pelbagai garapan idea yang kreatif dan luar jangka.

Berikut merupakan ulasan setiap persembahan Inspitari 2015 mengikut kumpulan JKKN:

JKKN Johor (Zapin Gema Daksina)

Sebagai pembuka tirai persembahan, JKKN Johor tidak mengecewakan. Mengambil gerak tari Zapin Melayu Johor, Zapin Sri Bunian dan Zapin Tenglu koreografi kumpulan ini nampak serasi terjalin kemas. Johor menambah penggunaan alat muzik marwas sebagai props tarian dan pemakaian baju Melayu Teluk Belanga menambah seri pada karya ini.

Bintang: 3

IMG_7609 IMG_7605 copy IMG_7614

JKKN Kelantan (Tari Garong)

JKKN Kelantan pernah melakar fenomena beberapa tahun lepas dengan kemunculan props dulang junjung gergasi mirip persembahan jalanan festial Rio de Jeneiro ketika acara Inspitari berlangsung di Matic ketika itu. Bagaimanapun prestasi kumpulan itu kian luntur tahun demi tahun hingga muncul kembali pada tahun ini dengan persembahan Tari Garong yang diadaptasi daripada tarian rakyat pada era 1950-an. Mencuri adrenalin dengan helah membaling props antara penari, kumpulan ini juga mengelitkan unsur dramatik dengan hilai tawa dan usik mengusik antara penari.

Bintang: 4

IMG_7643 copy IMG_7659 copy IMG_7652 copy IMG_7649 copy

 

JKKN Terengganu (Tari Mek Awang Tiruk)

Persembahan ini membuka mata penonton yang mungkin kurang cakna mengenai keturunan masyarakat Cina Tiruk di negeri Terengganu. Muncul dengan persalinan indah serba merah bersama tatarias yang begitu mempesonakan, penari wanita turut mengelek bekas Dupa (alatan simbolik untuk memupuk keharmonian dan menghalau semangat jahat). Kebanyakan gerak tari mereka juga mengambil konsep apungan badan selaras dengan aktiviti harian mereka di kawasan sungai.

Bintang: 4

IMG_7687 copy

JKKN Melaka (Sari Lintang)

Sanggul Lintang menjadi kebanggaan penduduk Melaka terutama dalam adat persandangan Melayu namun kreativiti koreografernya, Suhaib Daud telah mengolah seri aksesori pengantin itu menjadi sebuah naskhah tarian yang menarik. Kemunculan penari di atas pentas pun sebenarnya sudah mampu membuatkan penonton terpukau tanpa perlu gerak tari yang terlampau lincah. Bagaimanapun, keunggulan JKKN Melaka paling diingati pada tahun 2012 menerusi tarian Inang Bukit Cina.

Bintang: 3

IMG_7718 IMG_7756 copy IMG_7729 copy

JKKN Sarawak (Totokne Pangalima)

Entah mengapa kumpulan yang terbang jauh merentas Laut China Selatan ini masih gagal meraih minat penonton. Mereka seperti hilang semangat dan tidak cukup tenaga ketika beraksi di pentas. Totokne Pangalima menggambarkan kaum wanita yang sedang menunggu kepulangan suami iaitu seorang pahlawan (Pangalima) masyarakat Salako.

Bintang: 2

IMG_7777 copy

JKKN Negeri Sembilan (Tari Monang Kobau)

Monang Kobau merupakan dialek Negeri Sembilan yang bermaksud menang kerbau. Tarian kreasi ini menggambarkan kehidupan seharian mereka yang berkait rapat dengan kerbau dalam mengerjakan sawah padi dan pengangkutan membawa barang. Kemuncak tarian ini apabila penari berkumpul membentuk replika kerbau sambil yang ditunggang oleh dua orang gadis. Lain daripada itu, kebanyakan momentum tarian hanya mendatar.

Bintang: 2

IMG_7847 copy

JKKN Perlis (Tari Lenggang Harum Manis)

Sebut sahaja harum manis mesti terbayang kesedapan buah mempelam di negeri utara Semenanjung Malaysia itu. Perlis kali ini tampil dengan karya olahan baharu berentak inang yang mengisahkan si teruna cuba memikat si dara dalam karya Tari Lenggang Harum Manis. Ironi tarian ini, harum manis merujuk kepada si dara yang manis rupawan dan sopan santun. Gerakan tari lenggang yang diolah daripada tarian inang ditarikan lebih condong ke kanan dan merendah daripada tarian asasnya.

Bintang: 3

IMG_7883 copy IMG_7872 copy

JKKN Ibu Pejabat I (Joget Jengket)

Pernah sekali JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpu muncul menerusi tarian kreasi suasana masyarakat Kuala Lumpur menaiki LRT menerusi karya Joget Kasih LRT. Memang menarik dan mencuri perhatian! Barangkali kumpulan ini mengambil inspirasi daripada kehidupan semasa dengan menghasilkan naskhah Joget Jengket yang diadaptasi daripada permainan tradisional rakyat iaitu teng teng. Fokus tarian ini pada gerakan kaki dan ekspresi wajah penari yang menjadikan karya ini lebih comel dan melucukan cuma mungkin ada beberapa postur badan penari wanita yang perlu diolah untuk memberikan suntikan manis dan lebih sopan.

Bintang: 4

IMG_7901 copy IMG_7917 copy

JKKN Sabah (Rampakan Pua)

Karya Kuda Pasut pada Inspitari 2010 merupakan persembahan terbaik JKKN Sabah. Kemudiannya, prestasi kumpulan itu bukan berada dalam kelompok terbaik setiap kali edisi Inspitari. Tahun ini, Sabah mempersembahkan tarian Rampakan yang terhasil dengan menggabungkan beberapa elemen pergerakan ketam dan helang serta paluan kulintangan. Difahamkan pemilihan warna busana putih melambangkan warna pakaian pengantin bagi etnik tersebut. Tidakkah kombinasi ketam, helang dan pengantin bukan satu campuran yang ideal?

Bintang: 2

IMG_7971 copy

JKKN WPKL (Rou Yu Gang)

Ruo Yu Gang merupakan tarian gabungan antara Rou (kelembutan), Yu (dan), Gang (ketangkasan). Pengkisahan yang ditampilkan dalam karya ini tentang sebuah perkampungan Cina dalam satu majlis keramaian yang mana kaum wanita sedang menghiburkan pahlawan. Namun, kawasan tersebut diserang musuh dan mereka berpadu tenanga untuk menangkis serangan pihak musuh. Secara keseluruhannya, perjalanan cerita yang ingin disampaikan berjaya dicerna oleh penonton dan ada elemen dramatik menerusi gerak tari dan permainan lampu serta props penari di pentas.

Bintang: 4

IMG_7979 copy IMG_7997 copy

 

JKKN Perak (Bubu Kert)

Tarian ini diinspirasi daripada sebuah alat menangkap ikan masyarakat orang asli suku kaum Temiar di Kampung Pos Raya, Simpang Pulai, Perak. Ia memaparkan si gadis menghiburkan hati teruna yang pulang tanpa hasil tangkapan ikan kerana bubu dihanyutkan kepala air sewaktu membubu di sungai. Ada beberapa gerak tari yang dilihat janggal terutama bahagian penari lelaki namun keseluruhan tarian ini diselamatkan oleh busana yang unik.

Bintang: 3

IMG_8039 copy

JKKN Pahang (Kurichak)

Antara kumpulan yang sentiasa dinantikan setiap tahun. Pahang mempersembahkan tarian Kurichak yang mengisahkan perilaku seekor gajah tunggangan Maharaja Dewa Sura iaitu pemerintah pertama di negeri Pahang bernama Kurichak. Gerak tari diadaptasi berdasarkan sifat gajah yang berani dan cerdik serta badannya yang berwarna putih. Kali pertama kumpulan ini muncul menerusi naskhah yang mengadaptasi sifat burung iaitu Burung Kerak Nasi dan debut acara itu meletakkan Pahang antara kumpulan terunggul. Kesinambungan kecemerlangan itu diteruskan tahun demi tahun hingga kini dengan pelbagai garapan idea hebat dan kreatif. Syabas diucapkan!

Bintang: 5

IMG_8068 copy

JKKN Kedah (Tari Gobek)

Tari Gobek diilhamkan daripada susur galur tradisi sirih pinang itu sendiri. Proses melumatkan adunan sirih dan pinang amat ketara di negeri yang terkenal dengan legenda Mahsuri itu. Tarian itu dicipta berkisarkan aktiviti harian ketika lapang dengan berkumpul ramai-ramai sambil menikmati sirih pinang. Gerak tari mereka berasaskan rentak inang laju. Bagaimanapun, tatabusana kumpulan ini tidak cukup mencuri perhatian penonton.

Bintang: 2

IMG_8128 copy IMG_8132 copy

JKKN Ibu Pejabat II (Tari Gong)

Apabila menggunakan alat muzik kebesaran seperti gong, sudah pasti ekspektasi tinggi diletakkan kepada karya yang bakal dipersembahkan. Bagaimanapun, olahan tarian tersebut tidak cukup kuat untuk menyatakan sifat gong itu sendiri. Ada beberapa gerak tari yang menunjukkan kepelbagaian cara penggunaan gong dalam situasi berbeza yang mungkin kelihatan janggal bagi mata penonton biasa.

Bintang: 2

IMG_8183 copy

JKKN Selangor (Batu Tumbuk)

Transisi antara dua kumpulan ini dijalin kemas seperti sebuah muzikal dan penari menggunakan seluruh pentas dengan cemerlang ketika itu. Momentum dan tenaga yang dizahirkan oleh penari kumpulan itu dilestarikan dalam naskhah Batu Tumbuk pula, sebuah karya yang diinspirasikan daripada aktiviti masyarakat desa memetik dan menumbuk cili menggunakan lesung batu. Penari bijak menggunakan lirik lagu sebagai lip sync dan bermain dengan ekspresi wajah yang mencuit hati. Antara karya yang terbaik pada edisi Inspitari 2015!

Bintang: 5

IMG_8201 copy IMG_8224 copy

 

JKKN Pulau Pinang (Zapin Parsi)

Seperti ada sesuatu terkurang dalam karya kumpulan Pulau Mutiara ini. Apabila menyuntik elemen sejarah dalam sesebuah persembahan, penceritaan adalah peranan utama yang perlu ditonjolkan kepada penonton yang baru pertama kali melihat, tidak cukup dengan busana sahaja. Karya ini diadaptasi berdasarkan zaman kedatangan pedagang India berketurunan Arab ke Tanah Melayu pada awal kurun ke-7 Masihi. Mereka menggabungkan gerak tari Zapin Lik Lau, Silat Melayu dan elemen pengaruh India dan Parsi dalam mengolah tarian tersebut.

Bintang: 2

IMG_8276 copy IMG_8251 copy IMG_8249 copy

 

Comments

comments

Selepas lima tahun bersama akhbar berbahasa Melayu tempatan, penulis memanjangkan langkah dalam bidang rekaan fesyen bersama label peribadi. Kecintaan terhadap dunia penulisan dilanjutkan bersama Pepatung berbekalkan pengalaman skop hiburan, pelancongan dan biografi.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *