Dulu melukis tiada masa depan, kini jadi kerjaya membanggakan

0
8

JURUSAN seni pernah dikategorikan sebagai pendidikan kelas ketiga oleh masyarakat tempatan. Ibu bapa khususnya, menegah anak-anak melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan kesenian. Pelajar sekolah menengah yang kurang pintar ilmu Sains pula, ‘dicampak’ ke kelas-kelas seni yang disifatkan sebagai ‘tiada masa depan’.

Lazimnya pelajar aliran seni digambarkan sebagai budak nakal yang prestasi pelajarannya mendukacitakan dan mengecewakan ibu bapa.

Mentaliti itu membuatkan ramai pelajar terperangkap antara minat dan keinginan keluarga. Bakat seni yang mengalir dalam diri disembunyikan, memaksa mereka bekerja keras mencatat kecemerlangan akademik dalam subjek seperti Matematik, Biologi atau Perakaunan yang sebenarnya tidak diminati.

Stigma seni itu tidak mampu menyara hidup, atau memberi kekayaan, dan ibarat memusnahkan impian ibu bapa bagi menyaksikan anak-anak bergelar doktor, akauntan, jurutera, peguam dan kerjaya lain bertaraf profesional.

Bagaimanapun, peralihan generasi telah meruntuhkan tembok pemikiran itu. Ibu bapa masa kini lebih terbuka dengan bidang seni. Malah, semakin banyak kolej, institusi pengajian awam dan swasta menawarkan kursus aliran seni kepada bakal siswazah.

Mohamad Ikhsan Kamarudin, 33, antara penggiat seni tempatan yang merentasi perubahan tersebut. Penggerak karikatur digital di bawah nama Artortoise itu menyedari terdapat perubahan tanggapan daripada masyarakat, khususnya dalam kelompok kelilingnya.

“Jika dulu, ramai yang meragui hala tuju kerja kami. Namun, sekarang ada yang menunjukkan minat dan mahu mengikut jejak langkah. Kata orang dulu, melukis tak ada masa depan, tetapi kini berubah menjadi satu kerjaya yang membanggakan,” Mohamad Ikhsan melentur pendapat.

Begitupun, mengubah persepsi masyarakat terhadap kerjaya seni belum memadai untuk meyakinkan mereka tentang kualiti hasil kerja pelukis tempatan.

Mohamad Ikhsan mengakui, masih ramai yang merendah-rendahkan karya seni lokal. Tambahnya: “Ada teguran yang membina, ada juga komen negatif yang keterlaluan. Apa yang baik kami terima, yang tidak baik pula kami balas dengan senyuman dan diamkan sahaja.”

Dengan latar pendidikan yang jauh tersasar, Mohamad Ikhsan menyedari bakat melukisnya sejak kecil. Graduan Diploma Mekanikal (reka bentuk) Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) itu mempelajari ilmu melukis daripada tunjuk ajar pelukis berpengalaman dan rujukan di internet.

“Kami belajar daripada kisah Sang Kura-Kura dan Arnab, maka jadilah kami seperti kura-kura,” perbandingan jujur Mohamad Ikhsan apabila merujuk kepada permulaan Artortoise.

Diterajui bersama adiknya, Mohd. Ikhwan Kamarudin, 27, Artortoise ditubuhkan pada tahun 2009. Sebelum itu, Mohamad Ikhsan terlebih dulu aktif melukis bersama rakan-rakannya di bawah kumpulan Korakora ART.

Sejak itu, mereka sering menjayakan pelbagai acara dengan menghasilkan karikatur secara langsung (live). Hampir seluruh Semenanjung Malaysia pernah mereka tujui.

Ramai pelanggan mereka sering bertanya maksud korakora sehingga ada yang terkeliru dengan kura-kura. Kora (sebutan ko-gha) bererti conteng dan dipinjam daripada dialek Kelantan.

“Berdasarkan itu, tercetusnya nama artortoise yang menggabungkan perkataan Inggeris, art dan tortoise.

“Saya masih bersama Korakora ART, cuma lebih aktif menguruskan Artortoise. Fokus Korakora ART adalah terhadap karikatur manual, dilukis di atas kertas, manakala Artortoise tertumpu kepada karikatur digital,” jelas Mohamad Ikhsan yang menjadikan melukis sebagai kerjaya sampingan.

Mesej

Kebanyakan karya Artortoise di media sosial dicondongkan terhadap isu sosial semasa. Topik perbualan masyarakat dan kisah yang tular dijadikan teras bagi menghasilkan karikatur digital. Tujuannya adalah bagi menarik perhatian masyarakat kepada hasil kerja mereka, sekali gus meningkatkan reputasi Artortoise.

Begitupun, Artortoise tidak akan menghasilkan karya yang mengandungi mesej bersifat provokasi yang menyentuh sensitiviti pihak tertentu serta isu politik. Karikatur mereka juga bersifat pesanan atau pandangan yang penting untuk dibincangkan dalam konteks sosial.

Signatur Artortoise pula dapat dilihat pada setiap karikatur yang dilukis tanpa hidung. Stail lukisan mereka juga lebih kepada gaya lokal dengan cantuman karya Barat dan manga/anime.

Karya bersifat perpaduan termasuklah semangat kesukanan antara yang menjulang nama Artortoise. Kerja keras mereka berbaloi apabila didekati pengurusan pasukan bola sepak The Red Warriors (TRW) bagi menghasilkan komik terbitan khas berjudul Wira.

Kerjasama tersebut bermula dari tahun 2013 sehingga 2015. Sejak ditubuhkan juga, Artortoise telah menerima kerja-kerja menghasilkan ilustrasi untuk buku teks, novel dan majalah.

Karikatur digital merupakan khidmat utama yang disediakan Artortoise, selain tempahan ilustrasi, komik atau grafik. Mereka juga terbuka terhadap jemputan melukis karikatur digital secara langsung.

“Impian kami adalah untuk mengeluarkan produk sendiri seperti penerbitan komik dan barangan cenderahati. Sebelum ini pun, kami pernah mengeluarkan baju-T dan button badge, cuma mahu ia dihasilkan dengan lebih serius di masa akan datang.

“Cita-cita kami juga semestinya mahu membawa hasil kerja dan gaya karikatur digital Artortoise ke peringkat antarabangsa,” Mohamad Ikhsan memasang harapan.

Menjadikan Dato’Lat, Hassan Mutalib, Stan Lee, Masashi Kishimoto (Naruto) dan Akira Toriyama sebagai idola dan rujukan, menerusi Artortoise, dua pemuda itu juga berharap dapat membuka mata masyarakat yang masih memandang rendah nilai mutu karya tempatan yang sebenarnya memiliki potensi setanding karya luar negara.

Info:
Instagram: @artortoise
WhatsApp: 019 – 309 1617

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini