Fenomena Despacito tingkatkan jumlah pelancong ke Puerto Rico

0
18

SEJAK lagu Despacito dendangan Luis Fonsi menampilkan Daddy Yankee dan Justin Bieber dilancarkan pada 17 April lalu, ia meraih populariti luar biasa di seluruh dunia. Pelbagai versi Despacito kemudiannya dihasilkan dalam bahasa berbeza di seluruh dunia.

Fenomena lagu tersebut turut memberi tempias terhadap industri pelancongan Puerto Rico, yang merupakan negara asal Luis Fonsi dan Daddy Yankee.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Hotels.com, ketibaan pelawat ke pulau Caribbean meningkat 45 peratus bermula 17 April hingga 17 Jun 2017.

Pengarah Serantau Hotels.com China, Asia Tenggara & India, Jessica Chuang dalam kenyataannya: “Puerto Rico telah sekian lama menjadi destinasi percutian popular, tetapi ramai pelancong belum mengenali keindahannya.

“Pengaruh budaya pop sememangnya mampu memberi impak kepada sektor pelancongan. Lonjakan kedatangan pelancong ke Puerto Rico sangat ketara berpunca daripada populariti mega Despacito.”

Sekiranya anda bercadang untuk terbang ke destinasi tropika ini, Hotels.com menyarankan lima penginapan yang merupakan pemenang anugerah pilihan pelanggan baru-baru ini.

1) Condado Vanderbilt Hotel

Pusat peranginan tepi pantai bertaraf 5 bintang ini terletak di kawasan Condado yang glamor di San Juan. Hotel ini membawakan sentuhan kemewahan dan keanggunan, sepadan dengan keindahan warisan seni bina Sepanyol, tempat menjamu selera dan kolam renang di tepi pantai. Diberi penarafan 4.7 daripada 5 oleh pelanggan Hotels.com. Harga bilik bermula daripada RM1,179 semalam (termasuk cukai dan yuran dan tertakluk pada kekosongan bilik pada masa tempahan).

2) Hotel El Convento

Hotel butik mewah bertaraf 4.5 bintang ini terletak bersebelahan gereja besar di tengah-tengah Kota Lama San Juan yang terkenal kerana sejarah dan keanggunannya. Diberi penarafan 4.7 daripada 5 oleh pelanggan Hotels.com. Harga bilik bermula daripada RM725 semalam.

3) Las Casitas Village, A Waldorf Astoria Resort, Fajardo

Pusat peranginan bertaraf 4.5 bintang ini terletak di kawasan terpencil dikelilingi vila persendirian. Ia juga mempunyai pulau dan taman airnya sendiri, serta padang golf dan spa – yang menjadiknnya pusat percutian mewah. Diberi penarafan 4.5 daripada 5 oleh pelanggan Hotels.com. Harga bilik bermula daripada RM943 semalam.

4) The-Ritz Carlton, San Juan

Terletak di pesisir pantai yang putih bersih dan terbentang luas di Isla Verde, syurga tepi pantai bertaraf 5 bintang ini mempunyai kolam renang menghadap laut, spa, tempat menjamu selera dan sebuah kasino. Diberi penarafan 4.3 daripada 5 oleh pelanggan, hotel ini memenangi anugerah Hotels.com Loved by Guests 2017 bagi kategori ‘terbaik untuk keluarga’. Harga bilik bermula daripada RM1,498 semalam.

5) The Dreamcatcher

Ini adalah satu-satunya hotel vegetarian di San Juan, yang menyediakan katil dan sarapan serta tempat untuk bersantai. Ia mempunyai sembilan bilik, kesemuanya dengan gaya unik tersendiri, menawarkan sarapan tiga sajian vegetarian. Pelanggan boleh menyertai kelas yoga dan meditasi, menyertai aktiviti mengayuh bot dan bersiar-siar dengan motosikal. Diberi penarafan 4.6 daripada 5 oleh pelanggan, hotel ini memenangi anugerah Hotels.com Loved by Guests 2017 bagi kategori ‘butik terbaik’. Harga bilik bermula daripada RM485 semalam.

Untuk mencari hotel terbaik anda, layari laman web Hotels.com di www.hotels.com atau muat turun aplikasi mudah alih Hotels.com, yang boleh didapati melalui iOS dan Android.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini