Hotel

Wolo Ikon Urban Bukit Bintang

By  | 

BOSAN dengan suasana hotel yang klise? Barangkali anda boleh mengubah angin dengan bermalam di Wolo, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

12507671_1671976296348631_8558073760146944955_n-jpg-c

Hotel butik yang mula beroperasi sejak 28 Januari 2014 itu memiliki keunikan daripada pelbagai aspek yang tidak dipunyai hotel lain.

Berkonsepkan happy living dengan mengetengahkan tema urban chic, Wolo sememangnya sebuah lokasi penginapan yang sesuai untuk setiap peringkat usia, terutamanya traveler solo dan kumpulan kecil.

Wolo yang tidak mempunyai definisi spesifik dikhabarkan meminjam sebutan seakan-akan perkataan Mandarin yang memberi gambaran terhadap kesejahteraan dan kegembiraan dalam hidup.

Dengan keseluruhan 138 unit bilik yang dipecahkan kepada empat jenis; My Room, Our Room, Our Big Room dan Our Family Room, Wolo mahu setiap tetamunya menikmati pengalaman penginapan yang moden, tersendiri dan melapangkan.

Apa yang membuatkan Wolo unik adalah seni reka bilik yang menjadi fokus utamanya. Mengadaptasi konsep Tatami yang berasal dari Jepun, katil-katil di Wolo disediakan berteraskan platform rendah beralaskan lantai kayu yang memenuhi segenap ruang kamar.

Tiada hotel di kawasan sekitar yang menggunakan konsep tempat tidur sebegitu. Ia sekali gus membuatkan pengunjung berasa lebih relaks ketika berehat dalam suasana sederhana.

Wolo pada asalnya adalah sebuah bangunan pejabat yang telah dikosongkan selama dua tahun. Selepas bangunan tersebut diambil alih oleh Mammoth Empire, maka bermulalah kerja-kerja mengubahsuai menjadikan ia sebuah lokasi komersial.

Difahamkan, struktur asal bangunan tidak banyak berubah. Justeru, reka bentuk bilik perlu disesuaikan dengan berhati-hati memandangkan fungsi bangunan itu telah berubah – pejabat menjadi hotel.

lobbyreception2-jpg-c

Penggunaan ruang dimaksimumkan sepenuhnya. Menariknya, seni bina Wolo sangat simetri. Kebijaksanaannya dapat dilihat pada penyediaan ruang-ruang ‘tersembunyi’ yang sangat berbeza dengan hotel lain.

Menggunakan bahan binaan (kayu dan batuan) dari Korea, latar warna Wolo didominasi warna-warna gelap seperti hitam bagi menyerlahkan nilai klasik.

Pemilihan muzik yang mengisi segenap kawasan hotel butik itu juga segar, rancak dan mengundang rasa gembira tetamu yang mendengar.

Ditunjangi lima aspek; muzik, persembahan, kebudayaan, seni dan rekaan, Wolo juga menyediakan lounge Wine & Cigar di tingkat 2 untuk mereka yang mahukan mesyuarat santai ataupun sekadar mahu berhibur secara relaks bersama rakan-rakan.

1233600_1412231532323110_1274920483_n-jpg-c

1476181_1429500680596195_2013848261_n-jpg

Kafe roti popular, Tous Les Jours (TLJ) pula terletak di aras Ground dan Mezzanine, memudahkan tetamu yang tidak mahu berjalan jauh ataupun ingin mengalas perut sebelum memulakan eksplorasi di sekitar ibu kota.

Lokasinya di segi tiga emas Kuala Lumpur memberikan kelebihan akses pengangkutan kepada tetamu Wolo. Monorail Bukit Bintang adalah stesen paling hampir dengan hotel tersebut dan tetamu hanya perlu berjalan kaki. Tidak lama lagi juga, pengunjung dapat menggunakan khidmat MRT yang sedang dalam pembinaan.

Disebabkan akses pengangkutan awam yang mudah, maka tiada kemudahan parkir disediakan. Para tetamu yang memandu kenderaan sendiri boleh meletakkan kenderaan di ruang parkir Fahrenheit 88 yang beroperasi 24 jam.

wolo-exterior_rgb-jpg-c

Wolo kini menjadi pilihan kebanyakan tetamu dari Asia Pasifik seperti Indonesia, Singapura dan Australia. Selain keselesaan bilik dan keindahan seni bina, layanan mesra staf-staf di Wolo juga menjadi sebutan dalam kalangan tetamu.

Para pekerja di Wolo dilatih untuk mendekati tetamu dengan lebih mesra, dengan pengurangan formaliti dari segi penampilan (uniform kasual sopan) agar tetamu berasa seperti berada di rumah sendiri.

Kecemerlangan Wolo telah memberikan mereka enam anugerah sepanjang operasi dengan tiga penganugerahan peringkat kebangsaan dan dua pengiktirafan di rantau Asia Tenggara.

Info Wolo:
– Laman web: www.thewolo.com
– Facebook: Wolo Bukit Bintang
– Instagram: @wolobukitbintang
Telefon: 603-2719 1333

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *