SEBUT sahaja Lost World Of Tambun (LWOT) pasti bayangan gelungsur air, kolam ombak dan pancuran air panas bersulfur timbul.

Namun, harus anda tahu bahawa ada pelbagai aktiviti lain yang anda boleh lakukan tanpa perlu berbasah-basahan.

Berikut kami senaraikan lima tarikan unik di LWOT yang membuatakan anda sukar untuk move on.

1) Rumah Hantu

Bulan Oktober sinonim dengan sambutan Halloween jadi rugilah bagi anda yang tidak merasai sendiri ketakutan dan debaran memasuki Haunted Chambers di Lost World Of Tambun.

Ruangnya tidak sebesar Night of Fright di Sunway Lagoon namun cukup besar untuk menggugurkan jantung dan mengundang pekikan bagi yang berhati tikus.

Anda akan dibawa oleh seorang nenek kebayan menyelusuri perjalanan lebih 10 minit dan bertemu karakter seram yang popular dalam kisah klasik Melayu.

Oh ya! Sempena bulan Halloween juga anda akan berpeluang untuk menonton persembahan House Of Doll di pentas utama LWOT.

Bintang: ****

2) Petting Zoo

Haiwan adalah terapi terbaik mengurangkan tekanan dan marah. Jadi, LWOT telah mengambil inisiatif membuka Petting Zoo yang memberikan peluang anda mengenali dan berinteraksi dengan pelbagai spesies haiwan.

Daripada sekecil-kecil hamster hingga setinggi-tinggi zirafah. Semuanya ada untuk anda mengenali dan memahami tabiat dan habitat haiwan-haiwan itu.

Lebih seronok jika anda bertanya dan mendengar sendiri penjelasan daripada zoologi yang bertugas (kami sarankan Liza).

Anda juga berpeluang untuk memberi makan kepada haiwan-haiwan ini misalnya sekawan rusa yang dibiarkan bebas di Animal Care Centre.

Bagi penggemar kucing pula, jangan lupa jenguk sekumpulan kucing daripada pelbagai baka seluruh dunia di Catopia.

Di sebelahnya pula terletak Tiger Valley yang menempatkan baka pak belang spesies Siberia. Jangan lupa saksikan pertunjukan Tiger Feeding setiap hari pukul 3 petang!

Bintang: ****

3) Flying Fox & Glamping

Jika anda menyelurusi perjalanan ke Adventure Park, anda akan menemui kolam bijih timah dan berpeluang melakukan sendiri aktiviti mendulang bijih timah secara teknik tradisional. Rugi tak cuba!

Kemudian, di Adventure Park anda akan disajikan dengan panorama indah gua batu kapur dan hutan yang masih menghijau.

Anda boleh mencuba sendiri debaran adrenalin menerusi aktiviti Flying Fox sepanjang 120 meter merentasi tasik legenda, Tasik Boga.

Sebenarnya Adventure Park LWOT adalah lokasi ideal untuk aktiviti team building dan eskapisme daripada kesibukan kota metropolitan. Tenang dan mendamaikan.

Bagi merasai pengalaman berkhemah di tengah rimba, anda boleh memilih pakej Glamping (Glamour Camping) di gigi Tasik Boga.

Bagi yang tidak tahu, sebuah katil bersaiz queen dan dua katil single sudah tersedia di dalam khemah, lengkap dengan soket dan kipas. Hebat bukan?

Bintang: *****

4) Ekskavasi Gua Datok

Masih berkisar aktiviti lasak yang anda boleh lakukan di LWOT. Cuba sendiri pengalaman mendaki 630 anak tangga ke puncak Gua Datok yang sarat kisah misteri.

Gua yang dahulunya pernah menjadi tempat pertapaan dan kubu pertahanan Komunis itu menyimpan pelbagai kisah dan khazanah yang tidak ternilai!

Mahu lebih cabaran? Cubalah ekskavasi Gua Datok pada waktu malam.

Bintang: ****

5) Makan dalam gua

Tak lengkap percutian anda ke LWOT tanpa merasai sendiri makanan tradisional di celah-celah rekahan batu kapur di Dulang Tea House.

Lebih hipster daripada kafeteria mewah di ibu kota, Dulang Tea House dihiasi dengan rekaan vintage dan menyediakan hidangan unik seperti roti tumbuk, biskut lutut, telur ayam kampung dan paling tidak boleh dilupakan; roasted rice tea!

Bagi yang bernasib baik, anda juga berpeluang untuk merasai pengalaman menjamu selera di dalam Gua Kepura.

 

Selain itu, deretan kedai di Lost World Ipoh Street juga menyediakan variasi sajian tradisional Perak.

Bintang: ****

Info:
Alamat: Lost World Of Tambun, No 1, Persiaran Lagun Sunway 1, Sunway City Ipoh, 31150 Ipoh, Perak.
Waktu operasi: Isnin hingga Jumaat (11 pagi hingga 6 petang) / Hujung minggu dan cuti persekolahan (10 pagi hingga 6 petang) / Ditutup setiap hari Selasa.
Bayaran masuk: RM65 (dewasa), RM58 (kanak-kanak & veteran).

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini