Eskapisme Tahun Baru!

0
43

SAMBUTAN tahun baru adalah salah satu agenda penting dalam kalendar seorang pengembara. Seperti saya, permulaan setiap tahun biasanya akan diisi dengan perjalanan ringkas yang sebenarnya menjadi bayangan kepada perancangan kembara sepanjang tahun tersebut.

Bagi mereka yang masih mempunyai lebihan cuti, mungkin anda telah merancang untuk menyambut ketibaan tahun baru dengan cara tersendiri sama ada di dalam atau luar negara.

Secara peribadi, saya tidak gemar menyambut tahun baru di kota. Bukan kerana saya tidak suka menyaksikan percikan bunga api yang merupakan simbolik klise setiap kali tahun baru diraikan. Sebenarnya saya tidak selesa bersesak-sesak dan lebih cenderung memandu sendirian atau bersama teman-teman ke luar bandar raya berbekalkan perancangan spontan dan tidak terperinci.

Bak kata orang, lebih santai lebih relaks. Oh saya sememangnya mempunyai ramai kenalan di serata Malaysia. Jadi saya tidak pernah takut untuk bercuti berseorangan. Apa yang perlu dipastikan adalah kenderaan berada dalam kondisi baik.

Jika anda juga pernah berangan-angan menyambut tahun baru seperti saya, tidak perlu fikir panjang. Pack your bag and just go dan kalau tiada idea mahu ke mana, saya senaraikan lima lokasi luar jangkaan yang mungkin boleh anda kunjungi pada detik 2014 melabuhkan tirainya.

1) Countdown di Bukit Broga
Jika tidak mahu pergi jauh keluar kota dan ingin berjaga sepanjang malam hingga ke pagi sambil menikmati malam perubahan tahun baru yang serba berbeza, saya cadangkan anda mendaki Bukit Broga di Kajang, Selangor. Pergilah bersama kawan-kawan dan bawa bekalan makanan supaya anda boleh berkelah sampai pagi sambila menantikan mentari pertama 2015.

5-kompas ny

Pastinya ianya bakal menjadi memori yang tak akan dilupakan. Namun saya ingatkan, sila periksa ramalan cuaca terlebih dulu sebelum merancang untuk ke lokasi ini. Satu lagi, jangan berkompromi soal keselamatan anda dan rakan-rakan ketika mendaki dan sewaktu turun keesokan harinya.

2) Berkuda di AS Equestrian
Jangan terkejut walaupun lokasi Pusat AS Equestrian ini terletak di Kampung Rawa, Lenggeng, Negeri Sembilan, ia hanya memakan masa kurang daripada satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur. AS Equestrian merupakan pusat latihan berkuda profesional yang mula beroperasi sejak empat tahun lalu.

Ianya sering menjadi pilihan individu mahupun syarikat-syarikat gergasi untuk melatih peminat sukan ekuestrian seawal usia 4 tahun sehinggalah orang dewasa. Anda boleh memilih untuk check-in di homestay atau chalet yang disediakan pada harga bermula RM100 semalam berserta sarapan dan jungle trekking berkuda sejauh 10 kilometer selama 1 jam 30 minit.

2-kompas ny

Sekiranya anda berkunjung seharian sahaja, jangan gusar kerana anda masih boleh menunggang kuda secara joy ride pada harga serendah RM10 untuk beberapa pusingan di trek manakala harga bagi belajar menunggang kuda pula adalah RM70 sejam.

Bukan itu sahaja, aktiviti malam yang disediakan juga amat menyeronokkan iaitu persembahan kebudayaan dan joget lambak bersama penduduk Kampung Rawa. AS Equestrian boleh dihubungi melalui Puan Saadiah Othman di talian 019-354 4472.

3) New Year bersejarah
Saya pernah memandu ke Melaka pada petang terakhir tahun 2010 semata-mata mahu menyambut tahun baru di sana. Ianya amat berbeza kerana bagi saya, walaupun kita melangkah ke tahun hadapan, secara simboliknya, saya masih memandang ke belakang dan disebabkan itu saya memilih untuk ke Melaka Bandaraya Bersejarah.

7-kompas ny

Anda boleh memilih pelbagai alternatif sambutan di sini. Bagi meninjau keseluruhan bandar raya ini, anda boleh menaiki Menara Taming Sari atau sekiranya ingin menyaksikan pemandangan indah Bandar Hilir, apa kata anda menaiki River Cruise merentasi Sungai Melaka.

Mahu melapangkan masa secara santai, kunjungilah deretan kafe-kafe alfresco di sana sambil menyaksikan gelagat orang lain menyambut tahun baru. Terdapat banyak hotel bajet yang sedia menerima anda untuk berehat sesudah kepenatan berjalan. Sebelum pulang keesokan harinya, jangan lupa menjamah hidangan tradisi negeri ini.

4) Night Safari di Zoo Taiping
Tiga jam memandu dari Kuala Lumpur akan membawa anda ke Taiping, Perak. Bandar ini sempurna bagi mereka yang mementingkan ketenangan kerana ianya tidak sibuk dan sesak dengan manusia. Cukup terkenal dengan Yong Tau Foo Bomba, Mee Udang Mak Jah dan Kuetiau Doli, sajian ini pastinya memenuhi selera tekak anda.

6-kompas ny

Selepas mengisi perut, pandu kereta anda ke Zoo Taiping bagi menyaksikan haiwan-haiwan yang cukup aktif pada waktu malam secara langsung. Perlu diingatkan, anda dilarang membawa lampu suluh dan kamera ber-flash kerana ia akan menakutkan haiwan. Night safari Zoo Taping beroperasi sehingga pukul 12 tengah malam pada malam sebelum cuti am.

5) Milky Way di Padang Melangit
Lokasi ini semakin popular dalam kalangan pencinta fotografi malam kerana di Milky Way, Padang Melangit, Perlis ini terdapat banyak kawasan lapang yang tidak terganggu oleh lampu-lampu dari penempatan mahupun jalan raya. Jika anda baru berjinak-jinak dengan dunia fotografi, saya cadangkan anda ke sini kerana kemeriahan bintang di langit bukan setakat boleh dilihat menggunakan mata kasar, malah ianya sangat cantik jika dirakamkan kamera SLR anda.

3-kompas ny

Anda boleh memilih untuk berkhemah di mana-mana sahaja, tetapi pastikan anda merujuk dengan warga tempatan terlebih dulu tentang lokasi tapak khemah pilihan anda.

6) Lawatan Bencana
Barangkali tahun ini anda patut lupakan keseronokan sambutan tahun baru dan sama-sama berkongsi kesusahan mereka yang berdepan musibah banjir. Malah tahun ini juga merupakan tahun sarat dugaan bagi negara kita. Jadi tidak salah rasanya untuk anda melepaskan kemeriahan keraian tahun baru dan menunjukkan sokongan kepada mereka yang memerlukan.

Anda boleh merujuk sahabat-sahabat anda dari Pantai Timur yang terjejas akibat bencana banjir. Cadangkan kepadanya yang anda mahu menyumbangkan tenaga membantu mereka dan melibatkan diri sebagai sukarelawan.

Anda harus bersedia untuk tidur di pusat pemindahan banjir jika perlu dan rasai sendiri pengalaman dan perasaan mereka yang saban tahun melaluinya. Jangan lupa bawa kamera anda kerana mungkin ada banyak momen berharga yang boleh dijadikan pelajaran dan rujukan anda di masa akan datang.

Sehingga jumpa lagi, Bon Voyage 2014, Helo 2015!

Kredit foto: Climbingmtkinabalu/Malaccatourism/VirtualMalaysia

KONGSI
Artikel sebelumnyaSolekan remaja Nelydia Senrose bersama Collection
Artikel seterusnyaMetamorfosis Seni Lisa Surihani
Memulakan kerjaya sebagai pramugara dan seterusnya melebarkan sayap sebagai wartawan penyiaran yang kemudiannya membuka ruang untuk bergelar pengacara rancangan travelog untuk beberapa stesen televisyen tempatan. Antara rancangan kendaliannya termasuklah 3 Hari 2 Malam, Jelajah Ramadan dan yang terbaharu, Aroma Tradisi yang bukan sekadar menjelajah tetapi memperkenalkan makanan tradisi kepada khalayak. Beliau yang sememangnya gemar melancong dan telah mengunjungi pelbagai negara tidak suka menggunakan aplikasi navigasi yang terdapat pada gajetnya. Baginya, jika sesat jalan, jangan malu bertanya dan akan membuka lebih banyak peluang pengetahuan yang asli dan tidak akan dilupakan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini