Efek placebo alat pembohongan bomoh dan pengusaha suplemen palsu

0
48

PLACEBO merupakan sejenis perubatan yang menggunakan bahan tidak aktif dan tidak memberi sebarang tindak balas kepada tubuh badan dan bertindak sebagai alternatif ubat-ubatan bagi merawat penyakit-penyakit tidak kronik.

Secara umum, penyakit dapat disembuhkan apabila pesakit berjaya mencapai kesihatan hanya dengan berfikiran positif dan mempercayai bahawa ubat itu boleh menyembuhkan penyakit yang dihidapi.

FOTO / BUSINESS INSIDER

Sejarah 

Pada tahun 1996, seramai 56 orang sukarelawan telah mengambil bahagian dalam ujian pengambilan painkiller atau ubat tahan sakit baharu yang dikendalikan sekumpulan saintis.

Ujian itu sangat ringkas. Para sukarelawan hanya perlu disapu ubat tahan sakit pada satu jari telunjuk dengan satu lagi jari telunjuk tidak disapu.

Kemudian, kedua-dua jari telunjuk itu diketam dengan penyepit. Selepas beberapa minit, saintis bertanya kepada kesemua sukarelawan jari mana yang lebih sakit.

Kesemua 56 sukarelawan menjawab, jari telunjuk yang tidak disapu ubat tahan sakit lebih terasa sakit berbanding jari telunjuk yang disapu.

Namun, tahukah anda, jari yang kononnya disapu dengan ubat tahan sakit tersebut hanyalah cecair biasa iaitu air kosong?

Dan punca para sukarelawan mengatakan bahawa jari yang disapu ubat tahan sakit kurang terasa sakit adalah kerana kesan Placebo.

Kesan Placebo

FOTO / YOUTUBE

Lantas, sejak awal kurun ke-18 lagi, para doktor telah memberi ubat-ubatan palsu kepada para pesakit apabila pihak hospital kekurangan ubat-ubatan tulen.

Begitupun, ramai pesakit sembuh. Kesan placebo memberikan aura positif kepada tubuh badan.

Ketika pemikiran kita telah ditetapkan dengan ubat yang dimakan akan menyembuhkan, ia akan memberikan perubahan pada aliran darah, degupan jantung serta perubahan biokimia dalam tubuh badan.

Namun untuk penyakit-penyakit yang melibatkan pembedahan utama, pesakit memang memerlukan ubat-ubatan tulen kerana kesan placebo hanya terbatas kepada penyakit-penyakit tidak kronik sahaja, misalnya demam biasa.

Ini tidak menghairankan dengan lambakan ubatan atau suplemen palsu yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, kononnya berupaya menyembuhkan seribu macam penyakit.

Kebanyakan pelanggan yang mengambil suplemen atau ubatan palsu tersebut sebenarnya telah terkena kesan placebo.

“Pada zaman sekarang, ramai usahawan mengambil kesempatan tentang keberkesanan efek placebo terhadap pesakit. Ini termasuklah dengan dakwaan kononnya dengan mengambil sesuatu suplemen atau ubatan, orang yang lumpuh boleh disembuhkan, bahkan lebih hebat, pesakit lumpuh tersebut boleh berlari.

“Fenomena ini sangat menakutkan kerana dengan lambakan suplemen tiruan, pesakit mungkin akan sembuh dengan penyakit yang dihidapi (kesan Placebo), tetapi pesakit berkemungkinan besar akan terdedah terhadap penyakit kronik lain, misalnya kegagalan fungsi hati dan ginjal, serangan jantung dan sebagainya.

“Apabila seseorang mengambil suplemen, mereka disarankan dengan membuat ujian darah untuk menguji tahap toksin di dalam organ hati,” jelas Dr. Izzati Wahab, 29, yang merupakan seorang pakar nutrisi di jabatan nutrisi dan pemakanan di sebuah hospital swasta.

Umum juga mengetahui, bawang putih sebenarnya lebih berkesan berbanding vitamin C bagi melawan virus-virus yang menyerang tubuh badan. Namun, kerana ramai pesakit mempercayai bahawa vitamin C lebih efektif dalam melawan virus maka, vitamin C secara popularnya lebih mujarab.

FOTO / THREE CHINGUZ

Selain itu, orang zaman dahulu juga lebih yakin dengan pawang, bomoh atau dukun dalam mengubati penyakit. Dan kebanyakan bomoh atau dukun pasti mengatakan punca penyakit adalah disebabkan gangguan hantu (syaitan) atau jin.

Pola kepercayaan zaman dahulu lebih tertumpu terhadap kaedah meminum air jampi atau mandi bunga. Dengan cara itu, segala bentuk penyakit atau gangguan dikatakan mampu disembuhkan.

Mungkin tidak semua pawang, dukun atau bomoh membohongi pesakit kerana hal-hal ghaib tidak dapat disangkal keberadaannya.

Dukun palsu bolehlah disamakan dengan pengusaha suplemen atau kosmetik palsu yang menipu pengguna atau pesakit demi meraih pulangan lumayan. Ia wajar dibendung kerana mereka bukan sahaja memberi harapan palsu, malah ada antara pengguna berhabis wang tetapi terkena penyakit lain akibat kesan suplemen palsu tersebut.

Masyarakat Malaysia kebanyakannya taksub untuk mendapatkan kulit putih dan gebu bak salju sehingga ada pengusaha yang mencipta suplemen atau krim sapuan yang kononnya boleh memutihkan kulit.

Ini telah menyebabkan sebilangan pengguna mengalami masalah kulit mengelupas dan kemerah-merahan apabila terkena sinaran matahari.

FOTO/SCIENCEBASEMEDICINE
Apabila sampel bahan-bahan di dalam produk atau suplemen tersebut dihantar ke makmal untuk ujian, didapati ia mengandungi raksa yang tinggi serta berpotensi mengakibatkan kanser kulit.

Jadilah pengguna yang bijak dengan menajamkan pemikiran dan meletakkan diri dalam persekitaran positif. Hanya dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang, rutin harian yang sihat, memadai untuk menyingkirkan pelbagai caj negatif dalam tubuh badan.

Misalnya, bagi orang Islam, ada antara mereka yang mengamalkan meminum air yang telah dibaca dengan surah Yasin. Ketahuilah bahawa air yang telah dibaca dengan surah Yasin atau ayat-ayat al-Quran sebenarnya tidak menyembuhkan atau memudaratkan, kerana yang menyembuhkan hanyalah dengan kuasa Allah.

Konsep ini juga jelas, dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, ia dikatakan dapat memberi kesan-kesan positif kepada air tersebut dan minda manusia. Dalam pada masa yang sama, kesan Placebo itu turut terjadi dengan izin Allah.

Orang bukan Islam pula misalnya, gemar bermeditasi dan ada antara mereka yang konservatif memilih untuk bertapa di gunung-gunung atau tempat sunyi. Ia difahamkan mampu menjana caj positif dari dalam diri.

Orang ramai juga perlu sentiasa berhati-hati apabila mengambil sesuatu suplemen dengan memastikan bahan-bahan terlarang tidak terdapat dalam suplemen atau ubatan tersebut.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini