Aishah Ghani, senator wanita pertama di tanah air

0
58

TAN Sri Datin Paduka Hajjah Aishah Ghani berbintang Sagittarius dan lahir pada 15 Disember 1923 di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor.

Memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Bukit Raya, Cheras dan kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Diniyah Puteri, Sumatera bersama-sama dengan tokoh nasionalis radikal kiri, Shamsiah Fakeh.

Kemudiannya, Aishah Ghani meneruskan pelajaran ke Maktab Perguruan Tinggi Islam di Padang.

Akhirnya pada tahun 1955, beliau ke London untuk melanjutkan pelajaran peringkat tertinggi di Politeknik Regent Street dalam bidang kewartawanan.

Di samping itu, beliau turut menulis sebuah buku berjudul Dari rumah ke London.

FOTO/MENCARI SAKIINAH

Kerjaya politik beliau bermula tatkala menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan telah mengetuai sayap Angkatan Wanita Sedar (AWAS).

Pada masa yang sama, beliau turut menjadi wartawan Pelita Malaya, yang merupakan lidah rasmi PKMM.

PKMM merupakan parti atau pertubuhan yang memperjuangkan kemerdekaan dan menerapkan nilai-nilai sosialis dan bercita-cita untuk menubuhkan sebuah republik dan ingin menghapuskan  kuasa raja-raja Melayu dan golongan-golongan bangsawan.

Sebelum British bertindak mengharamkan PKMM, Aishah Ghani telah keluar dan menyertai United Malays National Organisation (UMNO) pada tahun 1949.

FOTO/FLICKR

Meskipun sibuk dengan kuliah dan aktiviti pelajaran ketika di London, ia tidak menghalangnya menyertai Persatuan Melayu (Malay Society) di England.

Pada tahun 1958, sekembalinya ke Tanah Melayu, beliau telah berkhidmat sebagai wartawan di Berita Harian dan pada masa yang sama menjadi penyunting di New Straits Times.

Kemudia, pada tahun 1963, beliau meletakkan jawatan dan menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Naib Ketua Wanita UMNO .

FOTO/THE EARLY MALAY DOCTORS

Dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Aishah Ghani telah dilantik sebagai senator.

Pelantikan tersebut menyaksikan beliau sebagai wanita Melayu pertama memegang jawatan sebagai ahli Dewan Negara.

Malah,  beliau juga merupakan wanita pertama yang menjadi wakil Malaysia ke perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada 1972, Aishah Ghani telah menyandang jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia dan pada tahun berikutnya, beliau dilantik sebagai Menteri Kebajikan Masyarakat dan memegang jawatan tersebut selama 11 tahun.

Aishah Ghani meninggal dunia pada 19 April 2013 pada usia 90 tahun. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Antara anugerah yang berjaya diperoleh adalah:

  1. Johan Mangku Negara (J.M.N)
  2. Darjah Dato’ Paduka Mahkota Selangor Kelas Kedua (D.P.M.S)
  3. Panglima Mangku Negara (P.M.N)
  4. Ijazah Kedoktoran Kehormat Undang-Undang, Universiti Sains Malaysia
  5. Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor Kelas Pertama (S.P.M.S)
  6. Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini