Rejim peribadi si tampan Godfrey Gao

0
60

TINGGI lampai orangnya mencecah 195 sentimeter. Wajah Asianya pula menguatkan pesona maskulin kepada lelaki berusia 31 tahun ini. Godfrey Gao barangkali masih asing dalam radar komersial Asia. Namun, di pentas antarabangsa, Godfrey pernah muncul dalam sebuah filem Hollywood, The Mortal Instruments: City of Bones pada tahun 2013. Memegang antara teraju utama sebagai Magnus Bane dalam naskhah tersebut, karier lakonan Godfrey terus mewangi selepas berhijrah kembali ke negara kelahirannya, Taiwan.

8-godfrey

Anak bongsu daripada tiga adik-beradik hasil daripada perkahwinan campuran di antara lelaki Taiwan dan wanita Peranakan Pulau Pinang, Malaysia ini juga pernah mencipta sejarah dalam dunia peragaan. Godfrey menjadi pemecah benteng 157 tahun Louis Vuitton (LV) yang sebelum itu tidak pernah menggunakan khidmat model Asia sebagai wajah kempennya. Pencapaian itu dapat dilihat menerusi kempen koleksi sedia pakai LV untuk musim bunga/panas 2011.

7-godfrey

Kini, Godfrey terus melangkah ke hadapan. Sebagai duta rasmi jenama kecantikan prolifik antarabangsa, SK-II Men, baru-baru ini Godfrey sempat meluangkan masa duduk berbual bersama beberapa media dalam satu sesi temu bual eksklusif di One World Hotel, Petaling Jaya (PJ), Selangor. Kehadiran Godfey ke Malaysia juga adalah bertujuan menjayakan perasmian SK-II #ChangeDestiny Museum yang dibuka kepada umum sehingga 11 Januari lalu di pusat beli-belah 1Utama, PJ.

Ikuti wawancara Pepatung dan beberapa media lain bersama Godfrey di bawah:

Media: Boleh kongsikan rejim kecantikan anda?
Godfrey: Rutin harian penjagaan wajah saya laksanakan dua atau tiga kali sehari. Waktu paling penting bagi merawat wajah adalah ketika bangun pagi dan sebelum tidur pada waktu malam. Setiap kali saya bangun pagi, saya akan mandi dan menyegarkan wajah menggunakan pencuci muka SK-II Men Moisturizing Cleanser. Kemudian saya aplikasikan SK-II Men Facial Treatment Essence bagi mengimbangkan kondisi kulit sepanjang hari. Seterusnya saya oleskan pelembap (moisturizer) pada wajah.

Ketiga-tiga langkah itu merupakan rejim harian saya. Kadang-kadang saya menggunakan SK-II Men Brightening Serum agar wajah tampak lebih berseri dan menyerlah ketika bertemu klien atau rakan sekerja apabila berada di set penggambaran atau sesi fotografi. Apabila pulang ke rumah, saya akan mencuci muka dan ia telah menjadi satu kebiasaan memandangkan terdapat banyak kekotoran melekat pada wajah selepas seharian berada di luar rumah.

Jika ada masa, saya akan pakai SK-II Mask dan saya tahu rejim ini paling sukar untuk dilakukan golongan lelaki. Namun, apabila saya menjalani penggambaran selama dua hingga tiga bulan, kesihatan kulit saya akan terjejas akibat solekan dan kurang waktu rehat. Justeru, mask tersebut banyak membantu mengoptimumkan kembali tahap kulit saya ke tahap 100 peratus.

Media: Langkah terpenting dalam rejim kecantikan harian anda?
Godfrey: Mencuci muka adalah langkah terpenting. Jika wajah anda tidak bersih dan segar, ia tidak akan bertindak balas secara efektif dengan apapun produk yang anda gunakan. Misalnya anda memiliki toner atau esen rawatan berkualiti tinggi dan anda aplikasikannya pada wajah kotor, semestinya ia tidak akan memberi kesan yang sewajarnya.

Media: Pendapat anda tentang perbezaan atau persamaan tentang pendekatan penjagaan kulit di antara Asia dan Barat?
Godfrey: Tidak dinafikan, wujud penekanan memberangsangkan terhadap produk penjagaan kulit dan rejim kecantikan di Asia. Namun, apa yang saya perasan adalah kesedaran penjagaan peribadi dalam kalangan lelaki lebih popular di Amerika Utara berbanding Asia.

Bagaimanapun, perubahan terbesar yang dapat dilihat sekarang adalah lelaki Asia kini mula menunjukkan progresif terhadap kepentingan menjaga kulit, berpakaian dan menggayakan rambut. Kesedaran itu telah bertapak di Eropah dan Amerika, tetapi Asia masih berada di peringkat pertumbuhan dan ia amat menggembirakan saya.

Media: Bagaimana anda memastikan tahap kesihatan kulit dan apakah produk yang mesti ada dalam simpanan anda?
Godfrey: Rejim kecantikan saya sentiasa sama dan itu yang membantu mengekalkan kondisi kulit saya. Malah, perubahan itu saya sedari sejak saya menggunakan rangkaian produk SK-II Men terutama Facial Treatment Essence. Jadi anda mesti meneruskan rutin penjagaan peribadi dan kulit anda pasti berada dalam keadaan baik.

5-godfrey

Media: Pada pendapat anda, sejauh manakah keseimbangan diet dan senaman membantu anda kelihatan segak dan berketerampilan?
Godfrey: Benar kedua-duanya saling memerlukan. Rupa paras yang kacak dan personaliti menyenangkan sahaja tidak mencukupi jika berat badan anda berlebihan serta tidak mengamalkan senaman. Sekiranya anda serius hendak menjaga diri, anda perlu memberi penekanan kepada keseluruhan pakej.

Makan dan bersenam dengan betul serta jaga kulit anda, ia pasti akan memberikan hasil memuaskan. Saya cadangkan agar ambil sarapan pada waktu yang betul, walaupun kadang-kadang saya juga malas dan bangun lewat sekitar pukul 11 pagi atau 12 tengahari, brunches (sarapan dan makan tengah hari) mesti diambil.

Sarapan membantu anda bertahan sepanjang hari diikuti dengan amaun makanan tengah hari yang berat. Sentiasa ambil makan malam yang ringan dan makan sebelum pukul 9 malam. Secara peribadi, saya tidak hanya mengutamakan pemakanan dan nutrisi yang seimbang, senaman juga memainkan peranan penting.

Media: Pendapat anda tentang proses penuaan dalam kalangan lelaki?
Godfrey: Pada pandangan saya, lelaki lebih bimbang tentang rambut mereka kerana lelaki masa kini semakin celik tentang produk kecantikan. Saya sendiri, sejak 10 tahun lalu mula menyedari kepentingan penjagaan kulit. Mungkin dulu lelaki malas peduli kerana beranggapan kulit akan kurang berkedut dan mampu melambatkan penuaan jika kita makan dan bersenam dengan betul dengan produk kecantikan sebagai satu alternatif sampingan.

Bagaimanapun, kini lelaki sedar bahawa jika anda tidak memulakan penjagaan kulit lebih awal, kedutan dan keupayaan tubuh akan lebih terjejas ekoran pertambahan usia. Sejak mencecah umur 30 tahun, saya mula merasai perubahan dalam tubuh. Kalau dulu saya mampu bermain bola keranjang selama berjam-jam, sekarang saya hanya boleh bertahan untuk dua pusingan. Selepas itu saya perlu berehat dan melakukan regangan selama 30 minit sebelum memulakan pusingan baharu.

Justeru adalah penting untuk anda memulakan penjagaan peribadi dari awal dengan memilih produk yang betul. Kelak anda pasti akan baik-baik sahaja apabila menjelang 30 tahun.

Media: Adakah anda meletakkan sebarang had dalam rejim kecantikan anda?
Godfrey: Saya pernah memakai maskara, penggaris dan pembayang mata, semuanya untuk menjayakan pelbagai watak dalam lakonan atau sesi fotografi. Mask dan spa juga antara rejim kecantikan yang pernah saya lakukan. Jadi, sejujurnya bagi saya tiada had untuk lelaki dalam dunia kecantikan. Lelaki juga sama seperti wanita dan ia terpulang kepada individu sama ada mahu percaya atau tidak.

Namun, mungkin saya tidak sampai ke tahap meletakkan hirisan timun di atas mata atau memakai mask lumpur (mud), tetapi sebenarnya mask lumpur pun saya pernah cuba. Cuma hirisan timun itu tidak sama sekali.

Media: Cita rasa fesyen peribadi dan gaya harian anda?
Godfrey: Saya seorang lelaki kasual, memadai dengan jean, sweater dan baju-T. Adakalanya saya gemar bermain dengan warna-warna terang dan melakukan suai padan. Namun, gaya kasual tetap menjadi keutamaan memadangkan ia telah menjadi kebiasaan saya sejak di bangku sekolah menengah.

2-godfrey

Media: Bagaimana anda menikmati eskapisme diri?
Godfrey: Kadang-kadang bila berada di set penggambaran untuk tempoh dua atau tiga bulan, dikelilingi produser, rakan pelakon dan pengarah, secara automatik akan wujud tekanan. Jadi setiap kali tamat penggambaran, saya akan pergi bercuti walaupun ia satu eskapisme segera dengan berkunjung ke pantai atau pulau tropika bersama-sama keluarga dan rakan-rakan bagi menikmati alam semula jadi.

Ketika inilah saya dapat melapangkan minda, bebas daripada sebarang kekusutan. Selain berenang, saya juga gemar melakukan aktiviti air dan ia merupakan cara bagi saya melupakan masalah lain serta bergembira.

Media: Apakah impresi pertama yang baik?
Godfrey: Impresi pertama sudah tentu banyak dipengaruhi kondisi kulit anda. Percaya atau tidak, jika anda tidak berpenampilan dengan baik (berpakaian dan kondisi kulit), ia mencerminkan bahawa anda bukan seorang yang menitikberatkan soal penjagaan peribadi. Apabila kulit anda agak teruk, ia akan menjejaskan tahap keyakinan anda berhadapan dengan orang.

Saya bertemu ramai lelaki yang amat tidak menggemari jerawat dan kecelaan pada kulit kerana ia mengganggu keyakinan mereka apabila bertemu wanita idaman masing-masing.

Media: Gambarkan wanita idaman anda?
Godfrey: Untuk menyukai seseorang wanita, terlebih dahulu saya mesti benar-benar menyenangi personaliti individu tersebut. Keserasian adalah elemen terpenting dalam perhubungan dan jika wujudnya keserasian, saya dapat merasainya dengan cepat. Saya pernah melaluinya sebelum ini, cuma disebabkan jadual kerja yang menuntut saya terbang ke sana sini untuk tempoh beberapa bulan, sukar bagi saya untuk mengekalkan sesebuah perhubungan.

Ia membuatkan saya berasa bersalah kerana tidak dapat meluangkan waktu dengan kerap dengan individu tersebut. Bagaimanapun, saya percaya bahawa keserasian adalah kunci bagi mendapatkan pasangan idaman. Suatu hari nanti saya juga mahu berkeluarga.

Media: Menyentuh soal karier, apakah projek terbaharu anda?
Godfrey: Tidak lama lagi saya akan menjalani penggambaran untuk sebuah filem bergenre pahlawan purba Cina. Saya akan memegang peranan sebagai salah seorang pahlawan tersebut. Jadi, sebagai persediaan saya telah menjalani latihan menunggang kuda sejak beberapa minggu lalu memandangkan terdapat banyak babak menuntut saya beraksi di atas kuda.

Media: Resolusi 2015 anda?
Gofrey: Saya berharap untuk memperbanyakkan penglibatan dalam filem aksi berbanding filem bertema cinta atau romantik komedi. Sasaran saya tahun ini juga tentunya untuk mendapat lebih banyak peluang bekerja bersama produksi Hollywood. Harapan saya adalah untuk mencipta nama sebagai bintang Asia baharu di Hollywood dan ia satu sasaran yang perlu saya fokuskan tahun ini.

Media: Pandangan anda tentang Malaysia?
Godfrey: Sudah tentu saya suka datang ke Malaysia sebab ibu saya berasal dari sini. Malah, saya meluangkan masa selama sebulan di sini ketika sambutan Tahun Baru Cina tahun lalu. Jika ada kelapangan saya tahun ini, saya bercadang untuk tinggal lebih lama.

Media: Sajian Malaysia kegemaran anda?
Godfrey: Saya menggemari hampir semua makanan Malaysia. Daripada ais kacang, kari sehinggalah kuetiau, semuanya saya suka. Namun saya tidak menggemari durian dan baunya sangat tidak menyenangkan.

Foto kredit: gopixpic/shadowhunters

KONGSI
Artikel sebelumnyaMagis muzikal Into The Woods
Artikel seterusnyaDramatik AJL29
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini