Inspirasi

Tolak tawaran kerja luar negara, anak tunggal ini pilih berbakti kepada ibu bapanya yang uzur

By  | 

KECEKALAN seorang anak tunggal yang setia menjaga ibu bapanya benar-benar menginspirasikan. Kedua-dua ibu bapa Al-Amin Tamrin kini sudah tidak mampu bekerja.

Ibunya, Ainon Abu Bakar kini hampir 11 tahun menghidap penyakit buah pinggang. Ainon berasal dari Singapura manakala suaminya, Tamrin Arab berasal dari Sumatera sebelum berhijrah ke Malaysia.

Tamrin, 78, pernah bekerja sebagai buruh pembinaan dan mengambil upah membuat kerja-kerja kontrak. Bagaimanapun keuzuran telah membuatkan dia tidak lagi berdaya bekerja.

FOTO/TONGKAT ALI

Pada mulanya, Ainon, 64, menceritakan bahawa dia hanya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Setiap hari saya akan menyuntik insulin dan mengambil ubat-ubatan untuk dua penyakit tersebut.

Walaupun saya menghidap kencing manis dan darah tinggi, ia tidak membataskan saya untuk bekerja dan mengambil upah menjahit. Saya masih kuat ketika itu,” Ainon memulakan bicara.

FOTO/INLIFE HEALTHCARE

Namun, sekitar tahun 2009, sewaktu Al-Amin pulang dari sekolah, dia menemui ibunya terbaring pengsan di dalam rumah. Dalam keadaan panik, Al-Amin terus menghubungi ambulans. Ketika itu ayahnya sedang bekerja di luar.

Selepas hampir dua minggu di hospital, doktor mengesahkan Ainon menghidapi penyakit buah pinggang.

Pada mulanya saya tidak dapat menerima kenyataan. Saya terus membayangkan kos rawatan yang terpaksa ditanggung dan keterbatasan untuk bergerak.

“Saya juga perlu berpantang dan tidak boleh makan sembarangan. Dialisis pula perlu dilakukan sebanyak tiga kali seminggu.

Tiga bulan pertama kehidupan kami agak sukar kerana sumber pendapatan yang tidak menentu. Menguruskan belanja rumah dan perbelanjaan sekolah Al-Amin. Selain terpaksa menampung kos sesi mencuci darah,” sambung Ainon yang pernah mengambil tempahan membuat kuih dan menjahit baju bagi menampung perbelanjaan.

Pada peringkat awal, pihak hospital tidak dapat menyediakan slot dialisis untuk Ainon kerana bilangan mesin yang terhad. Pesakit buah pinggang pula terlalu ramai.

Hanya apabila berlaku komplikasi seperti jangkitan, pembedahan untuk tiub yang sudah pecah, barulah prosedurnya dilakukan di hospital.

Pihak hospital mencadangkan Ainon mencuci darah di pusat dialisis di luar. Maka bermulalah rutin baharu Ainon menjalankan dialisis sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap sesi memakan masa selama empat hingga lima jam, bergantung kepada giliran.

FOTO/KAPITAL STREREO

Selama hampir empat bulan saya membuat dialisis dengan kos rawatan tanggungan sendiri. Kemudian, suami berjaya mendapatkan bantuan daripada Pusat Zakat Selangor.

“Saya amat bersyukur kerana menerima bantuan kos rawatan dialisis di bawah kategori asnaf.

“Hospital bagaikan hotel buat saya. Kekerapan berulang terutama apabila mengalami komplikasi, saya akan ditahan di wad.

“Setiap wajah-wajah mesra jururawat di unit dialisis telah saya kenali. Mereka ibarat saudara kepada saya,” tambah Ainon.

Kehidupan mereka diuji sekali lagi apabila Al-Amin menyambung pengajian di peringkat diploma. Kos untuk menampung pendidikan di universiti yang mahal membuatkan mereka berasa begitu terhimpit.

Sejak saya memulakan pengajian di universiti, saya berazam untuk belajar bersungguh-sungguh. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan. Lembaga Zakat Selangor turut membiayai sepenuhnya pembiayaan pengajian saya.

Sepanjang tiga tahun saya menyambung pelajaran, setiap minggu saya akan pulang ke rumah untuk melihat keadaan ibu bapa.

Ketika itu, ibu masih mampu untuk membuat kerja-kerja ringan. Saya masih ingat, sebelum saya pulang ke kampus, ibu pasti akan menyediakan bekal untuk saya,” imbas Al-Amin, 25, graduan Universiti Selangor (Unisel), Bestari Jaya.

Setiap kali cuti semester, Al-Amin akan bekerja separuh masa di kedai-kedai sekitar Wangsa Maju atau Taman Melati, Kuala Lumpur bagi membantu perbelanjaan rumah dan pengajiannya untuk semester baharu.

Tahun berganti tahun, akhirnya pada 2013, Al-Amin berjaya menamatkan pengajian. Bagaimanapun, sehari sebelum istiadat konvokesyen, ibunya terpaksa ditahan di hospital kerana berlakunya komplikasi pada tiub.

Saya sungguh kecewa dan sedih. Hari bahagia yang patut diraikan bersama ibu bapa tercinta punah sekelip mata. Saya ingin berkongsi kejayaan berjalan di atas pentas menerima skrol diploma bersama mereka.

Saya juga tidak berkesempatan untuk meraikan dan bergambar bersama rakan-rakan sekuliah kerana saya perlu ke hospital. Ketika itu keadaan ibu agak kritikal dan harapan untuknya pulih seakan tipis.

Doktor juga menjelaskan bahawa ibu tidak boleh dibedah kerana lapisan lemak di perut agak tebal dan akan merisikokan nyawa ibu saya,” imbas Al-Amin

Alhamdulillah, segalanya lancar. Selepas hampir 12 hari ditahan di unit rawatan rapi, kesihatan Ainon mula menunjukkan kemajuan. Pembedahan menukar tiub di paha juga berjaya dilaksanakan.

Ainon dibenarkan pulang ke rumah, tetapi sesi untuk dialisis tetap berjalan seperti biasa. Sejak itu, Ainon mendapati tubuhnya tidak sekuat dahulu.

Keadaan tubuh yang mudah letih dan tidak boleh berjalan dengan kuat memaksa Ainon untuk berehat sahaja di rumah. Sejak kebelakangan ini juga, selepas sesi dialisis, Ainon akan berasa cepat letih dan pening-pening.

Tamat pengajian, Al-Amin berjaya mendapatkan pekerjaan tetap. Kini Al-Amin yang akan menghantar ibunya menjalani dialisis tiga kali seminggu sebelum ke pejabat.

Ibu dan ayah sudah uzur dan kadangkala saya terpaksa mengambil cuti kerana keadaan ibu yang sering tidak sihat. Barangkali orang beranggapan saya sering bercuti untuk berhibur atau berehat. Sedangkan masa saya banyak dihabiskan di rumah sahaja.

Sekiranya jadual dialisis ibu saya bertindih dengan waktu kerja, saya akan menghantarnya ke hospital. Tamat sesi dialisis, saya akan menghubungi Grab atau Uber untuk membawanya pulang ke rumah. 

Kos tambang untuk pulang ke rumah juga murah kerana di antara rumah dan Hospital hanya kira-kira tiga kilometer,” ujar Al-Amin.

FOTO / MAWAR MEDICAL CENTRE

Difahamkan penyakit ginjal merupakan antara penyakit yang banyak dihidapi rakyat Malaysia. Kekurangan meminum air masak, pengambilan suplemen yang tidak diperlukan serta pengambilan makanan tidak seimbang yang tinggi kandungan garam antara penyumbang terhadap penyakit tersebut.

Fungsi buah pinggang atau ginjal adalah untuk menapis toksin dan berkumuh. Terdapat dua buah organ sebesar kacang itu di kiri dan kanan.

Tanda-tanda awal penyakit buah pinggang atau ginjal adalah berasa letih yang melampau. Ia terjadi akibat kegagalan ginjal menghasilkan hormon yang mencukupi bagi menghasilkan sel darah merah.

Kemudian, terjadinya pembengkakan di salah satu anggota tubuh, loya dan muntah-muntah akibat pengumpulan sisa kumuhan di dalam tubuh.

Tanda awal turut membuatkan individu berasa seperti ada logam di dalam mulut, pening, cepat letih, berasa sejuk anggota badan walaupun keadaan cuaca panas dan mengalami kegatalan yang teruk.

Berbalik kepada Al-Amin, dia mendedahkan bahawa keluarganya sangat merindui untuk untuk berkumpul dengan saudara-mara yang berada jauh di selatan tanah air.

Disebabkan faktor kewangan dan kesihatan ibunya, sukar untuk mereka mengharungi perjalanan jauh.

Banyak cita-cita terpaksa saya korbankan demi kasih dan tanggungjawab kepada ibu dan bapa. Saya menerima dua tawaran untuk bekerja di Riyadh, Arab Saudi dan Belfast, Ireland Utara.

Namun, saya terpaksa menolak peluang tersebut. Jika saya ke sana, kepada siapa mereka akan bergantung? Al-Amin reda.

Kini, Al-Amin masih berlapang dada menjaga ibu bapanya yang meniti usia senja. Waktunya dibahagikan untuk kerja, menguruskan ibu bapanya dan rumah. Harapan Al-Amin adalah untuk menjaga ibu bapanya sehingga ke akhir hayat.

Mereka banyak berkorban untuk saya. Walaupun saya lahir dalam keluarga susah, mereka berjaya untuk menyekolahkan saya sehingga dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Jujur saya katakan, kadang-kadang timbul rasa putus asa. Sebagai anak tunggal, saya tidak dapat berkongsi beban untuk menguruskan segalanya.

Namun, saya percaya setiap manusia ada ujian dan rezeki masing-masing. Ada yang dikurniakan adik-beradik yang ramai, tetapi tiada seorang pun mampu menjaga ibu bapa mereka.

Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk berbakti kepada ibu bapa. Mujur, rakan-rakan baik memahami dan dapat berkongsi suka duka kehidupan yang saya jalani,” Al-Amin terus bercerita.

Walaupun usia kian lanjut, Ainon pula tetap gembira kerana di sebalik penyakit yang dihidapi, suami dan anaknya tetap setia menemani ke hospital dan menjaganya.

Walaupun diuji dengan kesakitan begini, saya bahagia dengan kasih sayang suami dan satu-satunya anak saya. Biarlah tidak dikurniakan harta kekayaan, asalkan hubungan kekeluargaan kami terpelihara,” Ainol menguntum senyum.

Comments

comments

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *