Rentasan budaya Mark O’Dea

0
3

MAT Salleh yang pernah mengendalikan program 8TV Quickie (Quickie) ini mencuri hati ramai wanita Melayu. Namanya Mark O’Dea, berumur 24 tahun dan berasal dari Kent, England.

m3-copy-jpg-cFOTO: SHAKER HANAFI (@shakerhanafi) | SOLEKAN: RAZZI MUSA (@razzimusa)

Kelananya ke Kuala Lumpur adalah sebuah ketentuan yang tidak dirancang. Peranannya sebagai vokalis dalam band, London Boys telah membawa O’Dea ke bumi Malaysia. Usai menjayakan beberapa siri persembahan di sini, dia dipelawa untuk menghadiri uji bakat sebagai pengacara Quickie.

“Saya berjaya mendapatkan pekerjaan itu dan nekad untuk menetap di Kuala Lumpur. Keluarga saya di England memberikan sokongan penuh kerana ia peluang yang hanya datang sekali dalam seumur hidup,” imbas O’Dea yang ketika itu berumur 21 tahun.

Tiga tahun bersama Quickie, sehinggalah program itu melabuhkan tirai, karier pengacaraan O’Dea juga berkembang sepanjang tempoh tersebut. Kini, dia turut bertindak selaku pengacara bersama untuk sebuah program khas, Wishlist, yang bersiaran di Astro Supersport.

m1-copy-jpg-c

“Pembabitan awal saya sebagai pengacara TV sememangnya mencabar. Quickie terutamanya, bersiaran secara langsung, sekali gus menambah gemuruh dalam diri dan memberi tekanan agar tidak melakukan kesilapan. Lama-kelamaan rasa gugup itu hilang dan saya mula berasa selesa,” tambah O’Dea, anak kedua daripada lima adik-beradik.

O’Dea juga kembali aktif mengendalikan saluran YouTube miliknya yang banyak mengetengahkan topik berkisar kehidupan dan pembelajaran adat serta budaya Malaysia.

Jejaka berdarah Ireland ini turut ditemani adik perempuannya yang bekerja di Cyberjaya sejak dua tahun lalu.

Aktif

Bercerita tentang disiplin kecergasan, O’Dea tidak ragu-ragu menggelar diri sebagai individu aktif. Aktiviti kecergasan adalah rejim harian kepadanya. Dia amat mementingkan kesihatan tubuh yang diraih daripada senaman dan pemakanan sihat.

m6-copy-jpg-c

Sama ada bersenam di gim untuk 30 hingga 45 minit sehari dengan kekerapan tiga atau empat kali seminggu, O’Dea juga akan berfutsal dua kali seminggu bersama rakan-rakannya. Kadangkala, dia akan bermain tenis atau berenang bagi mempelbagaikan aktiviti kecergasannya.

“Tiada alasan untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Terdapat banyak alternatif kecergasan yang boleh diamalkan mengikut cita rasa masing-masing. Pilih aktiviti yang membuatkan kita berasa seronok dan selesa ketika melakukannya.

“Secara automatik, ia akan bertukar menjadi kebiasaan. Sesibuk manapun, kesihatan dan kecergasan diri mesti dijaga!” Tegas O’Dea.

Tidak menggemari nasi, sebaliknya O’Dea memilih telur dan ayam sebagai menu wajib harian. Paling penting, makanan tersebut mestilah disediakan secara sihat dan tidak bergoreng.

m5-copy-jpg-c

“Mungkin ramai yang berpendapat, kebebasan untuk makan apa sahaja itu membahagiakan. Benar! Namun, ia memerlukan kawalan. Kelak bila badan naik, mulalah kita menyalahkan diri. Sedangkan pilihan ada di tangan kita untuk mengawal nafsu.

“Tidak dinafikan Malaysia kaya dengan makanan yang enak dan ia menggugat nafsu masyarakat di sini. Bagaimanapun untuk sihat, dugaan sedemikian mesti diatasi,” sambung O’Dea.

Bagaimanapun, dia turut tewas ketika musim perayaan, terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri. Keenakan rendang daging dan kuih tat, menggoda seleranya sehingga sukar untuk menolak.

Maka pada hari tersebut, O’Dea membenarkan dirinya untuk menikmati segala juadah yang membangkitkan selera tekaknya kerana perayaan merupakan keraian yang menggembirakan.

Keharmonian Malaysia

Membentuk kemesraan dengan penduduk Malaysia tidak sukar bagi O’Dea. Meskipun masih mengadaptasi kehidupan di sini, dia tetap bersyukur kerana dapat mengumpul pengalaman berharga di negara ini.

m7-copy-jpg-c

Perbezaan budaya yang dirasakan tidak begitu memberikan impak kepadanya. Baginya, Malaysia begitu istimewa kerana masyarakatnya yang berbeza bangsa, agama dan kepercayaan boleh bergaul dengan begitu mesra dalam menjalani urusan harian.

“Ia adalah satu kelebihan yang sebenarnya tidak dipunyai negara lain dan masyarakat di sini perlu menghargai nilai kesepakatan tersebut.

“Mungkin England maju dari segi infrastruktur, tetapi penduduknya masih berlaku tidak adil kepada segelintir masyarakat. Rakyat Malaysia lebih bertoleransi berbanding di England,” begitu pemerhatian O’Dea yang boleh diikuti menerusi instagram @markodea8.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini