Lima kategori ‘kaki’ di jualan murah

1
37

APABILA anda ke gedung beli-belah atau butik-butik pakaian yang sedang menjalankan jualan murah, secara automatik kaki anda akan menuju ke rak / bahagian item dengan potongan harga paling menarik. Bersama perasaan teruja, tangan anda pantas sahaja membelek dan memilih pakaian yang menepati pilihan hati.

Sedang girang memilih, tiba-tiba muncul beberapa individu lain mengerumuni rak tempat anda berada. Suasana mula riuh, berebut-rebut, pakaian berterbangan ke udara, dicampak-campak ke kiri dan kanan sehingga tiada ruang buat anda mencelah. Geram bukan bila terpaksa berdepan situasi sebegini?

Sempena musim jualan murah dan harga runtuh yang sedang rancak berlangsung di seluruh negara, Pepatung senaraikan beberapa kategori manusia menjengkelkan yang boleh ditemui di mana-mana jualan murah.

1) Kaki analisis: Selalunya perangai ini dilakukan pembeli wanita. Memang tidak salah memerhati dan menilai sesuatu barangan sebelum membeli bagi mengelakkan penyesalan. Namun yang menjadi masalah adalah apabila sikap teliti mereka ini mengganggu keselesaan pelanggan lain.

Ketika memilih baju misalnya, boleh pula mereka membentangkan baju itu di atas longgokan baju-baju lain.Tambah ‘memanaskan’ keadaan apabila mereka siap membentangkan dua helai baju sebelah-menyebelah, kemudian meminta pendapat si suami atau rakan-rakan. Kalau perbincangan itu sekejap tidak mengapa, ini kadang-kadang sampai berminit-minit.

Maaf ya, pelanggan lain pun mempunyai hak untuk membelek pakaian yang ditutup pakaian awak itu. Janganlah bersikap penting diri. Jika ingin membuat perbandingan secara teliti, bentangkan pakaian itu ke atas (menghadap muka menggunakan kedua-dua belah tangan) ataupun lekapkan pada belakang tubuh rakan anda.

2) Kaki korek: Rasanya taktik ini dilakukan oleh majoriti pembeli. Biasalah, baju-baju di bahagian atas sudah dipegang ramai orang, jadi perlulah ‘mengorek’ baju paling bawah dengan keyakinan bahawa ia masih terpelihara daripada tangan-tangan orang.

Perangai ini juga dilakukan kita bila saiz atau warna baju pilihan tidak ditemui di bahagian atas. Akibatnya, berderailah susunan kemas sehingga berselerak semua pakaian. Alasan klise: “Tak apa, nanti jurujual boleh susun semula.” Kalau andalah jurujual itu, tentu anda bengang dengan manusia berperangai begini bukan?

Mungkin anda boleh meminta bantuan jurujual untuk mendapatkan pakaian yang anda cari. Ini tidak, anda korek sampai bersepah tetapi tetap gagal menemui pakaian yang dicari walhal ia sebenarnya telah kehabisan stok. Anda dapat penat, jurujual lebih penat hendak menyusun semula. Jika tidak mahu menyusahkan jurujual, carilah elok-elok, selak sedikit sahaja baju-baju bahagian bawah, cukup untuk melihat saiz pada kolarnya.

3) Kaki model peragaan: Tidak dinafikan, mencuba pakaian di bilik persalinan terlebih dulu adalah langkah bijak yang mesti dilakukan setiap pengguna. Namun, apa yang menjadi masalah adalah golongan yang mengambil pakaian terlalu banyak untuk dicuba dalam satu-satu masa. Pantang nampak baju lawa, disambar dan digantung ke bahu, kemudian ambil lagi sehingga penuh kedua-dua bahu.

Masuk sahaja bilik persalinan, sehelai demi sehelai pakaian dicuba dan dibelek di depan cermin. Golongan model peragaan terlahir di sini. Setiap helai baju yang dipakai, mereka akan melangkah keluar dari bilik persalinan dan berjalan bagaikan model di atas pentas peragaan. Rakan-rakan mereka pula memainkan peranan sebagai penonton dan pengkritik fesyen.

Maaflah, lorong di bilik persalinan itu tidaklah besar mana dan ia juga bukan pertunjukan fesyen anda. Mencuba sehingga tujuh helai pakaian dengan setiap satunya diperaga di luar bilik persalinan memang menjengkelkan. Apabila jualan murah berlangsung, ramai orang beratur untuk menggunakan bilik persalinan, jadi cubalah hormati keperluan pelanggan lain.

Sebelum mengambil pakaian untuk dicuba, pilih betul-betul dan tetapkan sama ada ia benar-benar padan dengan diri anda. Dengan cara ini, anda dapat menjimatkan masa anda dan orang lain. Wang anda pun selamat daripada terbeli barangan tidak sesuai. Lagipun, kebanyakan golongan ini akhirnya tidak beli sehelai pun semua pakaian yang dicuba.

4) Kaki campak: Pernah atau tidak anda bertemu dengan orang yang apabila di rak baju jualan murah, dia akan angkat baju, belek dua tiga saat (ataupun tidak tengok langsung) dan campak ke depan atau tepi. Dia akan mengulanginya sehinggalah menemui pakaian yang menarik perhatiannya.

Golongan ini membuatkan pelanggan marah sebab mereka tidak peduli kalau pakaian yang dicampak itu menutup pakaian yang sedang dibelek-belek pelanggan lain. Dengan wajah selamba, mereka terus mencampak-campak baju sesuka hati macamlah kedai itu milik keluarganya. Tidak salah bukan pakaian yang tidak diingini itu diletakkan elok-elok dan tidak mengganggu ruang pelanggan lain?

warehouse-sale

5) Kaki rebut: Barangkali golongan ini paling melucukan di jualan murah. Pantang nampak barang menarik, dia cepat-cepat rebut sebelum orang lain ambil. Ada pula sampai sanggup berebut dengan pelanggan lain menggunakan alasan seperti: “Saya dah lama cari barang ini, anak saya minta dari awal tahun tapi tak mampu sebab ketika itu ia mahal.”, “Baju itu tidak sesuai dengan awaklah, mungkin awak patut cuba baju lain.”atau “Barang ini memang saya punya, tadi saya ambil dan letak sekejap di sini sebelum mencari suami saya.”

Apapun alasan rekaan golongan ini, janganlah anda terpedaya kalau anda merupakan orang yang terlebih dulu memegang barangan tersebut. Bak peribahasa Melayu, ‘siapa cepat, dia dapat’.

 

Kredit gif: her.ie

1 KOMENTAR

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini