Lima destinasi liburan unik hujung minggu

1
14

BOSAN dengan aktiviti hujung minggu yang hampir sama? Barangkali jadual liburan anda memerlukan kemas kini dan Pepatung mencadangkan lima destinasi berikut sebagai alternatif hujung minggu yang tidak akan menghampakan.

1) Icescape Ice Rink

2-liburan icescape
Terletak di dalam pusat beli-belah yang baru dibuka, iOi City Mall, Putajaya, Icescape Ice Rink adalah gelanggang luncur ais pertama di Malaysia yang dibangunkan mengikut standard saiz Olimpik. Justeru, tidak perlu lagi gusar tentang masalah berhimpit-himpit atau bimbang dilanggar apabila jatuh kerana ruangnya cukup besar untuk anda meluncur.

2) Jumpstreet

3-liburan jumpstreet
Melompat di atas trampolin sememangnya digemari ramai orang. Maka dengan kewujudan taman trampolin terbesar di Asia ini, selain menghiburkan pengunjung, ia juga membantu mencergaskan fizikal dan mental mereka yang berkunjung ke sini. Anda juga boleh bermain dodgeball, bola keranjang atau melakukan senam aerobik di atas trampolin. Tidak pandai melompat atau takut tercedera? Usah bimbang kerana anda akan dibimbing dan dipantau petugas profesional terlatih.

3) ATV Adventure Park

4-liburan atv
Meredah hutan belantara menggunakan pacuan empat roda mini seperti ATV di waktu pagi pasti meledakkan adrenalin anda. Aktiviti lasak ini boleh dilakukan sekiranya anda berkunjung ke ATV Adventure Park yang terletak di Kg. Kemensah, Hulu Kelang, Kuala Lumpur. Terdapat empat pakej yang disediakan bermula serendah RM100 hingga RM300. Selain dapat mendekatkan diri dengan flora dan fauna, anda juga berpeluang menikmati kedinginan air terjun (bukan semua pakej).

4) Escape Room

5-liburan escaperoom
Permainan indoor yang sebenarnya amat memerlukan ketahanan mental. Escape Room merupakan fenomena antarabangsa yang kian meledak di negara ini. Di Malaysia, terdapat tujuh cawangan Escape Room dan setiap satu daripadanya menyediakan rangkaian senario yang berbeza. Di sini, anda dan ahli pasukan anda (dua hingga lapan orang) akan dikunci di dalam sebuah bilik. Bagi membebaskan diri, kerjasama sepasukan amat diperlukan dalam merungkai teka-teki yang ditetapkan. Anda hanya diberikan 45 minit untuk menyelesaikan jawapannya.

5) Bukit Broga

6-liburan broga
Mungkin kalau anda ke bukit dengan ketinggian 400 meter dari aras laut ini pada hujung minggu, keadaannya agak sesak. Seawal 5.30 pagi ramai orang akan membanjiri kaki bukit ini untuk memulakan pendakian yang memakan masa selama 20 hingga 45 minit ke puncak bukit. Pastikan tahap kecergasan anda berada pada tahap memuaskan sekiranya tidak mahu pancit di tengah jalan. Bagaimanapun penat lelah anda akan terbayar saat menyaksikan keindahan momen matahari terbit.

 

Kredit foto: placeandfoods/jumpstreetasia/danarif/easycorner/alcoveanggur

1 KOMENTAR

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini