Gaya Hidup

Kerja tangan duo ‘tukang kayu’ muda

By  | 

BUNYI mesin pemotong kayu kedengaran jelas di halaman rumah yang diubah suai menjadi sebuah bengkel mini itu. Serbuk kayu pula berterbangan diusung angin, gugur berkelompok dan membentuk ‘permaidani’ berwarna coklat di permukaan lantai. Suasana dan pemandangan itulah yang menjadi rutin harian kepada dua lelaki, Daniel Salehuddin dan Khairul Asyraf Zulkifli.

Bagi dua ‘tukang kayu’ berusia 26 tahun itu, bergelumang dengan kayu adalah sebahagian kepuasan dalam menjelmakan kreativiti reka cipta mereka. Jarang kita melihat anak muda memilih kerjaya sebagai pencipta perabot sebagai punca pendapatan dominan.

15-fgs

KHAIRUL Asyraf kini mula meminati industri reka cipta yang diceburinya.

Namun Daniel dan Khairul Asyraf memiliki visi lebih luas tentang dunia pertukangan. Mereka tidak sekadar mahu mengeluarkan produk berasaskan kayu, malah merancang membina sebuah perusahaan reka cipta yang didasari oleh kemahiran, kreativiti dan kualiti.

Sebelum duo itu berkolaborasi di bawah nama Fine Grit Studio yang bergerak secara rasmi pada Oktober 2014, Daniel terlebih dahulu memulakan profesion pertukangan secara solo bermula 2013.

Minatnya terhadap bidang reka cipta terbit sejak di bangku sekolah ketika mempelajari subjek Teknologi Kejuruteraan. Rak kasut merupakan ciptaan pertama Daniel ketika bergelar pelajar sekolah menengah dan rak tersebut masih digunakan sehingga kini.

DANIEL mahir menghasilkan kotak pelbagai saiz dan rekaan.

DANIEL mahir menghasilkan kotak pelbagai saiz dan rekaan.

“Sejak itu saya memutuskan untuk menyertai industri ini. Memandangkan kemahiran mengendalikan kayu telah diperoleh, saya menyambung pengajian dalam jurusan diploma fabrikasi logam di Universiti Kuala Lumpur Institut Malaysia Perancis (UniKL MFI), Bangi, Selangor bagi mempelbagaikan kemahiran reka cipta.

“Kemudian saya melanjutkan pengajian dalam bidang ijazah sarjana muda seni reka industri sebagai pelengkap pendidikan dalam selok-belok industri reka cipta,” kongsi Daniel ketika ditemui Pepatung di bengkel Fine Grit Studio di Bangi baru-baru ini.

Tamat pengajian, Daniel tidak teragak-agak untuk bekerja sendiri. Seorang diri, dia berhasil menerima tempahan bagi mencipta kotak bervariasi; kotak cincin, kotak jam tangan atau kotak hadiah untuk dijadikan pemberian pada resepsi perkahwinan.

KOTAK cincin merupakan antara hasil kerja kreatif Daniel di bawah Fine Grit Studio.

KOTAK cincin merupakan antara hasil kerja kreatif Daniel di bawah Fine Grit Studio.

Selepas bergerak solo selama setahun, Khairul Asyraf yang baru menamatkan pengajian dalam jurusan ijazah sarjana muda kejuruteraan mekanikal reka bentuk dan inovasi di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyertai Daniel dan memungkinkan penubuhan Fine Grit Studio.

“Kami bersahabat baik sejak sekolah rendah. Sebelum adanya Fine Grit Studio, kami pernah bekerjasama untuk satu projek pertukangan pada Mac tahun lalu. Pada awalnya saya merancang untuk menyertai industri kejuruteraan tetapi rezeki saya bekerja dengan Daniel,” ujar Khairul Asyraf yang berkemahiran menghasilkan ukiran khat kufi.

Kayu tempatan

Serius dalam bidang reka cipta, dalam tempoh hampir tujuh bulan beroperasi, mereka mula mengumpulkan pelanggan tetap yang terdiri daripada kelompok persendirian (individu) dan entiti korporat (syarikat).

Kehalusan kerja tangan mereka amat digemari para pelanggan. Malah majoriti produknya menggunakan kayu-kayu tempatan yang dikatakan lebih tahan lama berbanding kayu import.

UKIRAN khat kufi ini dihasilkan menggunakan kombinasi tiga jenis kayu tempatan.

UKIRAN khat kufi ini dihasilkan menggunakan kombinasi tiga jenis kayu tempatan.

“Sekarang trend orang menggunakan kayu pain terutama bagi produk popular seperti pallet yang dijadikan katil, kerusi atau meja.

“Sedangkan kayu-kayu tempatan seperti meranti, nyatoh, semangkok dan kasah lebih berkualiti dalam konteks penggunaan setempat kerana kebanyakan kayu kita tergolong dalam kategori kayu keras (hard wood).

“Ia mampu bertahan lama disebabkan keupayaannya menyesuaikan diri dengan iklim Malaysia. Malah ia juga mudah diperoleh, jadi tidak timbul kebimbangan kekurangan stok,” jelas Daniel.

Begitupun cabarannya tetap ada. Pergerakan kayu dan cuaca menjadi gangguan utama dalam pekerjaan mereka. Apabila cuaca panas, kayu akan mengering dan mengecut. Sebaliknya terjadi ketika hujan, kayu akan lembap dan mengembang. Justeru sebelum memulakan sebarang projek, perancangan teliti amat diperlukan dengan mengambil kira faktor cuaca dan jenis kayu yang dikendalikan.

Kemasan

Ukiran khat kufi yang dijadikan penghias dinding dan kotak merupakan dua produk teras Fine Grit Studio. Dalam masa yang sama, Daniel dan Khairul Asyraf juga menghasilkan perabot bersaiz besar seperti rak buku, meja makan, almari terbuka dan kerusi mengikut rekaan spesifik pelanggan.

Setakat ini, rak buku berbentuk kubah menjadi hasil kerja paling mencabar kepada mereka. Ia merupakan permintaan pelanggan yang meminjam rekaan pereka lain. Bagi mengelakkan percanggahan hak milik rekaan, mereka berdua lebih selesa mengubah rekaan luar mengikut spesifikasi dan kreativiti tersendiri.

PROSES kemasan diperhalusi dengan teliti bagi mendapatkan perabot yang berkualiti tinggi.

PROSES kemasan diperhalusi dengan teliti bagi mendapatkan perabot yang berkualiti tinggi.

“Adakalanya pelanggan tampil dengan rekaan yang tidak sesuai untuk dijelmakan secara realiti. Justeru kami akan menjelaskan kepada mereka pengubahsuaian yang realistik mengikut konsep asal mereka,” tambah Khairul Asyraf yang berpesan kepada pelanggan agar menyediakan sekurang-kurangnya lakaran kasar sebelum melakukan sebarang tempahan.

Apabila menyentuh tentang perabot tempahan, pastinya harga menjadi keresahan pelanggan. Sejujurnya, Khairul Asyraf mengingatkan kepada semua betapa produk yang ditempah khusus dan dihasilkan menggunakan tangan memang mahal berbanding barangan yang dibeli di kedai-kedai perabot biasa atau pasar raya.

Perabot dari kilang dihasilkan dalam skala besar menggunakan mesin. Justeru apa yang membezakan hasil kerja Fine Grit Studio adalah kemasan setiap produknya.

PENGGUNAAN kayu tempatan lebih menjamin ketahanan berbanding kayu import.

PENGGUNAAN kayu tempatan lebih menjamin ketahanan berbanding kayu import.

Setiap proses pembuatan bermula daripada pemilihan kayu sehinggalah kepada kemasan akhir diperhalusi dan dilakukan dengan penuh ketelitian.

Biarpun perabot dapat disiapkan dalam tempoh singkat, meja misalnya hanya memakan masa empat jam untuk dihasilkan, namun fasa kemasan yang menjadi penentu kepada kualiti keseluruhan perabot.

Di bawah fasa kemasan, Daniel dan Khairul Asyraf perlu mengulangi proses merata, melicin, memvarnis (gelap dan lutsinar) dan menggosok selama hampir dua minggu bagi memastikan permukaan produk licin dan sekata.

FINE Grit Studio turut menganjurkan kelas bagi mereka yang berminat mempelajari proses-proses reka cipta produk.

FINE Grit Studio turut menganjurkan kelas bagi mereka yang berminat mempelajari proses-proses reka cipta produk.

“Kotak kecil dengan rekaan standard pula dapat disiapkan dalam masa dua hari. Kini kami turut merancang untuk mengeluarkan papan pemotong sebagai produk bagi pasaran luas,” dedah Daniel yang menambah bahawa kini mereka mula berjinak-jinak mengendalikan besi ekoran permintaan pelanggan.

Pelan jangka panjang dua pemuda itu adalah untuk berpindah ke bengkel lebih besar dilengkapi ruang pameran dan kafe. Malah tidak lama lagi mereka bakal menambah produk berasaskan kulit.

“Kami berhasrat untuk mengembangkan Fine Grit Studio sebagai sebuah hub reka cipta kreatif. Maka para pelanggan tidak akan melihat produk berasaskan kayu sahaja bahkan ia akan meliputi seluruh genre seni reka termasuk pakaian,” begitu harapan Daniel yang juga telah menganjurkan kelas reka cipta bagi mereka yang berusia 10 tahun ke atas.

Info Fine Grit Studio
Laman web: www.finegritstudio.com
Instagram: @finegritstudio
Lokasi: 807G, Jalan Seksyen 1/16, Seksyen 1, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.
Telefon: 019-258 1415
E-mel: [email protected]

Nota: Kesemua foto merupakan milik mutlak Pepatung dan ihsan Fine Grit Studio. Sebarang penggunaan atau penerbitan semula perlu dikredit termasuk menyertakan pautan alamat portal ini.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

1 Comment

  1. Lily

    19 September 2015 at 9:56 AM

    Terima kasih atas artikel yg sangat informatif ini!

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *