Perbuatan Jengkel Yang Dilakukan Secara Digital

0
19

SETIAP individu pasti memiliki telefon pintar atau tablet yang dikuasakan dengan sambungan internet. Selain itu, gajet yang ada pada masa kini begitu lengkap dengan ciri-ciri menarik sehingga ia menjadi salah satu keperluan wajib bagi setiap orang.

Walaupun teknologi semakin berkembang, masih terdapat sebilangan pengguna yang kerap melakukan perkara-perkara yang menjengkelkan secara digital. Lebih memburukkan keadaan, perkara tersebut terpaksa disaksikan oleh puluhan mahupun ratusan pengikut mereka. Bagaimanakah mahu mengenal individu seperti ini? Izwan Mohd. Isa ada jawapannya.

1. Pencabul fungsi hashtag
Kewujudan hashtag adalah bagi menyenangkan pengguna mencari kandungan digital secara pukal. Sebagai contoh, apabila kita klik #todayimwearing, sejumlah post yang diletakkan hashtag tersebut dari platform Instagram mahupun Twitter akan muncul mengikut susunan masa. Jika fungsi tersebut disalah guna – #hariyangpanasaakuhaus, #sukahatiakunakpakaiapa – ia bukan sahaja menyemakkan pandangan mata, malah tiada sebarang pencarian dapat dilakukan menerusi post yang dimuat naik oleh anda.

2. Ratu Selfie
Sering menghabiskan masa mengambil selfie, individu ini biasanya akan memuat naik gambar-gambar yang diambil sendiri mengikut lokasi atau majlis yang dihadiri. Walaupun cara pose sama, namun, golongan ini tidak akan jemu untuk memuat naik gambar tersebut di Instagram. Bukan tidak boleh memuat naik selfie, tetapi rakan-rakan anda pasti jemu apabila melihat wajah anda setiap kali mereka scroll timeline Instagram.

3. Perahsia
Kita sering melihat sesetengah pengguna Facebook atau Instagram memuat naik status atau gambar yang berbaur misteri. Contohnya: Memuat naik imej cincin. Apabila ada yang bertanya, jawapan yang dibalas samada ‘rahsia’, ‘wait and see babe…’ atau soalan itu dibiarkan tanpa balasan. Platform media sosial digunakan untuk berkongsi. Lebih baik tidak menghebahkan sesuatu jika anda tidak mahu orang lain tahu… atau terasa.

4. Pemberitahu
Sebaliknya, ada sesetengah individu gemar berkongsi perkara-perkara yang sepatutnya tidak dikongsi bersama. Sebagai contoh, perselisihan sesama keluarga lebih baik diselesaikan secara peribadi tanpa membabitkan muat naik status atau tohmahan sesama sendiri.

5. Like secara pukal
Entah dari mana, akan ada seseorang menekan butang like secara pukal di akaun Instagram anda sehinggakan anda menerima 20 notifikasi daripada orang yang sama. Kadangkala, ia boleh menjadi perkara yang menakutkan.

6. Penjemput tegar
Bermain permainan di telefon bimbit kadangkala menyeronokkan. Namun, tidak semua gemar bermain Candy Crush mahupun Hay Day. Jadi, berhentilah daripada menghantar invite kepada rakan-rakan Facebook anda yang lain. Anda juga pasti jemu jika disuakan dengan perkara yang sama berulang kali bukan?

7. Hanya ucap Happy Birthday
Pasti anda mempunyai rakan di Facebook yang hanya akan berinteraksi pada hari lahir anda sahaja. Itupun jika anda membenarkan mereka melihat tarikh hari lahir anda. Ucapan paling menjengkelkan? HB.

Kredit gambar: Getty images

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini