Gaya Hidup

Mendengar muzik ketika bekerja beri impak negatif

By  | 

BERDASARKAN kajian yang dijalankan Spotify, majoriti orang mendengar muzik ketika bekerja. Hasil daripada pemerhatian tersebut, kebiasaan itu sebenarnya lebih banyak mendatangkan impak negatif berbanding positif.

Sains mendapati bahawa mendengar muzik berupaya meningkatkan kadar dopamin dalam otak seseorang. Justeru teori yang mengatakan bahawa prestasi kerja akan lebih baik ketika ia dilakukan sambil mendengar muzik ada kebenarannya. Emosi positif membantu pelaksanaan kerja lebih efisien. Bagaimanapun akal manusia mempunyai batasnya. Mendengar muzik terlalu kuat dan lagu dengan kandungan lirik yang rumit atau ritma berubah-ubah sebenarnya akan menurunkan prestasi.

Muzik terbaik yang dianggap terbaik ketika waktu bekerja secara teknikalnya bukanlah peningkat semangat seperti yang disangkakan. ‘Muzik’ terbaik bagi membantu meningkatkan prestasi kerja anda adalah daripada kategori bunyi-bunyian ambien (persekitaran) dan ia datangnya dari pelbagai lokasi.

Terdapat had tertentu terhadap kompleksiti muzik yang boleh dicerna otak manusia sebelum ia menjadi gangguan sehingga anda gagal menyempurnakan tugasan rumit. Bunyian berlebihan mengakibatkan otak anda tidak boleh memproses maklumat baharu. Sekiranya anda sedang melaksanakan tugas yang memerlukan pembelajaran atau menuntut penghasilan idea kreatif, lirik dalam lagu terutamanya akan menjadi penghalang terhadap fungsi pemprosesan normal otak.

Namun sedikit bunyian sememangnya dapat membantu kreativiti. Bunyian mengalihkan tumpuan otak secukupunya daripada paten normalnya, mendorong anda menjadi lebih kreatif dalam tugasan yang dikerjakan.

Kajian tersebut menjelaskan: “Daripada duduk di dalam sebuah bilik yang sunyi bagi mencari penyelesaian, adalah lebih baik bagi seseorang keluar dari zon selesanya dan pergi ke persekitaran dengan bunyi-bunyian praktikal. Cara ini akan melancarkan fungsi otak untuk berfikir sekali gus membantu kepada penjanaan idea terhadap solusi masalah.”

Alternatif terbaik di antara muzik dan suasana sunyi adalah bunyi persekitaran: bunyian yang boleh didengari ketika di kedai kopi, kafe atau dalam cuaca ribut petir dan hujan.

Bagaimanapun jika anda tidak boleh meninggalkan meja kerja, masih ada pilihan bunyi-bunyian seumpama itu yang boleh diperoleh di laman web seperti Noisli, A Soft Murmur dan Coffivity. Ia percuma malah terdapat aplikasi boleh dimuat turun untuk pendengaran anda ke mana sahaja anda pergi.

Justeru bukanlah bermakna anda perlu berhenti mendengar muzik ketika bekerja, cuma anda kena bijak memilih jenis muzik mengikut tahap kesukaran tugasan yang sedang dilakukan. Mendengar lagu Katy Perry mungkin membantu ketika menyemak e-mel, namun ia pasti kurang sesuai sekiranya anda melakukan kerja yang menuntut fokus. Bunyi percikan api barangkali lebih baik berbanding lagu Firework.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

1 Comment

  1. mrhanafi

    17 February 2015 at 11:35 PM

    dengar muzik ketika bekerja boleh meningkatkan mood..

    p/s:Entri terbaik blog saya : Tips Sangat Luar Biasa Untuk Berjaya

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *