Menyingkap tiga mitos popular Krismas

0
117

HARI Krismas (Natal) yang disambut meriah penganut agama Kristian kini menjadi antara perayaan terbesar di seluruh dunia. Menjelang sambutan 25 Disember ini, dekorasi kediaman termasuk pusat beli-belah ditransformasi indah dengan pohon Krismas bersama gantungan loceng, bola berwarna-warni dan bintang berkilauan.

Tidak dinafikan, pokok Krismas dan Santa Klaus adalah simbol wajib kepada perayaan ini. Namun, tahukah anda dua perlambangan popular tersebut merupakan sebahagian daripada mitos tentang Krismas. Sempena hari Krismas selang beberapa hari lagi, Pepatung senaraikan tiga mitos popular berkenaan perayaan ini.

1) Pokok Krismas adalah tradisi lama: Tradisi paling popular setiap kali Krismas menjelang terutamanya di Amerika Syarikat (AS) adalah menghias pokok Krismas. Ia sebenarnya bukanlah tradisi lama dan hanya diperkenalkan di AS sekitar pertengahan abad ke-18, selepas imigran Jerman berhijrah ke negara itu.

2-krismas mitos

Populariti tradisi ini masih belum meluas selepas 100 tahun, malah mencetuskan kontroversi. Sekitar tahun 1880-an, New York Times melaporkan tentang pembantahan terhadap tradisi tersebut dan pada awal 1900-an, Presiden AS ketika itu, Teddy Roosevelt turut menyelar amalan penebangan pokok seperti fir, pain dan spruce sebagai pohon hiasan Krismas dengan alasan ia satu pembaziran kayu.

2) Ejaan ‘Xmas’ tidak menghormati agama: Pernah terfikir kenapa ejaan ‘Christmas‘ adakalanya dieja ‘Xmas‘? Mungkin ada yang berpendapat ia bertujuan untuk memudahkan sebutan dan ejaan. Ada pula merasakan ia sebagai satu mesej kurang sopan kerana menolak pangkal nama ‘Christ‘ kepada ‘X’ yang menjadi pegangan penganut Kristian.

3-krismas mitos

Namun sebenarnya ejaan Xmas tidak langsung menyinggung agama Kristian. Berdasarkan tamadun Yunani (Greek), perkataan ‘Christ‘ dieja sebagai ‘Χριστός‘. Abjad pertamanya, ‘X’ atau ‘chi‘ sering ditulis menggunakan ‘X’ dalam abjad rumi (Roman).

3) Santa Klaus adalah ikon Krismas asli: Sebelum adanya Santa Klaus, masyarakat Kristian di Eropah mengenali St. Nicholas. Beliau merupakan seorang biskop (bishop) dari Turki yang hidup pada abad keempat. Sepanjang hayatnya, beliau banyak bersedekah duit untuk diberikan kepada orang-orang miskin. Menurut cerita yang diperturunkan, caranya memberikan duit adalah dengan menyelitkan wang-wang tersebut di dalam stoking orang-orang miskin pada tengah malam.

Nicholas meninggal dunia pada 6 Disember dan tarikh kematiannya diangkat sebagai Hari St. Nicholas. Di beberapa tempat, ibu bapa akan meminta anak-anak mereka menggantungkan stoking atau kasut pada malam menjelangnya hari tersebut. Tujuannya adalah bagi membolehkan ‘St. Nick’ mengisi stoking atau kasut mereka dengan ganjaran berupa gula-gula, buah-buahan atau kekacang.

Memasuki abad ke-16, masyarakat Eropah semakin melupakan konsep sambutan Hari St. Nicholas. Bagi mengekalkan tradisi memberi hadiah, St. Nick diubah gelaran kepada Bapa Krismas. Gelaran baharu itu pertama kali disebut menerusi karya penulisan pada abad ke-15. Bapa Krismas disifatkan sebagai seorang lelaki yang sering mabuk dan kerap bersuka-ria pada musim perayaan.

tumblr_inline_mo14vxRK6C1qz4rgp

Bagaimanapun, di AS St. Nick dikenali sebagai Kris Kringle. Secara amnya, Bapa Krismas dan Kris Kringle membawa hadiah untuk diberikan pada hari Krismas (25 Disember), bukan pada 6 Disember. Apabila sebahagian orang Belanda berhijrah ke AS, mereka mula menyebarkan kisah St. Nicholas yang mereka gelarkan sebagai Sinterklaas.

Kemudian, Sinterklaas diberi nama Amerika menjadi Santa Claus. Menjelang abad ke-20, kesemua ikon lama tersebut (Bapa Krismas, Kris Kringle dan St. Nicholas) dikenali sebagai Santa Klaus. Penampilan Santa juga diseragamkan sebagai seorang lelaki tua buncit, berjanggut putih dan terbang bersama rusa salji membawa hadiah-hadiah untuk kanak-kanak di seluruh dunia.

Bagaimanapun, sambutan Hari St. Nicholas pada 6 Disember masih diteruskan di beberapa bahagian di Eropah.

Foto kredit: Permatangpauh2u/people.howstuffworks/gcnjustin

 

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini