SEJAK diperkenalkan enam tahun lalu, Night of Fright (NOF) menjadi acara tahunan taman tema Sunway Lagoon. Penganjurannya dinanti-nantikan orang ramai. Menjelang bulan Oktober, bersempena sambutan Halloween pada 31 Oktober, Sunway Lagoon dibanjiri ribuan orang pada waktu malam.

Tahun ini tidak terkecuali. NOF kembali untuk edisi keenam. Pintunya dibuka kepada umum pada 28 September lalu. Selama sebulan ia menjadi bualan ramai yang sukakan hiburan seram. Kepada yang belum berkesempatan ke NOF6, peluang anda masih terbuka. Masih berbaki satu hari lagi untuk mencabar keberanian anda.

Hari terakhir NOF6 bakal diadakan pada 31 Oktober ini. Kemungkinan ia akan menjadi hari paling seram NOF6 memandangkan ia jatuh pada hari Halloween.

Apa yang akan anda rasai di NOF6? Pepatung senaraikan kesemua 8 rumah hantu yang pasti membuatkan anda menjerit sehingga hilang suara.

1) Ghostbuster Halloween in New York

Menjadi rumah hantu signatur sejak tiga tahun lalu. Dikhabarkan NOF6 merupakan edisi terakhir Ghostbuster. Jadi jangan terlepas peluang untuk memasuki rumah hantu ini. Di sini akan merentasi dua jambatan berlatarbelakangkan visual yang akan membuatkan anda pening sehingga terasa seperti hendak terjatuh.

Sejujurnya Ghostbuster kurang elemen seram dari segi kejutan hantu. Solekan dan pakaian hantu-hantu yang berkeliaran di dalamnya juga agak moden. Mudah dirangkumkan ia adalah representasi jembalang orang kulit putih (berbangsa Inggeris).

Namun ia masih menghiburkan kerana terdiri daripada hantu pelbagai jenis. Anda akan dihampiri hantu pengemis yang lesap tiba-tiba. Hati-hati, dia akan muncul di sudut lain tanpa anda sedari.

2) Horrorwood Studios

Siapa yang pernah ke NOF edisi sebelum ini semestinya dapat meneka apa yang terdapat di dalam rumah hantu ini. Tidak banyak berubah daripada tahun-tahun sebelumnya. Anda akan menelusuri lorong panjang dengan patung-patung lilin karakter filem seram ternama Hollywood.

Freddy Krueger, Michael Myers, Chucky dan Jason antara yang akan menyambut kunjungan anda ke sini. Dalam suram cahaya merah malap, perjalanan di sini singkat tetapi mencemaskan. Terutamanya jika anda pernah menonton kesemua francais filem seram karakter-karakter tersebut.

Patung-patung di situ bagaikan bernyawa. Dan memang ada yang bernyawa dan mengekori anda secara senyap.

3) Zombie Zoo

Di penghujung Horrorwood Studios, anda akan tiba di sebuah pintu masuk menuju ke Zombie Zoo. Ini adalah tarikan signatur NOF setiap tahun. Untuk mereka yang takut kepada zombi, jangan cuba untuk lari!

Zombi-zombi berlegar-legar di dalam pagar yang menjadi pemisah laluan. Begitupun, tangan-tangan mereka akan melambai-lambai di luar pagar cuba untuk menggapai anda (kesemua hantu di NOF6 tidak dibenarkan memegang pengunjung).

Elemen seram di sini adalah mainan lampu strob putih yang berkelip-kelip. Kelibat zombi menjadi lebih dramatik dengan adanya efek tersebut. Zombi yang tadinya jauh di depan, sekelip mata berada di sebelah anda.

Walaupun zombi-zombi berada di dalam pagar, anda masih berasa tidak selamat dan seolah-olah ada zombi yang mengejar di belakang. Rumah hantu ini akan membuatkan anda paranoid!

4) Ghost Face – The Face To Make You Scream! Alive! In UV3D

Satu lagi rumah hantu yang diadaptasi daripada francais filem seram Hollywood. Karakter Ghostface daripada filem Scream merupakan kostum klise setiap kali menjelang Halloween. Ia dihidupkan di NOF6 dengan cara berbeza.

Ghostface terkenal sebagai pembunuh bersiri bertopeng dan berjubah hitam yang mengejar mangsanya dengan pisau. Boleh hilang tiba-tiba dan muncul juga secara tiba-tiba.

NOF6 tidak bermain dengan identiti ikonik sebegitu. Sebaliknya menampilkan ribuan wajah Ghostface dalam bentuk visual yang memerlukan pengunjung memakai kaca mata UV3D. Di sepanjang perjalanan, pengunjung akan dikelilingi Ghostface yang tidak diketahui sama ada kesemuanya hidup atau sekadar patung. Beberapa kali pengunjung akan dikejutkan dengan Ghostface sebenar yang berada betul-betul di depan muka.

5) Wendigo – The Legend in the Mist

Satu-satunya rumah hantu outdoor di NOF6. Kawasan gua mini yang terkenal di Sunway Lagoon menjadi kediaman Wendigo, sejenis makhluk mistik kanibal. Di sini anda akan berjalan sambil memegang tali. Kawasan ini dipenuhi dengan asap sehingga sukar untuk anda menjangkakan apa yang berada di kiri, kanan, depan dan belakang anda. Makhluk di sini berbeza dengan rumah hantu lain kerana ia tidak teragak-agak untuk mengejar anda.

6) Scary Tales Presented by Hellfest

Satu-satunya tarikan berbentuk teater di sini. Ia bukan rumah hantu biasa. Beberapa bangku disusun menghadap sebuah skrin. anda akan dipertontonkan dengan cerita seram pendek berkisar legenda seram tempatan; pontianak, toyol dan orang minyak. Hantu itu bukan sahaja di dalam skrin, tetapi berkeliaran di sekeliling anda.

Siapa yang duduk di tepi pintu bakal menerima kejutan daripada jembalang tidak diundang. Perhatikan juga tingkap di tingkat 2. Kelibat pocong akan kelihatan memandang tepat ke wajah anda. Sesekali ia melompat berubah jendela dan menundukkan kepala menjenguk anda yang duduk di bawah.

Orang minyak pula akan keluar belari-lari mengacau anda di tempat duduk. Hati-hati dengan kaki anda kerana ada yang merangkak di lantai.

7) Phobia – Coulrophobia The Fear of Clowns

Individu yang fobia kepada badut mungkin tidak mahu memasuki rumah hantu ini. Solekan wajah dan kostum berwarna-warni badut bagaikan mimpi ngeri untuk golongan coulrophobia.

Badut yang suka berjenaka dan menghiburkan kanak-kanak digambarkan sebagai psiko dan pembunuh. Meremang bulu roma saat pintu Phobia diketuk, dan dibuka oleh badut yang mengilai tawa bagaikan pesakit mental.

Badut-badut di sini memainkan peranan sebagai penggugat emosi manusia. Ada yang duduk berbuai di satu sudut sambil menyanyi. Ada pula yang berdiri tunduk memandang lantai dan memandang tepat ke wajah anda secara tiba-tiba.

Saat paling mendebarkan apabila terpaksa melalui sebuah bilik yang didiami beberapa badut. Ada juga yang mengekori anda dari belakang. Jadi kepada yang takutkan badut, jangan duduk belakang!

8) Slaughterhouse 13

Tidak keterlaluan untuk menamakan Slaughterhouse 13 sebagai rumah hantu terbaik NOF6. Bukan hantu yang menghidupkan keseraman. Sebaliknya cara ia dipersembahkan dalam bentuk yang begitu tragik. Di sini anda akan menyaksikan upacara ngeri pembunuhan. Mayat-mayat bergelimpangan dengan percikan darah memenuhi dinding dan lantai.

Peringatan kepada yang di depan sekali, melangkahlah dengan perlahan dan berhenti seketika apabila tiba di sebuah ruangan. Anda akan bertemu seorang lelaki dengan mayat di lantai berdiri di tengah berlumuran darah. Dia akan memandang tepat ke arah anda. Jangan patah balik!

 

Lampu strob berkelip-kelip ketika anda melangkah masuk ke ruangan ini. Membuatkan pandangan kabur dan perasaan cemas. Di rumah hantu ini anda akan bertemu lelaki dengan gergaji yang bersedia untuk ‘menyerang’ anda.

Datang awal

Bagi mereka yang merancang untuk ke NOF6, disarankan untuk datang awal. Pintu akan dibuka seawal 7.30 malam. Tempoh selama 4 jam sebenarnya tidak mencukupi untuk anda memasuki kesemua lapan rumah hantu. Jika mempunyai wang lebih, beli tiket ekspres kerana anda dapat memintas barisan panjang dengan giliran lebih cepat.

Bagaimanapun sekiranya anda pemegang tiket normal, beraturlah di rumah hantu yang anda betul-betul ingin pergi terlebih dahulu. Pastikan juga anda telah mengalas perut sedikit sebelum ke NOF6 kerana banyak tenaga yang akan digunakan untuk menjerit dan keletihan kerana terperanjat.

Rasai peluang terakhir NOF6 pada malam Halloween, 31 Oktober 2018 di Sunway Lagoon!

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini