Gaya Hidup

Lima tumpuan terbaik Pulau Perhentian

By  | 

SIAPA kata gugusan kepulauan di sekitar Semenanjung Malaysia tidak menarik? Jika berkunjung pada waktu yang tepat, anda pasti disajikan dengan panorama yang memukau pandangan mata. Pendek kata, setanding dengan Kepulauan Maldives!

Jadi, mengapa perlu berbelanja sakan untuk terbang ke luar negara sekiranya negara kita sendiri sudah cukup ranum dengan lokasi santai yang romantik seperti pantai dan pulau.

Sudah pasti antara kepulauan menarik yang terdapat di pesisir pantai Semenanjung Malaysia ialah Pulau Tioman (Pahang), Pulau Kapas, Pulau Redang & Pulau Perhentian (Terengganu), Pulau Langkawi (Kedah), Pulau Rawa (Johor) dan Pulau Pangkor (Perak).

Pepatung sempat berkunjung ke Pulau Perhentian di Terengganu menerusi pakej menarik yang disediakan oleh syarikat agensi pelancongan terkenal, Perhentian Trans baru-baru ini dan berikut disenaraikan lima tumpuan terbaik di sekitar Pulau Perhentian yang wajib pelancong kunjungi.

1) Perkampungan Nelayan

2-perhentian nelayan Foto: Pepatung

Terletak di Pulau Perhentian Kecil, perkampungan nelayan yang dahulunya pernah dikenali sebagai Kampung Pasir Hantu menempatkan komuniti kecil penduduk asal di sekitar pulau tersebut. Kemudahan seperti balai polis, balai bomba, sekolah, klinik desa dan perkhidmatan asasi lain turut disediakan di kawasan ini. Bagi mereka yang ingin mendekati dan merasai pengalaman menjadi anak pulau bolehlah melawati lokasi ini.

2) Kincir Angin D’Lagoon

4-perhentian kincir Foto: azamfr blogspot

Merupakan puncak tertinggi di Pulau Perhentian Kecil dan bakal menyajikan panorama laut dan langit yang luar biasa terutama pada waktu senja serta perspektif 360 darjah seluruh Pulau Perhentian. Jangan khuatir kerana laluan pejalan kaki disediakan kepada pelancong yang mahu mendaki ke puncak dari pesisir pantai Pulau Perhentian Kecil dan biasanya perjalanan akan mengambil masa selama 20 minit.

3) Lubuk snorkeling

5-perhentian snorkeling Foto: Pepatung

Jika anda takut untuk menyelam ke dasar laut mungkin pilihan ideal untuk menikmati keindahan alam marin adalah dengan melakukan aktiviti snorkeling. Ya, Pulau Perhentian tidak akan menghampakan penggemar pelbagai spesies ikan, penyu dan pelbagai hidupan laut lain kerana empat ‘lubuk’ utamanya menjanjikan yang terbaik. Anda boleh mengambil pakej bersama kelengkapan snorkeling untuk ke Shark Point (Teluk Dalam Pulau Besar), Marine Park (Jeti Taman Laut), Fish Point (Teluk Keke) dan Turtle Point (Perhentian Island Resort).

4) Lata Air Berani

6-perhentian lata Foto: picturefinding blogspot

Lokasi ini ada cerita eksentriknya namun pelancong lebih gemarkan keunikan dan keindahan alam semula jadi berbanding kisah-kisah mistik yang berlaku suatu ketika dahulu. Kolam kecil yang terletak di luar daripada kawasan pesisir pantai Pulau Perhentian Besar berhampiran dengan Teluk Dalam itu tidak pernah kering airnya dan menjadi tumpuan bermandi-manda memandangkan sumber mata air mengeluarkan saliran air yang sejuk dan mendamaikan.

5) Blue Lagoon

7-perhentian blue lagoon Foto: Pepatung

Ia merupakan pantai terbaik antara yang terbaik di Pulau Perhentian. Juga dikenali sebagai pantai dara, lokasi tersembunyi di Pulau Perhentian Besar ini disifatkan sangat privasi dan jarang diterokai oleh pelancong mahupun penduduk setempat. Pantai berteluk ini sebenarnya jika sekali imbas saling tak tumpah seperti Phi Phi Island di Krabi, Thailand. Justeru, pantai tersebut bakal menyajikan keindahan pasir pantai memutih dan air laut sejernih kristal.

Comments

comments

Selepas lima tahun bersama akhbar berbahasa Melayu tempatan, penulis memanjangkan langkah dalam bidang rekaan fesyen bersama label peribadi. Kecintaan terhadap dunia penulisan dilanjutkan bersama Pepatung berbekalkan pengalaman skop hiburan, pelancongan dan biografi.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *