Gaya Hidup

Kanvas bernyawa Emmy Diana

By  | 

SEAWAL pukul 6 pagi matanya sudah celik. Waktu kebanyakan warga kota masih mahu berselubung dalam selimut, dia sudah memulakan kerja. Meskipun tinggal di tengah-tengah hutan konkrit, angin pagi yang mengusap tubuhnya sentiasa berhasil memberi kedamaian.

2-emmyFOTO/PEPATUNG

Sapaan pagi alam kepadanya bagai satu sorakan semangat untuk berkarya. Di sebuah ruang berlantai kayu, berlatarkan pohon-pohon hijau kecil, Emmy Diana Abdullah duduk bersendiri. Kanvas putih di hadapannya mula dicorakkan. Lama-kelamaan dia tenggelam dalam penghayatan, memvisualkan isi cerita dan perasaan dalaman pada sebuah seni bernama lukisan.

Pada usia 38 tahun, barulah Emmy berjaya bersatu sepenuhnya bersama minat terulungnya itu; melukis. Sebelum ini, ia hanyalah satu hobi. Menjadi pelepas emosi paling efektif di luar waktu pejabat. Sekarang melukis tidak hanya kerjaya sepenuh masa, malah kekal sebagai terapi peribadi terunggul dalam hidupnya.

“Bukan keuntungan yang saya cari. Nilai setiap lukisan yang saya hasilkan diukur berdasarkan pemahaman seseorang terhadap mesej di sebalik lukisan itu sendiri. Maka saya lebih berminat menjual karya saya kepada individu yang bukan setakat menghargai seni, namun memahami erti sesebuah karya,” Emmy memulakan bicara.

7-emmyFOTO/PEPATUNG

Melihat pada penampilan Emmy, tidak siapa akan menyangka dia mempunyai bakat besar sebagai pelukis. Paras rupa yang cantik, sentiasa mengenakan busana menawan, gaya yang sering ditatarias dan keperibadian yang menyenangkan, ciri-ciri itu barangkali agak bertentangan dengan perspektif masyarakat terhadap ‘orang seni’ khususnya pelukis.

Emmy merupakan bukti terhadap kewujudan orang seni yang tidak hidup dalam pengasingan, berwajah serius, berfikir menjangkaui batas kemampuan manusia mahupun berpakaian biasa-biasa. Jelitawan ini murah senyuman, ringan berbual, mudah bergaul dan bijak berfesyen!

Biarpun agak lambat memulakan profesion seni, bakat semula jadinya tidak terkurang sedikitpun. Sejak di bangku sekolah, kebolehan Emmy terserlah. Cuma dia senasib dengan remaja-remaja sezamannya, ketika ibu bapa masih memandang cabang seni sebagai satu pelaburan pendidikan tanpa masa depan. Justeru dia mengubah haluan terhadap bidang korporat.

9-emmyFOTO/PEPATUNG

“Namun semakin anda dewasa, semakin besar kuasa anda perolehi bagi mengatur kehidupan sendiri. Alhamdulillah kini saya gembira kerana dapat kembali memulakan apa yang pernah saya tinggalkan seketika.

“Semuanya bermula pada tahun 2003. Kerana tidak tahu bagaimana mahu meluahkan gelora perasaan ketika itu, saya beli satu kanvas besar dan hasilkan sebuah lukisan yang memaparkan bentuk-bentuk hati pelbagai emosi. Tidak disangka karya yang dihasilkan saat melewati fasa getir itu menjadi dan ingin dibeli orang.

“Hanya pada tahun 2009 saya kembali aktif melukis secara separuh masa. Itupun saya lakukan atas dasar keinginan merealisasikan cita-cita remaja, tanpa sebarang perancangan menjadikan ia sebagai satu sumber pendapatan,” kongsi Emmy yang telah menjadikan melukis sebagai profesion sepenuh masa kira-kira dua bulan lalu.

Setiap lukisan yang dihasilkan mewakili emosi tersendiri. Nyawa karya-karya itu hanya mampu dihidupkan mereka yang berupaya menyelami tepat emosi di sebaliknya. Apabila pelanggan Emmy meminta dihasilkan sebuah lukisan buat mereka, pertemuan empat mata pun diatur. Tujuannya bagi membolehkan Emmy mengenali serba sedikit karakter pelanggannya dan emosi sebenar yang mahu diinterpretasikan ke dalam lukisan itu nanti.

8-emmyFOTO/PEPATUNG

“Lukisan yang saya hasilkan untuk mereka bukanlah sekadar hiasan di dinding. Namun ia berkaitan dengan diri mereka. Ia satu medium luahan perasaan yang tertahan tanpa boleh disalurkan kepada telinga-telinga manusia. Sangat peribadi!” tambah Emmy yang akan terbang ke United Kingdom pada Julai depan bagi mengikuti kursus dalam bidang seni kontemporari di Sotheby’s Institute of Art.

Dua jam merupakan tempoh terpantas bagi Emmy menyudahkan sebuah lukisan. Bagaimanapun bagi lukisan di atas kanvas kecil yang memerlukan ketelitian tinggi dengan perincian rumit, ia akan memakan masa hampir seminggu untuk disiapkan.

Panorama terbit dan terbenamnya matahari antara tema lukisan kegemaran Emmy. Selagi ia berkisar tentang alam semula jadi dan keindahan kehidupan, mudah bagi Emmy untuk melenturkan berusnya di atas kanvas.

Persekitaran juga mempengaruhinya untuk berkarya. Kebanyakan masa Emmy selesa melukis bertemankan muzik downtempo. Emosi dan tema lukisan yang ingin dihasilkan juga perlu disesuaikan dengan suasana sekeliling agar tidak merosakkan tumpuan.

Info
Facebook: Em’s Art Studio
Instagram: @emmylicious77

FOTO LUKISAN/EMMY DIANA

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

1 Comment

  1. Sharifah Sharina Syed Aswad

    16 June 2015 at 6:35 PM

    Gaya penulisan yang sungguh bermutu. Saya ingatkan saya membaca artikel suratkhabar.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *