Kembara ideal 2015 ke tujuh destinasi dunia

2
34

PEJAM celik pejam celik, Februari kini menjelma. Bulan yang sentiasa menjadi pilihan untuk ke lokasi bulan madu bagi yang mahu meraikan cinta. Jika anda seorang pengembara tegar, sudah pasti pelbagai perancangan melancong untuk tahun ini telah berada dalam senarai anda.

Bagi yang belum mempunyai idea, saya cadangkan anda teruskan membaca kerana saya ingin senaraikan tujuh lokasi yang sesuai dilawati sepanjang tahun ini. Jika bersesuaian dengan jiwa anda, jadikannya sebagai destinasi untuk dikunjungi pada tahun ini.

1) Syurga Dewata

3-dest 2015

Jika anda tidak pernah melancong ke luar negara dan baru memasang impian untuk melakukannya tahun ini, saya cadangkan anda memilih Pulau Bali, Indonesia. Bunyinya seperti klise dan membosankan, namun Bali adalah destinasi yang amat lengkap fasiliti pelancongannya. Ianya amat memudahkan junior traveler seperti anda.

Bukan setakat insfrastukturnya hebat, tetapi servis pelancongannya yang mesra pelancong menjadikan ia industri yang sentiasa bersedia menerima kunjungan sesiapa sahaja. Dari puncak Gunung Batur ke Dasar Lautan Hindi, pilih sahaja pelbagai aktiviti untuk dijadikan kenangan.

Semuanya boleh dilakukan dengan harga yang cukup berpatutan. Penduduknya juga ramah dan kepelbagaian profil kaum peribuminya turut menjadi tarikan yang sering dipandang remeh di pulau dewa-dewa ini. Berkenalan dan buatlah seramai mana kawan yang anda mahukan. Paling penting, makanannya tidak jauh berbeza dengan selera kita.

Jangan bingung memikirkan lokasi yang mana harus ditumpukan kerana Bali bukan sekadar menikmati kopi di Hard Rock Cafe, Kuta atau membeli-belah di Legian. Hampir semua daerahnya menawan hati dan sesuai untuk dilawati. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan persembahan tarian Kecak dan Barongan menjelang senja di Kuil Uluwatu.

Rehatkan minda di Ubud yang penuh dengan landskap agung industri pertanian berteraskan pemandangan sawah padi. Anda juga boleh bermesra bersama ikan lumba-lumba jinak di perairan Lovina. Tempoh minimum empat hari sudah mencukupi untuk merasai pengalaman Eat, Pray, Love bersama yang tersayang. Bali sesuai dikunjungi sepanjang Januari hingga Mac.

2) Basah di Songkran

4-dest 2015
Pernahkah anda terfikir untuk bercuti dalam kebasahan? Jika tidak, fikirkanlah kembali dan sertai kemeriahan sambutan festival air terbesar di Thailand yang akan berlangsung pada 13 – 15 April nanti. Songkran yang asalnya merupakan upacara sambutan tahun baru bagi penganut Buddha kini menjadi daya tarikan pelancongan terpenting negara Gajah Putih itu.

Ianya bukan lagi melibatkan upacara keagamaan, tetapi kini menjadi pesta air tahunan bagi masyarakat Thailand. Walaupun secara rasminya ia disambut selama tiga hari sahaja, namun pesta air ini sebenarnya diraikan meriah di seluruh Siam selama seminggu! Tahun lalu saya sempat merasai pengalaman basah bersama rakan-rakan di Bangkok dan ternyata ianya amat menyeronokkan. Kebanyakan jalan raya akan ditutup ketika Songkran berlangsung jadi pilihlah untuk tinggal di hotel yang berdekatan dengan laluan tren MRT mereka yang efisien.

Berada di kota besar seperti Bangkok ketika perayaan ini bermakna anda sudah bersedia untuk basah kuyup disimbah berbaldi air atau ditembak meriam air oleh sesiapa sahaja di jalanan. Jangan sesekali menarik muka jika dibasahkan kerana bagi masyarakat di sana, menyimbah air bererti memberi berkat kepada orang lain.

Sebelum keluar, pakailah pakaian nipis yang mudah kering. Sediakan beg kalis air bagi melindungi barangan peribadi anda terutamanya gajet-gajet yang dibawa bersama. Jika ke Bangkok, jangan lupa selitkan Bazar Chatuchak ke dalam agenda kerana ianya hanya dibuka pada setiap Sabtu dan Ahad. Sebelum berlepas ke Thailand, pelajarilah beberapa ayat mudah untuk menyenangkan urusan anda di sana.

3) Angin bayu Kinabalu

9-dest 2015
Lupakan seketika destinasi seberang laut kerana tanah air kita sendiri tidak kurang hebatnya dengan tempat-tempat indah untuk dikunjungi. Sabah, Negeri di Bawah Bayu cukup terkenal dalam kalangan pelancong luar sebagai syurga lautan. Setiap tahun Sabah menerima kunjungan ribuan penyelam skuba yang memilih pulau-pulau indah seperti Mabul dan Sipadan di perairan Semporna untuk kepuasan hobi mereka meyaksikan terumbu karang tercantik di dunia.

Jika tidak mahu kulit anda gelap kerana berendam dalam air, pilih sahaja Kota Kinabalu yang rancak membangun kerana bandar raya ini juga amat istimewa. Jangan lupa ke Pasar Filipina untuk membeli mutiara asli pelbagai gred. Masyarakat berbilang etnik juga merupakan mutiara kebanggaan negeri ini.

Lajakkan perjalanan ke Kundasang yang mengambil masa perjalanan lebih kurang dua jam dari Kota Kinabalu dan saksikan sendiri kehidupan masyarakat di sana menyara hidup dengan hasil sayuran segar berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu yang tersergam indah. Namun jangan lupa membawa pakaian tebal kerana Kundasang adalah kawasan pergunungan yang dingin sepanjang hari.

Secara peribadi jika tidak mahu mendaki sehingga ke puncak tertinggi gunung di Asia Tenggara itu, saya syorkan anda ke sini kerana ianya cukup romantik dan sesuai untuk pasangan yang ingin meraikan cinta mereka.

4) Ziarah rohani

5-dest 2015
Menyambut Ramadan di tanah suci Mekah menjadi impian ramai umat islam. Tahun ini bulan mulia itu akan disambut pada pertengahan Jun dan pastinya Tanah Suci Mekah akan menerima kunjungan jutaan musafir dari seluruh dunia. Melakukan umrah dan ziarah pada bulan puasa lebih digemari kerana lebih banyak masa boleh ditumpukan untuk ibadat wajib dan sunat.

Jika berkemampuan, pilihlah pakej pengiapan seberapa lama yang boleh di Madinah mahupun Mekah dan rasai pengalaman berbuka puasa dengan tamar sebelum menunaikan solat tarawih di Masjid Nabawi atau Masjidil Haram. Ketika saya menulis perenggan ini saya terfikir, mengapa saya tidak berkongsi sahaja pengalaman saya sendiri? Bukan tidak mahu, tetapi saya ke sana pada tahun 1996 bersama keluarga. Jadi saya rasa lebih sesuai jika saya dapatkan informasi yang lebih terkini.

Secara kebetulan, rakan saya Asyraf Mazlan kini berada di Mekah untuk menunaikan Umrah. Jadi saya tidak mahu terlepas peluang untuk bertanya. Mulanya dia agak keberatan untuk berkongsikan ceritanya di sana, namun saya yakinkan dia bahawa perkongsian ini mudah-mudahan dapat membuka hati pembaca untuk menjejakkan kaki ke sana.

“Kali pertama berada di hadapan Kaabah, muncul rasa sayu kerana kiblat tempat saya bersujud berada betul-betul di depan mata. Ketika itulah bercampur segala perasaan terutamanya insaf, takut dan rendah diri kerana terasa terlalu kerdil di samping Allah SWT,” kongsi Asyraf memulakan cerita.

Ketika ini Masjidil Haram sedang dibaik pulih bertujuan membesarkan lagi ruang masjid supaya dapat menampung jumlah jemaah yang meningkat saban tahun. “Kini urusan tawaf lebih mudah dan tidak perlu bersesak-sesak kerana sudah ada bulatan bertingkat mengelilingi Baitullah. Kota Mekah yang kini telah berubah wajah menjadi sebuah metropolis juga lebih mesra jemaah. Ianya dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020 dan mampu menampung satu juta jemaah dalam satu-satu masa,” tambah Asyraf.

5) Hoppin’ around Temple

6-dest 2015
Dalam kebanyakan kuil di serata dunia, Angkor Wat merupakan monumen keagamaan purba yang difahamkan sebagai yang terbesar di dunia. Masih terpelihara rapi sehingga kini, ianya terbina daripada arahan Raja Suryavarman kedua pada abad ke-12 menjadikannya kini sebuah rumah agama rasmi penganut Buddha.

Mengikut sejarah, Angkor Wat juga pernah menjadi pusat keagamaan agama Hindu. Fakta tersebut disokong oleh penemuan pelbagai artifak dan ukiran bermotifkan agama itu pada dinding kuil ini. Selain itu ianya adalah satu-satunya kuil yang menghadap ke arah barat (mengikut pengaruh Tuhan Vishnu) manakala kuil-kuil Khmer lain semuanya menghadap timur.

Struktur binaan dan ukirannya yang unik membuatkan tapak arkeologi ini antara lokasi yang diiktiraf UNESCO sebagai salah satu tapak warisan dunia. Menurut sahabat saya, Yunos Abdul Rahman yang sempat ke Siem Reap, Kemboja baru-baru ini, waktu yang sesuai untuk ke Angkor Wat adalah pada waktu subuh.

“Pemandangan matahari terbit di sini amat mengagumkan dan membuatkan saya tidak berhenti merakamkan gambar dari pelbagai sudut. Saya memperuntukkan setengah hari di kuil ini bagi mempelajari sejarahnya dengan lengkap. Menurut penduduk setempat, matahari akan terbit di tengah-tengah Angkor Wat pada 21 Mac setiap tahun, menjadikan ia satu tarikh pilihan pelancong untuk berhimpun di kuil ini,” Ujar Yunos.

Lokasinya yang berdekatan dengan Siem Reap juga memudahkan sesiapa sahaja untuk memilih pelbagai hotel di kota itu. Jika gemarkan hiburan malam, singgah sahaja di Pub Street di tengah-tengah kota Siem Reap kerana banyak kafe, pub dan restoran tersedia untuk bersantai. Berhampiran lokasi ini juga terdapat Angkor Night Market yang menawarkan barangan cenderahati untuk dibawa pulang.

6) Musim luruh dan semangat Bond

7-dest 2015
Bayangkan ketika sedang memandu, anda terlihat pemandangan indah seperti sebuah lukisan. Lantas anda memberhentikan kereta di bahu jalan hanya kerana ingin merenung gunung-ganang dan tanah yang luas terbentang di Scotland pada musim luruh. Terlalu indah untuk dibayangkan bukan?

Ianya bukan sekadar angan-angan kosong jika anda bijak merancang kewangan dan perbelanjaan dari awal. Tanah ini sangat sesuai dijelajah secara road trip seumpama anda merupakan ejen 007 yang sedang melaksanakan tugas penyiasatan. Nah! Ianya bakal memberikan satu pengalaman luar biasa dengan latar belakang padang rumput yang menguning, awan kehitaman dan udara berangin. Semestinya menjanjikan perjalanan yang cukup melankolik.

Tidak perlu berpakaian tebal, cukuplah dengan berjaket nipis atau windbreaker, bergantung kepada ketahanan anda terhadap kelajuan angin. Perlu diingatkan, walaupun tahap keselamatan di negara ini tidak perlu dibimbangi, merentasi ke lokasi ini akan lebih bermakna jika anda datang bersama sahabat atau ahli keluarga.

Sekali lagi sahabat saya, Yunos Abdul Rahman berkongsi pengalamannya ke sana tahun lalu: “Dari Glasgow, saya menuju ke utara dan singgah di Glencoe seterusnya ke Isle Of Skye. Bermalamlah di Skye sekurang-kurangnya dua malam jika menggemari aktiviti outdoor. Ambil peluang untuk mendaki pergunungan indah di sini.”

Jangan lupa singgah di Portree yang merupakan perkampungan nelayan di situ. Ia dihuni penduduk etnik Scotland yang tipikal tetapi cukup mesra. “Dari Isle Of Skye, saya meneruskan pengembaraan menuju ke Inverness dan mengakhiri perjalanan di sebuah lagi kota indah iaitu Edinburgh. Anggaran 500 Pound dibelanjakan hanya untuk menyewa kereta. Ianya tidak akan menjadi masalah besar jika anda berkongsi bersama rakan-rakan,”sambung Yunos yang memberitahu banyak lokasi indah yang sempat dilawatinya.

Sememangnya Scotland sinonim dengan beberapa filem James Bond dan bersedialah memperuntukkan minimum 7 hingga 10 hari untuk jelajah mempesona ini.

7) Terperangkap di Kota Uthmaniyah

8-dest2015
Cuaca dingin akan mula menyelubungi Istanbul pada akhir November. Kota raya yang dipenuhi bangunan berseni bina neo-klasik mewah ini akan kelihatan lebih melodramatik pada musim sejuk. Suasananya seolah-olah mengembalikan era Eropah kuno semasa pemerintahan empayar Uthmaniyah, membuatkan kota terbesar di Turki ini begitu istimewa untuk dilawati.

Sejarah, seni bina, geografi dan penduduknya adalah produk pelancongan yang melariskan Istanbul. Walaupun kedudukannya terletak di tanah Arab, namun Istanbul yang terbahagi kepada dua bahagian iatu benua Asia dan Eropah oleh Selat Bosphorus adalah lebih Eropah daripada Eropah itu sendiri.

Tiga kali menjejakkan kaki di Istanbul sewaktu saya masih bertugas sebagai pramugara bersama Penerbangan Malaysia (MAS), ia tidak pernah menjemukan. Berada di kota lamanya terasa seperti berada di dalam ‘perangkap’ indah yang tidak mahu dibebaskan. Mulakan kembara anda dengan menziarahi bangunan-bangunan ikonik sepeti Masjid Biru, Hagia Sophia dan Muzium Topkapi.

Ianya pasti membuatkan anda terpegun dengan reka bentuknya dan kembali menyegarkan ingatan terhadap kehebatan sejarah dan kebangkitan Islam ke persada dunia. Telusuri Selat Bosphorus yang menjadi penghubung Laut Marmara dan Laut Hitam untuk mengetahui lebih mendalam mengapa Istanbul menjadi tanda kejayaan pejuang-pejuang Islam di masa silam.

Jangan lupa untuk singgah di Grand Bazaar untuk membeli-belah. Istanbul adalah sebuah kota metropolis yang akan membangkitkan pelbagai perasaan indah dalam diri setiap pengunjungnya, seindah namanya.

 

Kredit foto: Koleksi peribadi Karl Shafek, Yunos Abdul Rahman dan Asyraf Mazlan

KONGSI
Artikel sebelumnyaSpektrum Sanubari Sharifah Sakinah
Artikel seterusnyaNikmat sajian lada hitam di Kenny Rogers Roasters

Memulakan kerjaya sebagai pramugara dan seterusnya melebarkan sayap sebagai wartawan penyiaran yang kemudiannya membuka ruang untuk bergelar pengacara rancangan travelog untuk beberapa stesen televisyen tempatan. Antara rancangan kendaliannya termasuklah 3 Hari 2 Malam, Jelajah Ramadan dan yang terbaharu, Aroma Tradisi yang bukan sekadar menjelajah tetapi memperkenalkan makanan tradisi kepada khalayak. Beliau yang sememangnya gemar melancong dan telah mengunjungi pelbagai negara tidak suka menggunakan aplikasi navigasi yang terdapat pada gajetnya. Baginya, jika sesat jalan, jangan malu bertanya dan akan membuka lebih banyak peluang pengetahuan yang asli dan tidak akan dilupakan.

2 KOMENTAR

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini