Jawapan kepada soalan klise di kenduri

0
50

Gossip-Girls

BULAN Disember kunjung tiba. Maka berderetlah undangan majlis perkahwinan perlu dipenuhi. Seronok sungguh datang kenduri, selain boleh makan percuma, berkumpul saudara-mara dan rakan lama, waktu inilah paling disukai geng mak cik kepoh (kepoci aunties)! Sambil tunggu-tunggu pengantin bersanding, mata dan radar mereka mula aktif. Nampak sahaja sasaran, mulalah mereka mengatur langkah. Strateginya mudah sahaja, datang dekat-dekat berserta senyum di wajah, berbasa-basi bertanya khabar dan lantas memulakan serangan.

Ancaman oleh geng makcik kepoh ini adalah soalan-soalan klise yang sangat tidak digemari ramai orang. Jadi sebelum anda disoal siasat, persiapkan diri anda dengan cadangan jawapan tidak munasabah dan berbahaya seperti di bawah.

1) Wah dah besar panjang kau sekarang, dulu kecil sahaja! Baiklah ini bukan soalan tetapi kenyataan klise pertama yang akan terpacul daripada mulut geng mak cik kepoh! Sekali-sekala boleh terima, tetapi kalau tiap-tiap tahun cakap anda sudah besar panjang, apa kata anda jawab balik kepada makcik itu, “Wah mak cik pun semakin besar sekarang, berkedut lagi.”

2) Kerja apa/di mana sekarang? Soalan yang agak mudah. Namun sebenarnya ini adalah helah geng mak cik kepoh untuk merangkai soalan-soalan seterusnya. Jadi bagi menamatkan perbualan tidak menyenangkan ini, anda jawab dengan ringkas dan penuh kealiman, “Pekerjaan yang halal.”

3) Wah mesti pangkat besar, berapa gajinya? Maka inilah antara rantaian bagi soalan sebelum ini. Kalau anda terperangkap, elakkanlah menjawab “Adalah sikit-sikit” ataupun “Cukuplah menyara diri dan keluarga” kerana geng mak cik kepoh akan terus mengasak anda. Sebaik-baiknya anda menjawab, “Satu jam saya dibayar RM12, didarab dengan lapan jam sehari menjadi RM96, seminggu saya bekerja 5 hari beerti RM96 didarabkan 5, dalam sebulan ada 30 hari, setiap minggu off day 2 hari, jadi jawapan kepada kira-kira inilah gaji saya.” Kalau mak cik itu guru Matematik atau pakar ilmu hisab, mohon cipta jawapan lain.

4) Wah bukan main berisi kau sekarang, bahagia ke? Soalan paling tidak relevan. Tambahan lagi bila ia diajukan ketika anda sedang galak ceduk lauk di meja bufet, tiba-tiba muncul salah seorang geng mak cik kepoh bertanya soalan ini. Maka anda pun senyumlah dan katakannya kepadanya, “Sangat bahagia dan akan lebih bahagia jika tidak terserempak dengan mak cik.” Kemudian, sambung ceduk lauk, pilih ayam besar tinggalkan tulang untuk dia.

5) Wah bukan main kurus kau sekarang, sakit/diet ke? Inilah masalah geng mak cik kepoh, berisi dikatakan bahagia, bila kurus dituduh sakit ataupun sedang diet. Maka kalau anda disyaki sakit, jawablah, “Ya mak cik, sakit mata, depan ada laser.” Bagi anda yang dikatakan tengah berdiet itu lebih mudah, jawab dan tanya semula kepadanya, “Mestilah. Mulut mak cik tak mahu diet ke? Makin besar sekarang.”

6) Belum ‘berisi’ lagi ke? Soalan ini khusus untuk para isteri yang belum merancang menimang cahaya mata atau masih belum dikurniakan rezeki. Sibuk betulkan geng mak cik kepoh ini? Jadi anda jawab penuh dengan diplomasi, “Belum lagi, tunggu mak cik mengandung juga, boleh bersalin sama-sama.”

7) Bila nak kahwin? Ibu kepada semua soalan. Secara dasarnya, orang bujang merupakan mangsa kegemaran geng mak cik kepoh. Bertepatan dengan tema kenduri, majlis perkahwinan, maka semangatlah mereka menyoalkan bila anda akan mendirikan rumah tangga sedangkan anda sendiri belum ada perancangan. Pastikan anda segak ketika menjawab soalan ini, “Mak cik, ku tunggu jandamu. Kemudian kita kahwin.” Lepas itu, sila tinggalkan majlis jika tidak mahu dihunus oleh keris pengantin lelaki yang dicuri suami mak cik tadi.

Peringatan: Pepatung tidak bertanggungjawab di atas segala risiko sekiranya anda memilih untuk menggunakan cadangan jawapan di atas.

KONGSI
Artikel sebelumnya34 fakta Britney Spears anda tidak tahu
Artikel seterusnyaMandiri Pride And Honour Neonate
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini