Kompas Karl Shafek

Percutian bukan satu pertandingan bajet termurah

By  | 

ADAKAH kita masih dalam musim pertandingan percutian bajet terendah? Kebelakangan ini saya sering terbaca kisah percutian individu yang rajin berkongsi jumlah perbelanjaan jimat ke destinasi pilihan mereka.

1-1024x682-jpg-cFOTO: ALPRO

Semakin lama semakin banyak jumlah share yang saya perhatikan, dituruti dengan kisah selanjutnya oleh berlainan orang. Seolah-olah telah wujud satu pertandingan percutian dengan bajet terendah. Maka berlumba-lumbalah mereka mensensasikan cerita tersebut.

Kurang pasti, mengapa kini kita lebih gemar megambil tahu tentang cerita orang seperti: “Saya hanya berbelanja RM700 untuk bercuti di Jepun selama 10 hari”.

Adakah jumlah bajet untuk mengembara telah menjadi perkara paling penting berbanding pengalaman mengenali latar budaya dan profil masyarakat setempat mahupun struktur geografi lokasi dikunjungi? Jika anda memilih jawapan pertama, saya sarankan anda fahami kembali apakah konsep atau maksud sebenar kembara.

p8310102_2-jpg-cFOTO: YUNOS ABDUL RAHMAN

Diakui, sememangnya sejumlah wang diperlukan untuk tujuan tersebut. Namun, memadaikah jika sentiasa membandingkan perbelanjaan dengan kekayaan pengalaman serta kenangan yang diraih di sepanjang percutian?

Berkongsi bajet rendah bukanlah satu kesalahan. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini, perkongsian berbentuk sebegitu seolah-olah menenggelamkan asas sebenar dalam percutian. Bajet bukan ukuran keseronokan dan kepuasan sesebuah percutian. Ia perlulah didasari tujuan, fokus dan paling penting, kehendak hati.

Setiap percutian atau pengembaraan haruslah mempunyai tujuan. Bukan sekadar keputusan dalam menentukan hala yang membawa ke tempat dituju, tetapi kenapakah kita mahu ke lokasi tersebut. Pilihan tentunya berada di tangan sendiri. Sama ada tujuan percutian adalah untuk membeli-belah atau mahu berkunjung ke lokasi tumpuan mahupun sekadar berehat di hotel dan resort menarik.

l1000889_2-jpg-cFOTO: YUNOS ABDUL RAHMAN

Inilah perkara pertama yang yang patut disenaraikan ketika membuat perancangan percutian – berpandukan kehendak, keperluan, kebebasan dan kemampuan.

Setiap manusia mempunyai kemampuan masing-masing. Lain orang, maka berlainanlah perbelanjaannya. Mungkin ada yang berpoket tebal dan sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk meneroka sesuatu tempat dengan gaya dan cara tersendiri.

Jika keadaan di sebaliknya, yakinlah bahawa kita masih boleh mencipta keunikan dalam pengembaraan tersebut. Namun, ianya terpulang kepada setiap individu kerana bajet rendah atau tinggi, bukanlah ukuran untuk mendapatkan percutian yang berharga.

Selain tujuan, perkara lain yang mewujudkan keseronokan dalam percutian adalah fokus terhadap perjalanan itu sendiri. Dengan tujuan dan fokus, lebih mudah bagi seseorang mengetahui bajet yang diperlukan sama ada tinggi atau rendah.

Misalnya, jika anda memilih Jepun dan tujuannya adalah untuk mendalami kebudayaan, kenal pasti lokasi yang kaya budaya dan masyarakatnya terlebih dahulu. Kemudian, kumpulkan maklumat dan senaraikan harga setiap tempat yang bakal dilawati. Tidak ketinggalan, tetapkan waktu keseluruhan yang diperlukan untuk menyelesaikan misi percutian tersebut.

Saya pernah berpergian selama tiga hari dua malam hanya kerana mahu berehat. Maka hotel lima bintang yang dijamin keselesaannya menjadi pilihan. Justeru, saya meminimumkan waktu untuk bersiar-siar. Fokus perbelanjaan juga hanya untuk membayar perjananan, bil hotel dan makan minum yang mewah.

Biarpun segalanya kedengaran mewah, tetapi selepas dihitung, perbelanjaannya lebih kurang sama dengan percutian bajet rendah yang pernah saya pergi.

shangri-la-rasa-ria-tuaran-jpg-c

Manakan tidak, dengan percutian bajet rendah itu, saya tinggal di hotel yang juga berbajet rendah tetapi penuh dengan aktiviti harian, lawatan, pengangkutan, membeli-belah, makan dan minum di kebanyakan kafe jalanan dan ditipu pemandu teksi.

Pendek kata, apabila berbicara tentang bajet ianya begitu subjektif. Bergantung kepada bagaimana seseorang menilai apa yang bakal diperolehinya.

Tidak perlu memasang niat untuk bercuti sehingga menyesal kerana terlalu mengikut bajet dan pengalaman orang lain. Ia pasti akan jadi serba tak kena jika tidak bersesuaian dengan diri dan cita rasa kita.

l1008275_2-jpg-cFOTO: YUNOS ABDUL RAHMAN

Saya yakin, ramai yang walaupun kurang berkemampuan tetapi kerana terlalu suka mengembara, mereka sanggup menabung semata-mata ingin memenuhi kehendak percutian idaman. Puaskan hati, manjakan diri, warnai percutian anda secara bervariasi dan ciptakan pengalaman yang membekas memori.

Biarpun anda perlu menabung lama untuk ke sesebuah destinasi idaman, usah berputus asa. Teruskan usaha dan bercutilah mengikut kebebasan kata hati, bukan semata-mata mahu tampak cool dan mengikut trend.

Lagipun menggelar diri sebagai backpacker hanya kerana anda mengembara berbekalkan bajet rendah bukanlah backpacker sejati. Seorang backpacker tegar akan meredah perjalanan tanpa perancangan teliti dan banyak berjimat belanja. Kadang-kadang ada yang sanggup bekerja separuh masa di sesebuah lokasi bagi mendapatkan duit poket.

l1000880_2-jpg-cFOTO: YUNOS ABDUL RAHMAN

Pastikan perbelanjaan anda betul-betul berbaloi! Ingat, bercuti bukan untuk penat. Jumpa lagi.

Comments

comments

Memulakan kerjaya sebagai pramugara dan seterusnya melebarkan sayap sebagai wartawan penyiaran yang kemudiannya membuka ruang untuk bergelar pengacara rancangan travelog untuk beberapa stesen televisyen tempatan. Antara rancangan kendaliannya termasuklah 3 Hari 2 Malam, Jelajah Ramadan dan yang terbaharu, Aroma Tradisi yang bukan sekadar menjelajah tetapi memperkenalkan makanan tradisi kepada khalayak. Beliau yang sememangnya gemar melancong dan telah mengunjungi pelbagai negara tidak suka menggunakan aplikasi navigasi yang terdapat pada gajetnya. Baginya, jika sesat jalan, jangan malu bertanya dan akan membuka lebih banyak peluang pengetahuan yang asli dan tidak akan dilupakan.

1 Comment

  1. Nina

    26 October 2016 at 10:03 AM

    Saya sgt setuju! Bagi saya kalau saya nak travel saya perlu balance antara bajet dan perkara lain…. contohnya ambil bas untuk jimat tapi tempoh cuti yang sangat pendek… tak sesuai. kalau ambil waktu malam, jadi jimat hotel… tapi selesa kah, boleh tidur atau tak… nanti sampai destinasi pun penat tak cukup rehat jadi mungkin feri/ tren dengan kemudahan tempat tidur tu lebih sesuai… contohnya. Ataupun untuk winter travel- walaupun hotel & flight ticket tend to be cheaper, perlu ingat winter kurang daylight, tak byk aktiviti boleh buat/ kawasan yg boleh pergi… jd apa2 pun perlu check & balance- jenis percutian, tempoh cuti, cuaca, kemudahan dsb, untuk maximize travel experience

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *